8 lelaki ditahan kes curi kedai 24 jam – Metro


8 lelaki ditahan kes curi kedai 24 jam

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Lapan lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang terbabit jenayah samun kedai serbaneka 24 jam, ditahan dalam operasi khas pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, lima yang ditahan ialah anggota kumpulan samun terbabit manakala tiga lagi pembeli yang disyaki membeli barangan hasil samun mereka.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, semua yang ditahan berusia 17 hingga 44 tahun dan siasatan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah.

 

“Serbuan serentak dilakukan di rumah mereka di empat lokasi berasingan iaitu dua di Sungai Besi manakala dua lagi di Keramat dan Seri Alam.
“Dalam serbuan itu, polis merampas dua parang, dua motosikal dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah samun serta pelbagai jenis rokok bernilai RM7,500,” katanya.
Menurut Zainuddin, dengan tertangkapnya anggota kumpulan itu, polis menumpaskan sindiket samun kedai serbaneka 24 jam yang aktif di Lembah Klang, terutama di daerah Dang Wangi sejak September lalu.

 

 

Beliau berkata, modus operandi kumpulan terbabit ialah berlagak sebagai pelanggan yang ingin membeli kad prabayar telefon bimbit dan masuk dalam kedai tanpa membuka topi keledar bagi mengelak wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
“Ketika petugas kaunter kedai sibuk mengambil barang diminta, suspek mengacukan parang dan mengarahkannya membungkus semua rokok serta melarikan wang,” katanya.

 

Katanya, suspek melarikan diri bersama seorang lagi rakan yang menunggu di luar kedai dengan motosikal.
Katanya, tangkapan itu menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes samun iaitu lima di Dang Wangi dan empat di daerah lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29

Sekolah Antarabangsa Excelsior bernilai RM60j – Bernama


Sekolah Antarabangsa Excelsior bernilai RM60j

19/03/2012 2:57pm

 

JOHOR BAHRU 19 Mac – Sebuah sekolah antarabangsa akan dibina di kawasan Seri Alam di sini yang melibatkan kos berjumlah RM60 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada September tahun depan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Sekolah Antarabangsa Excelsior itu akan dibangunkan di kawasan seluas lapan hektar dan akan memberikan alternatif kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka bersekolah di Singapura ketika ini.

“Sekolah ini akan dibina dengan kerjasama Seri Alam Properties Sdn. Bhd., dan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura, Raffles Campus Pte Ltd.

“Ia akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk asrama, bilik darjah berhawa dingin, kolam renang dan gelanggang tenis,” katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah sekolah tersebut di sini hari ini.

Beliau menambah, sekolah tersebut nanti mampu menempatkan lebih 2,500 pelajar pada satu-satu masa dan akan diuruskan sepenuhnya oleh Raffles Campus dengan penyediaan silibus pembelajaran serta aktiviti kokurikulum mengikut piawaian antarabangsa untuk murid berusia tiga tahun hingga 18 tahun.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, selain jarak yang dekat, yuran yang bakal dikenakan kepada para pelajar juga adalah 15 peratus lebih rendah berbanding di Singapura. – BERNAMA