Bahasa Inggeris wajib lulus 2016: Mampukah kita? – Sinar Harian


Bahasa Inggeris wajib lulus 2016: Mampukah kita?
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 September 2013
  • Lulus BI
< 1 / 1 >
HASRAT kerajaan menjadikan subjek Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus bermula 2016 mendapat reaksi pelbagai pihak. Perkara ini tentu juga menarik perhatian warga pendidik, para pelajar dan tentu sahaja ibu bapa.
Bagi yang menerima dengan cara positif, maka positif lah pandangannya. Namun ada juga yang memperlekehkan tahap kemampuan pelajar di negara ini dan mutu pendidikan negara bagi mencapai misi itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 ini boleh dicapai.
Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, pada masa ini pun, jumlah peratusan pelajar yang lulus mata pelajaran berkenaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah kira-kira 60 peratus.
Katanya, Kementerian Pendidikan sudah merangka dan memulakan pelbagai program bagi tujuan meningkatkan tahap penguasaan para pelajar serta guru bagi mata pelajaran tersebut.
“Dalam tempoh tiga tahun sebelum syarat itu dilaksanakan memberi peluang kepada pelajar dan warga pendidik untuk meningkatkan tahap penguasaan.
Menurut pihak pembangkang, kerajaan perlu terlebih dahulu mempersiapkan prasarana yang mencukupi dan tidak ada mana-mana sekolah keciciran jika mahu subjek Bahasa Inggeris menjadi subjek wajib lulus.
“Wajibkan belajar saya setuju, tingkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris saya setuju, wajib lulus dalam keadaan belum menentu, mutu guru, kemudahan belajar, kemudahan perpustakaan di sekolah-sekolah desa luar bandar termasuk sekolah aliran Cina dan Tamil – itu harus diteliti dahulu.
“Saya tidak fikir wajar diwajibkan lulus sebelum prasarana itu betul-betul siap,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Persoalannya, dengan masa yang masih berbaki tiga tahun ini, mampukah hasrat memperkasakan Bahasa Inggeris di negara ini menjadi kenyataan?
Apakah mekanisme yang boleh dicadangkan bagi menambahbaik mutu pendidikan anak bangsa kita? Paling penting, ia bukan cakap-cakap kosong dan tidak berakhir dengan ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Wajibkan subjek bahasa Inggeris menjelang 2020 – Sinar Harian


Wajibkan subjek bahasa Inggeris menjelang 2020
NIZAM ZAIN
8 September 2013
  • Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP)
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – [Dikemaskini]Pelaksanaan mewajibkan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sewajarnya dilakukan dalam tempoh enam tahun akan datang menjelang 2020.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata pelaksanaannya menjelang 2016 tidak wajar diteruskan memandangkan guru belum bersedia ke arah itu.

“NUTP merasakan 2016 itu terlalu hampir, kita hanya ada dua tahun lebih saja untuk memenuhi syarat mesti wajib lulus itu dan ia bukan masanya.

“Kerajaan mesti pastikan segala keperluan dan prasarana ke arah itu dilengkapkan sepenuhnya, kemudian baru boleh wajib lulus subjek itu seawal-awalnya pada 2020,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mempersoalkan pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus SPM menjelang 2016.

Tambah Hashim, pada masa ini kerajaan masih menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti kursus intensif sebagai persediaan awal namun ia tidak membantu dalam tempoh yang singkat.

Katanya, walaupun kerajaan menyediakan insentif menarik kepada guru yang mengajar subjek terbabit, namun jumlahnya masih tidak mencukupi.

“Jumlah guru bahasa Inggeris yang akan dihantar mengikuti kursus intensif pada Oktober depan itu pun masih tidak mencukupi, menunjukkan guru masih tidak bersedia lagi.

“Kita lihat persiapan ke arah itu belum lengkap 100 peratus, bahan bacaan pun tidak mencukupi, kalau hendak wajibkan subjek itu, kita kena pastikan bahan bacaan itu dibekalkan kepada pelajar seawal tingkatan 3 lagi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kerajaan tidak wajar melaksanakannya secara terburu-buru memandangkan ia akan membebankan bukan sahaja guru bahkan pelajar dan ibu bapa juga akan dibebani dengan kos tambahan seperti tuisyen dan bahan bacaan tambahan dalam bahasa Inggeris.

“Kemudahan tuisyen hanya terdapat di bandar besar, tidak di luar bandar.

“Tidak semua ibu bapa mampu menanggung kos tuisyen, lebih-lebih lagi selepas harga petrol dinaikkan,” katanya lagi.

Dr M : Sekolah Jenis Kebangsaan Akan Lebih Menjarakkan Rakyat – Bernama


Dr M : Sekolah Jenis Kebangsaan Akan Lebih Menjarakkan Rakyat
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kewujudan sekolah vernakular akan menjarakkan rakyat dan menyekat perpaduan di kalangan penduduk pelbagai kaum negara ini.

Katanya, cadangan penubuhan sebuah sekolah tinggi Cina persendirian baru di Kuantan mungkin memberi kesan serupa.

“Kita telah menerima sejak awal lagi bahawa sekolah vernakular boleh ditubuhkan oleh pelbagai masyarakat dan ini menyebabkan golongan muda kita tidak belajar bersama-sama.

“Sekiranya kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka dan sebagainya, maka kita akan ada tiga golongan rakyat yang berlainan latar belakang pendidikan, dengan setiap satu bercakap dalam bahasa yang berbeza. Malah, saya berpendapat kita tak akan dapat hidup bersama sekiranya kita tidak memahami antara satu sama lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian selepas melancarkan Pertandingan Menulis Esei Yayasan Kepimpinan Perdana-Yayasan Maybank 2012, di sini, Rabu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini dilaporkan berkata beliau berharap sekolah itu mendapat kelulusan untuk ditubuhkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Dr Chua berkata, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama para pemimpin tertinggi parti itu berhubung permohonan Sekolah Tinggi Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur untuk menubuhkan sekolah berkenaan di Kuantan.

Beralih kepada isu lain, Dr Mahathir mempersoaljkan kenapa pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyaman bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Murad Khalid yang membuat perisytiharan berkanun, yang mendakwa, antara lain, Anwar mempunyai 20 akaun induk.

“Saya berpendapat beliau patut saman Abdul Murad. Beliau juga patut saman Ummi Hafilda Ali, kumpulan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) dan mursyidul amnya Zahid Md Arip.

“Beliau patut saman mereka kerana dengan cara itu, beliau boleh menutup mulut mereka, seperti beliau menutup mulut saya selama lima tahun (merujuk kepada satu saman fitnah RM100 juta yang difailkan Anwar terhadapnya),” kata Dr Mahathir.

Media melaporkan Anwar didakwa mengawal 20 akaun induk yang diurus kroninya, termasuk aset, saham dan wang berjumlah lebih RM3 bilion. – BERNAMA

Guru, pelajar terlibat perhimpunan 901 akan kena tindakan – Bernama


Guru, pelajar terlibat perhimpunan 901 akan kena tindakan

04/01/2012 2:03pm

 

SEREMBAN 4 Jan. – Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi hari ini memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar dan guru yang menyertai perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901 pada Isnin ini.

 

Sambil mengingatkan pelajar dan pendidik supaya jangan terlibat dengan perhimpunan itu, beliau berkata, Kementerian Pelajaran akan bertindak terhadap mereka.

“Kita tidak akan berkompromi dalam perkara ini memandangkan pihak polis sudah membuat kenyataan tidak akan mengeluarkan permit kepada perhimpunan itu.

“Oleh itu, saya nasihatkan semua pelajar dan juga guru, jangan sekali-kali terlibat,” katanya.

Beliau merujuk kepada perhimpunan haram itu yang dirancang pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan keputusannya mengenai perbicaraan kes liwat melibatkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tertuduh.

Mohd. Puad berkata, penganjur perhimpunan itu sepatutnya akur dengan apa saja keputusan mahkamah. – BERNAMA