Kes gas beracun berulang – Metro


Kes gas beracun berulang

 11  2 Google +1  0  0

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Kejadian terhidu gas beracun berulang buat kali kedua di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kuala Kedah, di sini, semalam, apabila seramai 28 pelajar dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas mengadu sesak nafas dan pening ketika perhimpunan di sekolah itu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi membabitkan tiga pelajar lelaki dan 25 pelajar perempuan sekolah berkenaan dari tingkatan tiga hingga lima berbanding 56 pelajar pada kejadian pertama, Selasa lalu.

Seorang pelajar, Mohd Azman Said, 14, berkata, kejadian berlaku ketika semua pelajar sedang beratur selepas selesai perhimpunan pagi sebelum beberapa pelajar mula mengadu mengalami sesak nafas dan pening kepala.

Katanya, dia turut mengalami masalah yang sama kerana kepalanya tiba-tiba berasa amat sakit lalu memaklumkan kepada guru bertugas.

FotoSEBAHAGIAN daripada pelajar yang dimasukkan ke wad HSB untuk mendapatkan rawatan, semalam.

“Ketika itu, saya lihat keadaan seperti kelam-kabut dan guru sekolah kemudian menghubungi ambulans selepas mendapati bilangan pelajar yang sesak nafas semakin bertambah,” katanya ketika ditemui di HSB, di sini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29

Gas beracun: 55 pelajar dikejarkan ke hospital – Bernama


Gas beracun: 55 pelajar dikejarkan ke hospital

 

ALOR SETAR 23 April – Seramai 55 orang pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Seri Pantai di Kuala Kedah dekat sini dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kerana disyaki terhidu gas beracun pagi tadi.

Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, mereka terdiri daripada 50 pelajar perempuan dan lima pelajar lelaki.

“Pelajar-pelajar yang dihantar ke hospital oleh ambulans dan ibu bapa sendiri masih ditahan di wad kerana pihak kami masih tidak mengetahui punca sebenar. Jadi kami akan pantau keadaan mereka dahulu sebelum boleh benarkan mereka pulang.

“Pelajar-pelajar ini menunjukkan simptom-simptom seperti sesak nafas dan muntah-muntah tetapi semuanya berada dalam keadaan yang stabil,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Nazri Zakaria berkata, bilik gerakan bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.38 pagi dan anggota bomba dari Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130423/dn_13/Gas-beracun-55-pelajar-dikejarkan-ke-hospital#ixzz2RI5rWuuB
© Utusan Melayu (M) Bhd