Padah lumba haram, seorang pelajar maut – Sinar Harian


Padah lumba haram, seorang pelajar maut

WARTAWAN SINAR HARIAN 21 Ogos 2012

PENDANG – Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggung di sini, maut apabila motosikal yang ditunggang mangsa terbabas selepas bergeser dengan dua motosikal rakannya lalu melanggar belakang sebuah kereta Proton Saga, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.20 malam di Jalan Air Puteh Luar itu, Mangsa, Mohd Rafizal Mahammad, 15, tinggal di Kampung Paya Saga Mukim Air Puteh meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar ketika mendapatkan rawatan bersama dua lagi rakannya yang turut mengalami cedera parah.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Pendang, Asisten Superintendan Nik Mohd Razali Husin berkata, mengikut laporan yang diterima, mangsa dipercayai berlumba bersama 10 motosikal di laluan itu.

“Tiga dari 10 motosikal yang sedang berlumba dari arah Tempoyak itu tiba-tiba bergeser sesamamereka.

” Keadaan itu menyebabkan salah satu motosikal iaitu yang ditunggang mangsaseorang diri terbabas lalu melanggar belakang sebuah kereta Proton Saga dari arah Batu Menunggul yang dipandu Rusdi Osman, 38, juga berasal dari kampung yang samadengan mangsa.

“Tiga penunggang motosikal yang terbabit dengan kemalangan itu dibawa anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) daerah Pendang ke HSB untuk mendapatkan rawatan setelah mengalami cedera parah, ” katanya

Bagaimanapun menurutnya, kira-kira jam 12 malam salah seorang mangsa meninggal dunia setelah disahkan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.