Sering termenung – Harian Metro


Sering termenung

Oleh Nazri Abu Bakar
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Sering termenung sejak tiga hari lalu menjadi petanda awal kematian pemain bola sepak Melaka, Mohd Ikram Abd Latif selepas terbabit kemalangan bersama rakannya di Kampung Bertam Ulu di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, Mohd Ikram, 14, mengalami kecederaan teruk di kepala dan paru-paru apabila motosikal dibonceng melanggar tiang elektrik.
Mangsa yang juga pemain bola sepak Melaka bawah 14 tahun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.50 pagi semalam ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

 

Rakannya, Urwah Malik, 14, yang menunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah di leher dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ibu Allahyarham, Zabina Bidin, 46, berkata, arwah tidak banyak bersembang sebaliknya termenung dan enggan bercakap seperti selalu seolah-olah tahu ajal akan menjemputnya.
Menurutnya, arwah anak bongsu daripada tiga beradik itu amat rapat dengannya malah sering bergurau dan selalu membuatkan dia ceria dengan keletahnya.

 

 

Katanya, anaknya itu sempat bertarawih di masjid berhampiran sebelum ke rumah rakan menonton aksi rakaman perlawanan bola sepak di televisyen saluran Astro membabitkan pasukannya iaitu Asa Jejak Mega di Stadium Shah Alam pada kejohanan Liga Cardiff City 1Malaysia.
“Difahamkan sebaik keluar dari rumah rakannya, mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik. Arwah dan rakannya dikejarkan ke hospital tetapi menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas itu. “Hati saya amat hiba dan sedih dengan kejadian ini terutama mengenang kembali pelbagai keletahnya sepanjang saya membesarkannya. Namun, saya tetap reda dengan pemergiannya tidak akan kembali lagi,” katanya.

 

Lebih sayu buat Zabina berikutan suaminya yang juga bekas pemandu meninggal dunia dua tahun lalu, manakala datuk arwah juga meninggal dunia setahun lalu.
Sementara itu, bapa saudara arwah, Azam Bidin, 42, berkata, anak buahnya pernah menyatakan kepada rakan karibnya mengenai badannya tidak selesa tiga hari lalu.
Menurutnya, dia juga memberitahu nenek mengenai sebelah badannya seperti tidak terasa apa-apa sehari sebelum meninggal dunia.
“Sikapnya yang mudah mesra membolehkan rakan dan penduduk kampung suka bergaul dan bersembang dengannya,” katanya.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bertam Ulu selepas solat Zuhur semalam.
Turut hadir majlis pengebumian itu pengurus pasukannya, Kamarul Azli Jaafar, jurulatih Johari Mat Aris dan Azian Rahman serta penduduk kampung.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan V Gunasegaran mengesahkan kejadian.