Seorang bermasalah, semua dikurung – Penghuni – Utusan Malaysia


Seorang bermasalah, semua dikurung – Penghuni

KUALA TERENGGANU 17 Jun – Salah seorang daripada 11 pesakit lelaki yang dikatakan dikurung serta dirantai kaki di sebuah pusat rawatan dan pemulihan akhlak di Kampung Bukit Gasing, Seberang Marang dekat sini kelmarin memberitahu, mereka dikenakan tindakan itu akibat masalah disiplin salah seorang daripada pesakit yang dirawat di situ.

Pesakit itu yang enggan dikenali dan berusia 19 tahun mendakwa, pesakit yang bermasalah itu pernah cuba memecah masuk bilik warden di pusat rawatan itu selain beberapa kali cuba melarikan diri dari pusat berkenaan.

“Berikutan masalah yang ditimbulkan pesakit itu, kami yang lain juga terpaksa dikurung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, seramai 11 lelaki yang ‘dirawat’ di sebuah pusat rawatan dan pemulihan akhlak swasta di Kampung Bukit Gasing ditemui terkurung dalam sebuah rumah dengan kaki masing-masing dirantai kelmarin.

Selain pesakit lelaki yang berusia antara 16 hingga 36 tahun itu, dua penghuni wanita turut ditemui dikurung dalam sebuah rumah lain yang terletak di pusat rawatan itu.

Berikutan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki termasuk pengurus pusat pemulihan itu bagi membantu siasatan.

Pesakit yang enggan dikenali itu menambah, pesakit yang dirantai hanya antara tiga hingga empat orang dan bukannya semua 11 penghuni lelaki di pusat rawatan itu.

Katanya, mereka yang dirantai mengalami gejala ketagihan dadah yang serius dan tindakan itu terpaksa diambil bagi mengelak daripada pesakit bertindak agresif.

“Pesakit yang dirantai hanyalah golongan penagih tegar yang bertindak agresif sahaja,” katanya yang mengalami masalah ketagihan pil kuda dan dirawat di situ sejak sembilan bulan lalu.