Mangsa rindu abang – Metro


Mangsa rindu abang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUCHONG: “Arwah rindukan abangnya dan sampai mati pun dia tidak sempat berjumpa,” kata pengawal keselamatan, Amir Elias, 45, bapa kanak-kanak berusia 12 tahun yang ditemui lemas dalam lombong berhampiran Flat PPR Kampung Muhibah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Suria, di sini, Aekhmal Rizar, tergelincir ke dalam lombong berkenaan ketika memancing bersama rakannya sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira dua jam kemudian oleh Unit Skuba, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Wilayah Persekutuan.
Menurut Amir, dia dimaklumkan mengenai berita buruk itu oleh isterinya, Suhaila Ghazali, 35, pada jam 5 petang ketika sedang bertugas sebelum ke lombong berkenaan dengan menaiki bas.

 

“Kali terakhir saya menemui arwah yang juga anak kedua daripada tiga beradik ketika menghantarnya ke sekolah pagi tadi (semalam). Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap pelik dan berkelakuan seperti biasa.
“Cuma semalam (kelmarin) dia meminta izin daripada saya untuk ke Bandar Kinrara bagi mencari abangnya berusia 15 tahun yang sudah dua hari tidak pulang ke rumah kerana merajuk. Arwah cakap rindukan abangnya dan mahu cari sampai jumpa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Pegawai Kanan Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, Che Shaari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.32 petang dan satu jentera bersama lapan anggota bergegas ke tempat kejadian.

 

 

“Kami dibantu lapan penyelam dari Unit Skuba bagi mencari mangsa sebelum mayatnya ditemui di dasar lombong sedalam kira-kira sembilan meter berhampiran tempat dia dikatakan tergelincir kira-kira jam 6.10 petang,” katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.