PPPM: Jurang sistem pendidikan negara membimbangkan – Bernama


PPPM: Jurang sistem pendidikan negara membimbangkan

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Walaupun prestasi murid di Malaysia meningkat sejak beberapa dekad lalu, namun terdapat risiko jurang pencapaian sistem pendidikan Malaysia dengan negara lain semakin lebar.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, risiko itu boleh dilihat melalui pentaksiran antarabangsa terbaharu dikeluarkan oleh Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

Berdasarkan keputusan TIMSS 2011, 35 peratus dan 38 peratus murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains, iaitu kenaikan dua hingga empat kali ganda berbanding tujuh dan 13 peratus pada 1999.

Keputusan tidak memberansangkan juga dicatatkan oleh pelajar Malaysia dalam keputusan pada kitaran pentaksiran untuk 2009 PISA (PISA 2009 ), penyertaan kali pertama Malaysia, yang mana kedudukan negara terletak di kelompok ketiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta, iaitu di bawah pencapaian purata antarabangsa dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Hampir 60 peratus murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA 2009 gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik, manakala 44 peratus dalam Bacaan dan 43 peratus dalam Sains,” menurut pelan itu.

Pelan itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Perbandingan skor dalam skala PISA ini menunjukkan murid berumur 15 tahun di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai, China mempunyai prestasi tiga atau lebih tahun persekolahan berbanding pelajar Malaysia pada umur yang sama.

Sepanjang dua dekad lalu kedua-dua sistem pentaksiran pelajar antarabangsa ini, PISA dan TIMSS, telah muncul sebagai kaedah perbandingan langsung mengenai kualiti keberhasilan pendidikan merentas pelbagai sistem.

“Kaedah ini mentaksir pelbagai kemahiran kognitif seperti aplikasi dan penaakulan,” menurut pelan itu.

Walaupun kedua-dua sistem pentaksiran itu, TIMSS dan PISA, menunjukkan keputusan pencapaian pelajar Malaysia yang membimbangkan, namun terdapat banyak bukti kecemerlangan murid dan sekolah seluruh negara setanding piawaian antarabangsa.

Ini termasuk pencapaian murid dan sekolah Malaysia di peringkat antarabangsa contohnya memperoleh pingat emas dalam Pertandingan Pencipta Muda Antarabangsa Kelapan 2012 di Thailand dan Ekspo Reka Cipta dan Produk Baharu di Amerika Syarikat, tahun lepas.

Bagaimanapun, menurut pelan itu, objektif yang sama penting dalam sistem pendidikan adalah memastikan kesaksamaan dalam berhasilan murid, antaranya dari segi jurang antara sekolah bandar dan luar bandar, sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan serta jantina.

Jurang antara luar bandar dan bandar menurun kepada lima mata peratus dan dua mata peratus sejak enam tahun kebelakangan ini sementara jurang antara sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan semakin mengecil.

Sebaliknya, jurang pencapaian antara gender adalah signifikan dan terus melebar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, dengan pencapaian murid perempuan sentiasa mengatasi murid lelaki di semua peringkat, menurut pelan itu. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_31/PPPM-Jurang-sistem-pendidikan-negara-membimbangkan#ixzz2e7rcC9zi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dua beradik disuap pasir – Metro


Dua beradik disuap pasir
Oleh Ahmad Othman
metrojb@yahoo.com

LEBAM…kesan pukulan penyangkut baju oleh ibu tiri mereka.
KOTA TINGGI: Kepala disumbat dalam lubang tandas sebelum dipam, disuap nasi panas serta pasir antara deraan ibu tiri yang diterima dua beradik berumur tujuh dan 11 tahun di rumah mereka di sekitar bandar ini sejak Februari lalu.

Punggung serta tubuh dua kanak-kanak itu turut dipukul menggunakan penyangkut baju tanpa mengira masa oleh wanita berusia 30-an yang berkahwin dengan bapa mereka berumur 30-an penghujung tahun lalu.

Sepanjang dua minggu lalu, penderaan terhadap dua beradik itu dikatakan lebih teruk menyebabkan mangsa yang berumur 11 tahun sudah tiga kali melarikan diri dari rumah akibat tidak tahan diperlakukan sedemikian tetapi akibatnya, adiknya menjadi mangsa deraan lebih teruk.

Ibu mereka dikatakan melarikan diri meninggalkan kanak-kanak itu dalam jagaan suaminya yang tiada kerja dan kini bekerja sambilan di sebuah ladang kelapa sawit di sekitar daerah Kota Tinggi.
Penderaan kedua-dua beradik itu terbongkar semalam, ketika mangsa yang berumur tujuh tahun datang ke sekolah pagi semalam dalam keadaan murung.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 16/08/2012