Sesi belajar dalam surau – Sinar Harian


Sesi belajar dalam surau

NORAFIZA JAAFAR
6 Oktober 2012
Murid-murid belajar dalam keadaan kurang selesa selepas sesi pelajaran terpaksa dilakukan di dalam s
Murid-murid belajar dalam keadaan kurang selesa selepas sesi pelajaran terpaksa dilakukan di dalam surau.

KOTA PUTERI – Seramai 25 murid di sebuah Kafa Integrasi Al-Falah di sini menggunakan surau yang diubahsuai untuk tujuan pembelajaran sejak awal tahun lalu.

Pengerusi surau yang juga penyelia sekolah, Ahmad Mohamed berkata, pihaknya bercadang mengumpul dana RM150,000 untuk membina sebuah sekolah enam kelas bagi menggantikan kelas sedia ada.

Menurutnya, kelas yang tidak sempurna antara faktor utama ibu bapa tidak yakin menghantar anak mereka ke Kafa itu menyebabkan ramai kanak-kanak di kawasan itu tidak bersekolah agama.

“Sekolah agama terdekat terletak di Ijok iaitu kira-kira tiga kilometer dari Kota Puteri pastinya menyukarkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka kerana faktor masa dan tekanan kerja.

“Atas faktor itu, hasil perbincangan pihak surau dan ibu bapa bersetuju untuk mewujudkan satu Kafa di Kota Puteri dan menjadikan kelas sementara di surau,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Namun begitu katanya, perancangan masa depan diatur supaya sekolah agama dapat dibina dalam tempoh 10 tahun dari sekarang untuk memenuhi permintaan penduduk.

“Dianggarkan 200 unit rumah telah siap di kawasan sekitar sini dan dijangka akan meningkat berikutan pertumbuhan pesat melalui projek perumahan yang sedang giat dijalankan.

“Buat masa ini segala pengurusan Kafa adalah di atas sumbangan pihak perseorangan dan juga syarikat swasta yang sudi menyalurkan bantuan kewangan untuk melancarkan proses pembelajaran,” katanya.

Malahan beliau berkata, gaji empat guru yang dipertanggungjawab memberikan ilmu kepada 25 murid juga menggunakan wang hasil sumbangan itu.

Justeru itu katanya, untuk mencapai hasrat membina sekolah agama itu, pihaknya kini sedang giat mengumpul dana dan dalam proses permohonan kepada pihak berkaitan.