AMPANG: “Ismazi mengaku ada menyentuh pelajar di bahagian leher dan bukan di bahagian dada,” kata seorang saksi bagi kes ketua guru disiplin yang didakwa mencabul 11 pelajar perempuan berusia 15 dan 16 tahun di sebuah sekolah, di Pandan Mewah, Februari lalu.
Ricky Toong Foo Weng, 25, dalam keterangannya di Mahkamah Majistret di sini, semalam memberitahu pengakuan tertuduh, Ismazi@Megat Ismazi Ismail, 48, menyebabkan semua mangsa menangis dan menjerit sebelum seorang daripada mereka mendakwa guru disiplin itu berbohong.
“Kejadian ini berlaku semasa perjumpaan bersama pengetua untuk membincangkan hal berkenaan di bilik mesyuarat sekolah itu pada jam 11 pagi, 28 Februari lalu iaitu sehari selepas kejadian.
“Mesyuarat itu dihadiri pengetua, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Jenice Lee Ying Ha, ibu bapa mangsa, semua mangsa, wartawan dan jurugambar,” katanya.
Ricky yang juga pembantu Jenice Lee memberitahu, bilik mesyuarat itu menjadi kelam-kabut selepas Ismazi meminta maaf kerana menyentuh pelajar di bahagian leher.
“Pengerusi PIBG dan sesiapa yang berada di sana bertikam lidah. Ada pelajar perempuan menjerit ‘bukan..bukan’ selepas mendengar permohonan maaf tertuduh.
“Kejadian itu ada direkodkan ibu bapa mangsa yang berada di situ,” katanya.
Katanya, selepas kejadian itu, dia membawa semua mangsa yang kelihatan trauma ke Bangsar untuk berjumpa pakar psikologi. “Saya bertindak sedemikian kerana khuatir emosi mangsa tidak stabil akibat kejadian yang menimpa mereka,” katanya.
Terdahulu, Ricky berkata, ibu bapa mangsa bertindak membuat laporan di Balai Pandan Indah pada hari kejadian semua mangsa didakwa dicabul selepas pihak sekolah gagal memberi penjelasan memuaskan.
“Kami (mangsa dan ibu bapa mangsa) tiba di balai polis pada jam 1.30 tengah hari dan dinasihatkan anggota polis bertugas untuk membuat satu laporan bagi semua mangsa,” katanya Mengikut pertuduhan, Ismazi didakwa mencabul kehormatan dengan meletakkan tangannya di atas dada semua mangsa di dalam bilik guru disiplin antara jam 7.30 pagi dan jam 8.30 pagi 25 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan. Sementara itu, ketika disoal balas peguam bela tertuduh, Haniff Khatri, Ricky menjelaskan dia tidak melihat kejadian cabul seperti didakwa pelajar sebaliknya hanya diberitahu mereka.
“Saya tidak tahu sama ada kejadian berkenaan benar atau tidak kerana perkara itu hanya diadukan semua mangsa,” katanya yang mengakui pertama kali ke sekolah berkenaan selepas mendapat aduan mengenai kejadian itu.
Pendakwaan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Suzana Abdul Latiff.
Perbicaraan bersambung 17 Oktober depan.