Pengambilan Guru Ambil Kira Keperluan Setiap Negeri – Idris Jusoh – mStar


Pengambilan Guru Ambil Kira Keperluan Setiap Negeri – Idris Jusoh

Oleh KANG SOON CHEN

 

Idris Jusoh

 

SUNGAI BULOH: Pengambilan guru pada masa hadapan akan mengambil kira keperluan setiap negeri dan bukannya hanya memenuhi keperluan di peringkat Persekutuan, kata Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata negeri-negeri tertentu seperti Kelantan memiliki terlalu ramai guru agama sehingga menyebabkan masalah kekurangan guru bagi mata pelajaran lain di negeri itu.

“Sekiranya guru boleh mengajar di negeri masing-masing daripada dihantar ke negeri lain, jadi ia akan mengurangkan masalah mereka memohon untuk berpindah kembali di kemudian hari,” kata Idris kepada pemberita selepas melawat kantin di SK Seri Pristana pada Selasa.

Sekolah itu dihimpit kontroversi berhubung isu penggunaan bilik persalinan sebagai kantin sementara pada bulan Ramadan.

Idris menggesa para guru dan ibu bapa dari sekolah itu untuk melupakan episod itu dan melangkah ke hadapan.

PIBG rancang dialog dengan ibu bapa – Metro


PIBG rancang dialog dengan ibu bapa

 0  0 Google +0  0  0

Sungai Buloh: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana di sini merancang untuk mengadakan dialog dengan ibu bapa dan penjaga pada 27 Oktober depan, kata Yang Dipertua (YDP) PIBG, Hussein Mohd Ariff.

Hussein berkata, langkah itu diambil bagi memberikan penjelasan kemelut yang berlaku mengenai isu membabitkan murid makan di bilik persalinan serta isu lain yang berkaitan.
“PIBG merancang berjumpa dengan ibu bapa untuk berdialog bagi membincangkan isu yang dibangkitkan ini dan pelbagai isu lain yang menjadi perhatian.

 

“Sempena program Pesta Ungu Ceria atau Hari Kantin pada 27 Oktober nanti, satu dialog akan diadakan dengan penjaga,” katanya pada sidang media ketika lawatan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di sekolah itu di sini, semalam.
Hussein juga menyatakan kekesalannya terhadap penjaga SK Seri Pristana baru-baru ini yang memuat naik gambar di laman sosial kononnya murid sekolah itu diarah makan di tandas dan ekoran tindakan terburu-buru itu, banyak pihak menerima kesan negatif.
Sebaliknya beliau berkata, ibu bapa terbabit sepatutnya mengikut prosedur dengan berjumpa pihak sekolah dan memberi peluang kepada PIBG untuk bertindak. “Kalau tidak puas hati dengan apa saja perkara berkaitan murid dan sekolah jumpa PIBG, tapi tidak sempat kami bertindak sudah masuk dalam facebook,” katanya.

 

Beliau sebelum ini memberitahu bahawa PIBG sememangnya mengetahui pelaksanaan kantin tambahan di bilik persalinan sejak Mac lalu malah kebanyakan ibu bapa sedia maklum perkara itu.
Perkara itu mula diperkatakan apabila pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar murid sedang makan di bilik persalinan dan mendakwa pihak sekolah mengarahkan pelajar bukan Islam makan di situ ketika waktu rehat.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31

50 himpun sokong pengetua – Metro


50 himpun sokong pengetua

 2  1 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Kira-kira 50 wakil penduduk dan Kesatuan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Pristana berhimpun di depan Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh petang semalam bagi menyatakan sokongan terhadap pengetua sekolah berkenaan.

Pengerusi KRT Taman Seri Pristana Sulaiman Rejab, 57, berkata pihaknya dan UMNO cawangan Taman Seri Pristana akan mempertahan kedudukan Guru Besar sekolah berkenaan, Mohd Nasir Mohd Noor, 57, agar terus berkhidmat di sekolah itu.
Beliau berkata sekolah yang dibuka pada Julai 2010 itu pernah dinobat sekolah terbaik Kuala Selangor peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 di bawah kepimpinan Mohd Nasir.

 

“Sepanjang tempoh tiga tahun beliau menerajui sekolah itu, banyak kejayaan dan kecemerlangan yang sudah dilakukan,” katanya.
Mohd Nasir kini bercuti selepas diarah berehat untuk sementara waktu bagi meredakan keadaan berhubung isu bilik persalinan di sekolah itu diguna sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang Ramadan ini. – BERNAMA

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01

Sokong guru besar – Metro


Sokong guru besar

 1  0 Google +0  0  0

Oleh ZAITIE SATIBI

Kuala Lumpur: Satu laman Facebook diwujudkan bagi menyokong Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, Mohamad Nasir Mohd Noor, yang kini menjadi mangsa kecaman selepas kontroversi murid bukan Islam diarahkan pihak pengurusan sekolah itu makan dalam bilik persalinan yang didakwa kononnya tandas sepanjang Ramadan.

Laman peminat dengan nama Kami Sokong Mohamad Nasir Mohd Nor Guru Besar SK Seri Pristana itu diwujudkan Rabu lalu dan setakat jam 9.30 malam tadi, laman itu sudah mengumpul seramai 1,570 peminat yang mempertahankan tindakan guru besar berusia 57 tahun itu, di samping mengecam mereka yang mengemukakan pandangan negatif mengenai insiden berkenaan.
Turut dimuat naik adalah beberapa gambar lokasi bilik persalinan yang dijadikan tempat makan sementara selepas kantin sekolah berkenaan dinaik taraf untuk dibesarkan bagi menampung bilangan murid yang ramai.

 

Keratan akhbar dan pautan blog mengenai kontroversi yang melanda guru besar berkenaan turut dimuatkan.
Seorang ibu pelajar sekolah berkenaan memberikan komen bahawa dia tiada masalah dengan guru dan pengurusan sekolah yang membuat keputusan mengubah suai bilik persalinan itu kepada tempat makan dan sudah dimaklumkan kesulitan itu sejak sebelum puasa lagi.
“Orang luar yang tidak tahu hujung pangkal berkongsi perkara yang belum sahih lagi.. tolonglah jangan jadikan Facebook ini sebagai medium mahkamah (menjatuhkan hukuman sebelum disabitkan).

 

“SK Seri Pristana ini sangat kecil, ada empat kelas untuk setiap darjah. Tahun ini bilangan kelas bertambah dan murid terpaksa mengharungi kelas terapung. Jadi, hentikan semua tohmahan.. bukan anak anda yang belajar di sekolah itu pun,” katanya.
Katanya, kantin sedia ada pula hanya mampu menampung kira-kira 350 murid dan di Saujana Utama ada tujuh taman perumahan yang berkongsi dua sekolah selain SK Saujana Utama. Beberapa warga siber turut menggesa pihak polis dan pihak berkuasa lain yang berkaitan supaya mengambil tindakan segera terhadap individu pertama yang dilaporkan berkongsi gambar bilik persalinan itu dalam kalangan media sosial seterusnya mengundang perhatian media.

Usah pandang negatif pada sistem persekolahan – Metro


Usah pandang negatif pada sistem persekolahan

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Insiden murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, dekat sini yang diarah makan di bilik persalinan menggantikan kantin, tidak harus menjadi penyebab untuk ibu bapa berpandangan negatif mengenai sistem persekolahan negara.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, kejadian itu disifatkannya kes terpencil yang sangat jarang berlaku, justeru, ia bukan kayu pengukur kepada keseluruhan corak pendidikan diguna pakai ketika ini.
“Jangan kita mengukurnya dengan menganggap keseluruhan sistem pendidikan sesuatu yang buruk… tak elok, sekali gus enggan menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.

 

“Kejadian ini adalah kes terpencil dan tidak langsung menggambarkan keseluruhan sistem yang kita guna pakai. Jadi jangan cepat bertindak melampau atau keterlaluan.
“Memanglah tak wajar untuk meletakkan murid makan di tempat begitu, tetapi secara dasarnya pihak sekolah sudah menjelaskan duduk perkara sebenar (atas tindakannya) dan semua pihak perlu akur ia satu kesilapan bukan disengajakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas laporan akhbar semalam mengenai tindakan pengurusan SK Seri Pristana yang menempatkan murid makan di bilik persalinan menggantikan kantin sekolah itu.

 

Laporan menyebut, bilik persalinan itu yang belum pernah digunakan dijadikan tempat makan sejak Mac berikutan kantin tidak mampu menampung bilangan murid yang ramai pada waktu rehat.
Malah, tempat makan itu juga digunakan semua murid sekolah terbabit tanpa mengira kaum dan bangsa.

 

Mengulas lanjut Dr Mohamad Ali berkata, semua pihak perlu mengambil iktibar atas kejadian berlaku selain Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) setiap sekolah harus menjadi lebih proaktif menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Tindakan betul, lokasi tak sesuai – Metro


Tindakan betul, lokasi tak sesuai

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Nurul Huda Kosnon dan Shahrul Redzuan Zulkifli

Sungai Buloh: “Tiada kena-mengena dengan isu agama atau bangsa. Keputusan menggunakan bilik persalinan sebagai kantin sementara itu dibuat melalui perbincangan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) dan sudah dipersetujui semua pihak kerana kantin ini agak kecil.

“Kantin ini juga hanya boleh memuatkan kira-kira 500 hingga 800 pelajar saja. Ia sekali gus tidak dapat menampung jumlah keseluruhan pelajar seramai 1,300 dalam satu masa dan ia memerlukan proses pengubahsuaian,” kata Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan.
Beliau mengulas bilik persalinan dijadikan tempat makan pelajar di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, di sini, yang menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak.

 

Menurutnya, kementerian memutuskan tindakan guru besar sekolah berkenaan untuk menyelesaikan masalah kekurangan tempat makan untuk pelajar sekolah itu dianggap baik namun pemilihan lokasi sementara yang tidak sesuai.
“Lokasi dipilih untuk penempatan kantin sementara itu tidak sesuai dan ia sudah dilaksanakan sejak Mac lalu. “Bilik persalinan ini digunakan pelajar Melayu, India, Cina dan Orang Asli namun ia bukan satu isu akan tetapi lokasi disediakan itu tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui di sidang media di kantin sekolah itu.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohiam Ibrahim.

 

Menurutnya, bagi mengelakkan perkara itu diperbesarkan, beliau mengarahkan bilik persalinan itu ditutup dan kantin sekolah dibuka semula hari ini.
“Guru besar sudah memohon maaf begitu juga dengan saya. Ia tidak akan berlaku lagi dan kes ini sudah selesai,” katanya.

 

Kamalanathan berkata, Kementerian Pendidikan memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan murid di sekolah berkenaan selain menyifatkan isu terbabit tiada kena mengena dengan agama dan bangsa.
Ditanya mengenai tindakan mohon maaf dari guru besar sekolah itu diterima pihak kerajaan dan sekiranya tindakan bakal diambil kepada guru besar sekolah itu, katanya ia bergantung kepada tindakan Kementerian Pendidikan.
“Apa yang penting Kementerian Pendidikan mengambil langkah menyelesaikan masalah ini dan isu ini sudah selesai. Jika ada pihak tidak berpuas hati, saya bagi pihak kementerian minta maaf,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi RM10,000 untuk proses pembesaran kantin sekolah berkenaan.
Sementara itu suri rumah, Zarinah Zainuddin, 30, berkata isu ini bukanlah serius sebaliknya ada pihak tertentu yang hanya mahu merumitkan keadaan saja.
“Bagi saya ia tiada masalah kerana tiada tempat untuk makan di kantin. Ia sangat sesak dan pernah anak saya makan di tepi longkang kerana tiada tempat duduk.
“Bilik persalinan itu juga bukanlah tandas, cuma ada bilik mandi saja. Saya juga tiada masalah dengan pihak pengurusan sekolah kerana saya tahu guru besar sekolah ini sangat berwibawa,” katanya.
Dakwaan mengenai pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Seri Pristana mengarahkan pelajar bukan Islam makan di bilik persalinan yang dijadikan kantin sementara pada Ramadan dan di muat naik di laman sosial menggemparkan pelbagai pihak.
Bilik itu turut disediakan beberapa meja dan kerusi bagi memberi kemudahan serta keselesaan kepada murid untuk makan dan minum walaupun ia terletak bersebelahan tandas.
Insiden itu sekali gus menjadi tumpuan ramai apabila ia tersebar luas di laman blog dan laman sosial termasuk Facebook dan Twitter.
Dalam pada itu, seorang ibu, K Kasturi 32, berkata dia berasa sedih apabila dimaklumkan anaknya makan dalam bilik persalinan itu disebabkan kantin sekolah masih dalam kerja pengubahsuaian.
“Anak ada memberitahu dua hari lalu makan di bilik persalinan dan bukan di kantin sekolah. Saya sebagai ibu bapa mendengar berita buruk ini sangat susah hati, bimbang berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Isu Kantin: Guru Besar, Pengerusi PIBG Terima Tekanan – mStar


Isu Kantin: Guru Besar, Pengerusi PIBG Terima Tekanan
Kantin sekolah ditutup kerana kerja pengubahsuaian.

SUNGAI BULOH: Tinjauan The Star ke SK Seri Pristana mendapati meja makan dan kerusi masih berada dalam bilik persalinan perempuan sekolah itu, tempat di mana pelajar bukan Islam makan sarapan pagi dan tengah hari sepanjang minggu lalu.

Ketika memasuki perkarangan sekolah kira-kira pukul 6 petang Selasa, guru besar dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kelihatan tertekan kerana beberapa pegawai dari pelbagai jabatan kerajaan menyoal mereka berulang kali mengenai tindakan tersebut.

Mereka menunjukkan kepada kami bilik persalinan yang berada dalam keadaan bersih pada ketika itu.

Dua meja dengan alas berwarna ungu diletakkan dalam ruang kecil dekat dengan bilik mandi dan singki serta kerusi.

Kantin sekolah itu yang bertentangan dengan bilik persalinan baju dibuka semula untuk murid-murid pada Selasa atas arahan Menteri Pendidikan.

Terdapat tiga bilik mandi dan tiga singki di dalam bilik tersebut yang betul-betul bersebelahan dengan tandas perempuan dan tandas orang kurang upaya.

Menurut pegawai sekolah tersebut, terdapat kira-kira 28 pelajar bukan Islam di sekolah terbabit.

Guru besarnya, Mohd Nasir Mohd Noor berkata, semua murid telah menggunakan bilik persalinan itu sejak Mac kerana ruang di kantin sekolah tidak mencukupi.

“Kemasukan pelajar meningkat melebihi 500 murid pada tahun ini. Malah kami tidak mempunyai bilik kelas yang cukup. Kami mempunyai purata kira-kira 49 murid dalam setiap kelas sekarang.

“Saya hanya memutuskan untuk memindahkan mereka ke bilik tersebut kerana kebanyakan murid-murid duduk di atas rumput atau berhampiran longkang kerana ruang yang terhad,” katanya.

Beliau berkata, kantin sekolah itu ditutup lebih seminggu yang lalu kerana kerja pengubahsuaian.

Mohd Nasir membawa kami ke kantin itu untuk menunjukkan pintu kaca yang baru dipasang di sudut penjuru kantin tersebut.

Kerja pengubahsuaian sudah berakhir minggu lalu, katanya.

“Kantin itu sepatutnya dibuka semula pada Isnin. Saya tidak tahu mengapa ia ditutup. Saya berada dalam mesyuarat pada hari tersebut,” kata Mohd Nasir.

Pengerusi PIBG, Hussein Mohd Ariff berkata, ahli persatuan itu menyedari situasi itu apabila ia dibawa ke dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

“Sebagai ibu bapa, saya rasa ia bukan idea baik tetapi keputusan bukan terletak di tangan saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir menegaskan beliau tidak pernah mengamalkan diskriminasi terhadap para pelajar.

“Seperti yang anda boleh lihat, bilik mandi amat bersih. Hanya satu sebab saya memilih tempat itu kerana ia bilik paling dekat dengan kantin.

“Saya tidak bermaksud untuk mengapa-apakan murid-murid,” katanya.

Isu kantin sementara: Tiada kaitan agama, bangsa – Bernama


Isu kantin sementara: Tiada kaitan agama, bangsa

 

KUALA LUMPUR 24 Julai – Masalah berkaitan lokasi kantin sementara yang didakwa kurang sesuai di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh dekat sini, tiada kena mengena dengan isu agama dan bangsa, kata Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan.

Beliau berkata, isu yang dibangkitkan sesetengah pihak sebelum ini yang mengatakan ia bersifat perkauman adalah tidak benar.

“Bilik itu digunakan sejak Mac lepas dan semua murid termasuk pelajar Muslim menggunakannya kerana kantin sekolah itu tidak dapat menampung jumlah pelajar yang ramai. Oleh itu tanggapan bahawa hanya pelajar bukan Islam sahaja yang makan di situ adalah salah.

“Keputusan untuk menggunakan bilik persalinan itu sebagai kantin sementara dibuat setelah dibincangkan dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) berikutan kantin sekolah ini agak kecil dan hanya boleh menampung kira-kira 600 pelajar sahaja sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah itu hari ini.

Katanya, cadangan untuk menjadikan bilik persalinan itu sebagai kantin sementara juga telah dipersetujui dalam masyuarat PIBG dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah sebelum ini.

Kamalanathan berkata, pihaknya sedar bahawa bilik itu tidak sesuai dan telah berbincang dengan pihak sekolah itu supaya tidak lagi menggunakan bilik persalinan sebagai kantin sementara.

“Saya juga menerima permohonan daripada pihak sekolah untuk meminta bantuan bagi pengubahsuaian kantin asal bagi menampung lebih ramai pelajar, dan kami akan pertimbangkan permohonan itu.

“Sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor saya juga akan memberikan sumbangan RM10,000 dan saya berharap kantin itu boleh disiapkan secepat mungkin,” katanya.

Sebelum ini akhbar melaporkan bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang bulan Ramadan ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130724/dn_41/Isu-kantin-sementara-Tiada-kaitan-agama-bangsa#ixzz2ZxnHoXJF
© Utusan Melayu (M) Bhd

TPM arah siasat dakwaan pelajar makan dalam tandas – Bernama


TPM arah siasat dakwaan pelajar makan dalam tandas

 

KUALA LUMPUR 23 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan pelajar di sebuah sekolah rendah dipaksa makan di dalam tandas.

“Saya telah mengarahkan KPPM untuk siasat isu pelajar bukan Islam yang disuruh makan di dalam tandas. Tindakan tegas akan diambil jika ada asas,” kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan di laman Twitter hari ini.

Beberapa gambar tersebar di laman sosial hari ini yang memaparkan sebilangan murid yang dikatakan bukan beragama Islam berada di sebuah bilik menyerupai bilik air, dengan botol air dan bekas makanan berada di atas sebuah meja.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, kementerian telah mengarahkan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) supaya memindahkan tempat makan sementara Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, ke tempat lebih bersih dan munasabah memandangkan kantin sekolah tersebut sedang dibaik pulih. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130723/dn_26/TPM-arah-siasat-dakwaan-pelajar-makan-dalam-tandas#ixzz2Zrwdr7Xn
© Utusan Melayu (M) Bhd