Pesara guru kena samun – Sinar Harian


Pesara guru kena samun

MOHD AZLIM ZAINURY
8 Februari 2013
Rahmah
Rahmah menunjukkan bagaimana seorang lelaki muncul dengan memegang objek tajam ketika dia hendak menutup pintu rumahnya yang disyaki dibuka seseorang.

MARANG – Seorang pesara guru wanita kerugian hampir RM10,000 selepas menjadi mangsa samun seorang lelaki bersenjatakan pisau di rumahnya di Taman Mega di Kampung Sungai Kerak di sini, malam kelmarin.

Ramlah Che Abdullah, 54, berkata, dia terkejut apabila seorang lelaki yang menutup sebahagian mukanya sambil memegang senjata tajam, muncul di muka pintu kira-kira jam 8.10 malam.

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku dia perasan pintu dan jeriji rumahnya sedikit terbuka dan syak dibuka seseorang.

Untuk mendapatkan kepastian dia menuju ke arah pintu itu untuk memeriksa dan menutupnya.

“Namun suspek itu tiba-tiba muncul dan mengarahkan saya agar masuk semula ke dalam rumah dan jangan berbuat bising. Saya merasakan akan dirompak, jadi saya ikut sahaja arahannya kerana bimbang akan dicederakan.

“Dia kemudiannya meragut seutas rantai leher sebelum saya sendiri menyerahkan seutas lagi rantai leher dan gelang tangan.

Selepas mendapat barang kemas itu, dia mengambil pula sebuah telefon bimbit sebelum keluar,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak itu, bagaimanapun, tidak cedera, namun rasa gugup dengan kejadian tersebut.

Ramlah yang ditemui Sinar Harian di rumahnya malam kelmarin berkata, dia menghubungi suaminya, juga seorang guru, dan meminta pertolongan jiran terdekat selepas penjenayah tersebut menghilangkan diri.

Ketika insiden itu, suaminya sedang mengajar di kelas tambahan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan telah menahan beberapa individu untuk membantu siasatan.

Ahmad Mazlan mengingatkan orang ramai, terutamanya kaum wanita yang tinggal berseorangan di rumah, supaya berwaspada dan sentiasa memastikan pintu rumah dikunci bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berlaku.

Kes guru melecur: Seorang lagi wanita ditahan – Bernama


Kes guru melecur: Seorang lagi wanita ditahan

10 Mei 2012

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang lagi wanita semalam bagi membantu siasatan berhubung kes seorang guru wanita melecur hampir 45 peratus dalam kebakaran di rumahnya di Flat Taman Tun Hussein di Seberang Jaya, di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata wanita berusia 60 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan semasa dia menyerah diri di Balai Polis Seberang Jaya.

Sebelum ini, polis menahan seorang wanita berusia 62 tahun apabila wanita itu menyerah diri di balai polis yang sama. Kedua-dua wanita ditahan reman sehingga Sabtu ini.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Azman berkata siasatan awal mendapati kepala Julie Yeoh Kartin, 39, dihentak dengan  senjata tajam sehingga cedera dalam kejadian kebakaran itu.

Katanya polis masih belum boleh mengambil kenyataan daripada guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lay Keow di Permatang Pauh itu yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.

– Bernama

Noda di tangga sekolah – Metro


Noda di tangga sekolah

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Seorang murid perempuan tahun tiga sebuah sekolah rendah di daerah ini, trauma selepas mendakwa dirogol dan diugut menggunakan senjata tajam oleh remaja berusia 14 tahun di tangga sekolah berkenaan.

Sumber berkata, murid itu menjadi mangsa kerakusan remaja terbabit yang menyelinap masuk ke sekolahnya pada Isnin, Rabu dan Khamis lalu ketika waktu rehat dan selepas tamat sesi pembelajaran.
Mangsa anak sulung daripada dua beradik tinggal di asrama sekolah berkenaan pada tengah hari untuk menyalin pakaian sebelum diambil ibunya selepas tamat sesi persekolahan petang.

 

“Pada kejadian pertama kira-kira jam 6.30 petang, Isnin, mangsa yang dikatakan sedang menunggu ibunya di kawasan sekolah dihampiri seorang remaja lelaki sebelum dibawa ke tangga sekolah.
“Mangsa dibawa menaiki tangga sebelum remaja terbabit didakwa merogol mangsa di kawasan tangga berkenaan,” katanya, semalam.
Menurut sumber itu, murid yang menggigil ketakutan cuba menyelamatkan diri namun remaja terbabit menghunuskan senjata tajam dan mengugut akan membunuhnya.

 

 

“Pada kira-kira jam 10.30 pagi Rabu lalu, berlaku sekali lagi kejadian sama ketika waktu rehat apabila mangsa seorang diri datangi remaja terbabit.
“Remaja itu didakwa sekali lagi melakukan perbuatan terkutuk di tangga sekolah dan memberi amaran supaya mangsa merahsiakan perkara berkenaan,” katanya yang memaklumkan ketika kejadian mangsa tidak keluar rehat sebaliknya berada di sekitar kawasan sekolah berkenaan seorang diri.

 

Kata sumber itu, mangsa yang takut hanya berdiam diri kerana bimbang dicederakannya sebelum remaja terbabit berlalu selepas melakukan perbuatan itu. “Keesokan paginya (Khamis), kira-kira jam 10.30 pagi Khamis lalu, mangsa sekali lagi mendakwa menjadi habuan nafsu remaja terbabit dan kali ini senjata tajam diacukan di leher mangsa ketika berseorangan,” katanya.
Sumber berkata, mangsa diugut bunuh jika perlakuan sumbang itu diketahui orang, namun mangsa yang tidak tahan diperlakukan sedemikian melaporkan kepada pengurusan sekolah.
“Pihak sekolah yang terkejut selepas diberitahu perkara itu segera menyiasat sebelum memanggil ibu mangsa memaklumkan kejadian menimpa anaknya,” katanya.
“Difahamkan, ibu mangsa yang bekerja sendiri datang ke sekolah kira-kira jam 3 petang sebelum bertindak melaporkannya kepada polis,” katanya .
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan, polis ada menerima laporan.
“Polis sedang menjalankan siasatan berhubung laporan dan sudah mengenal pasti suspek seorang remaja lelaki dan tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya.