Kerajaan belum bincang pemberian bonus Aidilfitri – Bernama


Kerajaan belum bincang pemberian bonus Aidilfitri

15 Julai 2013
Tan Sri Dr Ali Hamsa
Tan Sri Dr Ali Hamsa

PUTRAJAYA – Kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus kepada 1.4 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali untuk tahun ini sahaja.

“Itu juga boleh dianggap bonus, namun terpulang kepada kerajaan tetapi selalunya pemberian bonus pada hujung tahun dan bergantung kepada output, sekarang terlalu awal untuk membincangkan perkara itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ali berkata untuk tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi pemberian KGT selain penyelarasan gaji untuk skim-skim tertentu.

“Bagi bulan ini sahaja sebanyak enam skim akan ditambah baik dan 81 skim lagi pada November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk pemberian bonus setengah bulan gaji sebelum Adilfitri yang dijangka disambut pada 8 Ogos ini.

Terdahulu, Ali merasmikan seminar bertajuk ‘Meningkatkan Kualiti Kawal Selia dan portal ‘Dasar Nasional Mengenai Pembangunan dan Pelaksanaan Kenyataan Impak Hubungan dan Kawal Selia’.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Minggu lepas, Cuepacs memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua setengah bulan kepada seluruh penjawat awam tahun ini.

Pada 9 Ogos tahun lepas, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan bagi membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri. – Bernama

PM tentukan bonus penjawat awam – KSN – Bernama


PM tentukan bonus penjawat awam – KSN

 

PUTRAJAYA 24 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membuat keputusan berhubung pemberian bonus untuk penjawat awam tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, keputusan itu akan dibuat Najib selaku Menteri Kewangan sempena pembentangan Belanjawan 2014 yang dijadual 25 Oktober ini.

“Saya rasa kerajaan akan membuat keputusan apabila kerajaan buat bajet (pembentangan Belanjawan 2014), PM sendiri akan buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Seramai 1,374 petugas dari 42 Jabatan/Agensi/Bahagian Jabatan Perdana Menteri menerima anugerah itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada kerajaan supaya bonus melebihi sebulan setengah gaji diberikan kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam.

Semalam, Presiden CuepacsDatuk Omar Osman menyarankan kerajaan agar bonus melebihi sebulan setengah gaji atau sekurang-kurangnya sebulan setengah gaji diberikan kepada kakitangan awam dengan pembayaran setengah bulan gaji dibuat sebelum perayaan Aidilfitri nanti.

Tahun lalu, penjawat awam menerima bonus sebulan setengah gaji dengan pembayaran dibuat sebanyak tiga kali; sebelum perayaan Aidilfitri, bulan Disember dan pada Januari tahun ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Ali yang genap setahun menjalankan tugas sebagai KSN, meminta penjawat awam supaya lebih peka dan mendekati nadi rakyat dengan mengambil langkah proaktif melalui Program Jejak Mesra Perkhidmatan Awam.

“Penjawat awam (menerusi program itu) akan turun untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan membawa perkhidmatan kepada mereka.

“Ini adalah satu pendekatan baharu di mana kita tidak boleh menunggu untuk rakyat datang kepada kita dengan masalah mereka tetapi sebaliknya kita mendekati mereka,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan maklum balas, pandangan dan cadangan membina daripada seluruh penjawat awam demi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

“Kita semua (penjawat awam) perlu senang dihubungi dan didekati. Saya berharap agar sebarang maklum balas yang ingin disampaikan dapat disalurkan melalui saluran yang bersesuaian,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130624/dn_40/PM-tentukan-bonus-penjawat-awam—KSN#ixzz2X8mszAUY
© Utusan Melayu (M) Bhd

87 elaun dikaji semula – Berita Harian


87 elaun dikaji semula

Putrajaya: Nasib kakitangan awam akan lebih terbela berikutan keputusan kerajaan mengkaji semula 87 elaun termasuk elaun bantuan sara hidup (COLA) serentak dengan penambahbaikan 22 skim perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata penambahbaikan itu dijangka siap sebelum hujung tahun ini dan diumumkan sama ada pada akhir November atau awal Disember ini.

Syor skim perumahan khas

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membuat cadangan kepada kerajaan mewujudkan skim perumahan khas kakitangan awam, terutama generasi muda.

Ramai penjawat awam yang mahu memiliki rumah di bandar besar tapi tidak kesampaian kerana kenaikan mendadak harga rumah. Kita akan lihat sama ada skim yang disyorkan ini boleh digabungkan dengan skim perumahan PR1MA. Kita juga akan tambah unit kuarters di tempat yang diperlukan, katanya.

Ali turut menolak tanggapan negatif bahawa insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah buah tangan pilihan raya kerana pelarasan gaji dan jawatan serta penambahbaikan perkhidmatan awam diumumkan setiap tahun.

Tarik minat jadi tentera
Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, percaya keserataan pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan perkhidmatan awam am akan menarik minat lebih ramai menyertai pasukan keselamatan.

Keserataan gred jawatan dan gaji ini adalah satu lonjakan drastik untuk ATM serta PDRM dan kita amat menghormati peranan mereka.

Saya percaya, inisiatif untuk kakitangan awam am lain juga berupaya menggerakkan mereka supaya lebih produktif, katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan kerana 22 isu berhubung kakitangan awam berjaya diselesaikan sejak lima tahun lalu.

Cuepacs sambut baik saranan KSN mahu JPA fleksibel – Bernama


Cuepacs sambut baik saranan KSN mahu JPA fleksibel

26 November 2012
Presiden Cuepacs, Omar Osman
$entry.content.caption.value

KUANTAN – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik saranan Ketua Setiausaha Negara yang mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) fleksibel dalam menentukan penempatan semula agar tidak perlu mewujudkan jawatan baru dan menambah petugas dalam sektor perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata cadangan Datuk Seri Dr Ali Hamsa itu merupakan satu daripada transformasi yang dilakukan kerajaan dalam memantapkan lagi penjawat awam dari segi kualiti dan kuantiti.

“Tidak perlu lagi penambahan jawatan baru apabila wujudnya kerja tambahan, sebaliknya JPA perlu letakkan pegawai yang sedia ada melakukan kerja tambahan melalui proses penyusunan semula tanpa perlu melantik pegawai baru,” katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Kualiti dan Inovasi 2012 di Universiti Malaysia Pahang hari ini.

Beliau berkata jabatan atau jawatan yang berkemahiran tinggi seperti sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan bagaimanapun memerlukan pelantikan baru serta penambahan anggota dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

“Jawatan yang berkemahiran tinggi seperti doktor, jururawat, guru, polis dan sebagainya perlu ada lantikan baru, jawatan mereka tidak boleh dimansuh atau dibekukan kerana jawatan-jawatan ini penting,” katanya.

Omar berkata buat masa ini, kerajaan menunggu Suruhanjaya Khas (Mengkaji Transfromasi Perkhidmatan Awam) mengemukakan laporan sebelum 31 Dis ini untuk memperbaiki perkhidmatan awam secara keseluruhan.

Beliau berkata jumlah penjawat awam ketika ini iaitu 1.4 juta dilihat sudah mencukupi dan tidak perlu ditambah, sebaliknya JPA perlu lebih fleksibel dari segi penempatan semula.

“Jumlah 1.4 juta orang penjawat awam ini kita mahu mereka kekal, kalau ada tambahan kerja, kita hanya perlu penyusunan semula bukannya menambah petugas dan pada masa ini, semua agensi sedang meneliti perkara ini demi penambahbaikan masing-masing,” katanya.- Bernama

Naik gred secara automatik diperluas: KSN – Berita Harian


Naik gred secara automatik diperluas: KSN

2012/11/21 – 07:22:49 AMCetakEmel Kawan
Datuk Seri Dr Ali Hamsa bersalaman dengan penjawat awam di INTAN, semalam.Datuk Seri Dr Ali Hamsa bersalaman dengan penjawat awam di INTAN, semalam.

Kluang: Seramai 1.42 juta kakitangan awam berpeluang menikmati kenaikan gred tanpa temu duga berikutan cadangan kerajaan memperluaskan kenaikan gred secara automatik.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata cadangan menaikkan gred berdasarkan ‘time base’ itu sedang diteliti sebelum dilaksanakan untuk semua sektor awam.

“Cadangan ini sedang dikaji dan kita akan perkenalkan secara menyeluruh selepas semua kekangan terutama dari segi perbelanjaan dikaji sepenuhnya. Kita kena ambil kira hasil dan perbelanjaan negara,” katanya.

Beliau berkata pihaknya perlu menunggu laporan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

“Suruhanjaya khas itu sedang mengkaji cadangan berkenaan dan akan menyerahkan laporan mengenai skim kerajaan serta perkhidmatan awam pada 31 Disember nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Majlis Amanat dan Sesi Interaksi bersama Penjawat Awam Daerah Kluang, di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan, di sini semalam.

Sebelum ini, hanya penjawat awam di sektor pendidikan dan kesihatan menikmati kenaikan gred berdasarkan time base tanpa perlu menghadiri temu duga.

Ketua jabatan diingatkan tidak abai kebajikan, keperluan anggota bawahan – Bernama


Ketua jabatan diingatkan tidak abai kebajikan, keperluan anggota bawahan

13/09/2012 – 11:55:34 PMCetakEmel Kawan
KUCHING: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini mengingatkan semua ketua jabatan dan agensi kerajaan supaya sentiasa mengambil berat kebajikan serta kemudahan kerja penjawat awam di bawah jabatan masing-masing.

Beliau berkata, jangan hanya mengharapkan mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan berkelas dunia kepada rakyat namun pada masa sama mereka bekerja dengan kemudahan dan suasana sebaliknya.

“Ketua jabatan jangan hanya melihat apa yang berlaku di hadapan kaunter perkhidmatan, lihat juga apa yang ada di belakang kaunter sama ada ia juga bertaraf dunia,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, selain itu beliau turut menggalakkan lebih ramai ketua jabatan dan agensi untuk turun padang melihat dengan lebih dekat pelaksanaan dasar kerajaan agar ia sampai kepada golongan sasar iaitu rakyat selain mencari penyelesaian segera kepada sebarang isu yang dibangkitkan.

— BERNAMA

SBPA: Pengumuman penting Najib 12 Mac? – Bernama


SBPA: Pengumuman penting Najib 12 Mac?

23 Februari 2012
Najib Tun Razak

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini hari ini.

Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

“Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam,” katanya kepada pemberita tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu.

Omar berkata, Cuepacs sendiri akan menyambut baik apa sahaja perkara yang bakal diumumkan serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian serta kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan dan mendengar cadangan demi
kebaikan penjawat awam.

“Pertemuan hari ini menyentuh mengenai secara keseluruhan apa tuntutan serta pandangan yang dikemukakan Cuepacs selama ini berhubung permasalahan penjawat awam termasuk mengenai isu SBPA,” katanya.

Omar berkata Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran yang akan mengumpul seramai 15,000 penjawat awam yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Mac depan. – Bernama

Kerajaan setuju beri CUEPACS lebih tempat dalam SBPA – Bernama


Kerajaan setuju beri CUEPACS lebih tempat dalam SBPA

05/02/2012 6:31pm

 

KUANTAN 5 Feb — Kerajaan bersetuju untuk memberikan lebih banyak tempat kepada pemimpin tertinggi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menganggotai pasukan khas semakan semula Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Justeru itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata CUEPACS perlu manfaatkan sepenuhnya peluang berkenaan bagi merealisasikan hasrat lebih 1.3 juta ahli mereka di seluruh negara.

“Saya harap dan percaya mereka akan terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat akan datang dan beri pandangan yang membina untuk penambahbaikan SBPA,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pelan Strategik Teknologi Maklumat (PSTM) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pahang, di sini, hari ini.

CUEPACS sebelum ini meminta supaya tiga lagi pemimpin kanan mereka menganggotai pasukan petugas khas semakan semula SBPA yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam.

Sementara itu, Mohd Sidek meminta Unit Permodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) memperhebatkan promosi urusan dalam talian di kalangan rakyat.

Katanya kerajaan masih tidak berpuas hati dengan sambutan orang ramai terhadap kempen urusan dalam talian meskipun prasarana telah disediakan membabitkan semua agensi kerajaan.

“Kemudahan-kemudahan ini telah diberikan oleh banyak jabatan tapi mungkin tak mahu menggunakannya atau tak tahu untuk menggunakannya.

“Langkah ini kita kena war-warkan umpamanya memperbaharui lesen memandu secara online kerana ramai yang tak tahu,” katanya.

Kerajaan sebelum ini melancarkan PSTM 2011-2015 PBT di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi bagi menjimatkan kos dan menjadikan platform baru pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pahang merupakan negeri pertama membangunkan PSTM secara serentak di 11 PBT di negeri itu.

— BERNAMA

430,000 guru tidak setuju SBPA – Metro


430,000 guru tidak setuju SBPA

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seramai 430,000 guru dari seluruh negara tidak bersetuju dengan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan meminta kerajaan menimbang semula kepentingan penjawat awam, terutama golongan pendidik, dalam mesyuarat anjuran Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) di Taman Setiawangsa, di sini, semalam.

Pengerusinya, Jemale Paiman berharap kerajaan menimbang seadil-adilnya rumusan mesyuarat yang diputuskan bersama 320 pemimpin kesatuan dengan memberi tempoh lapan hari.
Beliau berkata, selain Ceupacs sebagai panel tetap, wakil peguam dan JPA sebagai sekretariat, tiga wakil khas mewakili warga pendidik dilantik untuk berjumpa atau berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi tujuan penambahbaikan pelaksanaan SBPA, terutama bagi membela nasib golongan berkenaan.

 

“Kami mendapati ada klausa kurang jelas dalam pelaksanaan SBPA, misalnya tidak mengambil kira kenaikan gaji tahunan antara tujuh hingga 13 peratus untuk menampung kos sara hidup yang makin tinggi.
“Disebabkan golongan pendidik sektor penting dalam pembangunan negara, perkara itu harus dipertimbangkan sebaik-baiknya.

10 ahli pasukan khas semak semula SBPA – Berita Harian


10 ahli pasukan khas semak semula SBPA

2012/01/19

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam menyerahkan watikah perlantikan kepada 10 ahli pasukan petugas bagi menyemak semula Pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pasukan khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam itu juga akan menjemput wakil kementerian, ketua skim perkhidmatan, kesatuan dan persatuan sekerja serta pihak berkaitan jika ada keperluan dalam usaha menyelesaikan isu berbangkit SBPA yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

“Semua isu berhubung pelaksanaan SBPA perlu sampai kepada kita (pasukan petugas) dalam tempoh sebulan ini dan pasukan petugas akan memanggil mereka untuk perbincangan lanjut, malah kita sudah menerima banyak maklum balas, termasuk menerusi e-mel.

“Kita akan mengambil kira semua ini. Jika ada isu membabitkan perguruan umpamanya, kita akan memanggil Ketua Pengarah Pelajaran dan juga persatuan untuk perbincangan dan mencari penyelesaian,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan kepada 10 ahli pasukan petugas itu di sini, semalam.

Pasukan petugas itu ditubuhkan selepas kerajaan mengumumkan SBPA akan disemak semula dan perbincangan dengan pihak berkaitan diadakan bagi menyelesaikan isu dibangkitkan pihak tertentu berkaitan pelaksanaan SBPA.

Pasukan itu diberi tempoh dua bulan sehingga 16 April depan untuk mengkaji isu dibangkitkan dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Mohd Sidek berkata, pasukan petugas berkenaan akan berusaha mendapatkan penyelesaian terbaik mengenai isu dibangkitkan, tetapi menegaskan kerajaan mempunyai kekangan tertentu yang mungkin tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak.