Latih kemahiran anak OKU – Sinar Harian


Latih kemahiran anak OKU

SHARIFAH HAZIRAH AL-JEFFREY
16 April 2012

KUANTAN – Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) mempunyai potensi yang luas untuk maju jika mereka dididik dengan baik serta dapat menguruskan diri sendiri.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Shamsiah Hussin berkata, ibu bapa atau penjaga disaran menghantar anak masing-masing ke Pusat Dalam Komuniti (PDK) untuk melatih mereka supaya mahir dalam sesuatu bidang.
Menurutnya, kanak-kanak OKU ini tidak susah dijaga jika betul cara didikan dan komunikasi, bagaimanapun, mereka akan menjadi sukar dan agresif apabila orang sekeliling tidak tahu apa yang mereka inginkan.

“Mungkin cara layanan untuk mereka berbeza berbanding insan normal, tetapi jika kita selami hati dan bijak ikut rentak mereka, ia tidaklah sesukar mana, malah mampu jadi lebih baik daripada kanak-kanak normal lain,” katanya.

Selain itu, beliau berharap kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat agar tidak ‘simpan’ anak-anak ini di rumah kerana ‘keistimewaan’ mereka itu.

Shamsiah berkata, di PDK, mereka akan diajar cara untuk berkomunikasi dan menguruskan diri sendiri.

“Hantarlah kanak-kanak ini belajar di PDK, sehari hanya beberapa jam sahaja dan manfaatlah masa tersebut sebaik mungkin untuk kanak-kanak ini belajar.

“Walaupun tidak seperti orang lain, sekurang-kurangnya mereka boleh menguruskan diri sendiri dan boleh diawasi oleh kita semua,” katanya.

Beliau berkata ­demikian pada Majlis Perasmian Perjumpaan Pengerusi PDK Pahang dan Taklimat Pengurusan PDK serta Penyampaian Geran Kepada Enam PDK di negeri ini.

Menurutnya, beliau berharap orang ramai tidak memandang serong terhadap golongan ini, sebaliknya tampil membantu agar boleh berkomunikasi dalam satu rumpun masyarakat.

“Mereka berhak untuk hidup sempurna sebagaimana insan normal lain, malah mereka boleh membantu kita dalam sesetengah perkara kerana mereka mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya.