SHAH ALAM: Kementerian Pelajaran menyampaikan sumbangan untuk membaik pulih sebahagian blok bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Muda (2) yang musnah dalam kebakaran pada awal Disember 2010.
Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Yusoff Haniff kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Kashfi Abdul Rauf ketika membuat lawatan ke sekolah berkenaan.
Pihak kementerian turut meluluskan peruntukan tambahan untuk membina empat kabin bagi menampung keperluan sementara pelajar yang tidak mempunyai kelas selepas kejadian yang memusnahkan bilik guru dan empat bilik darjah itu.
Kashfi berkata, peruntukan terbabit digunakan untuk membaik pulih bangunan dan membeli peralatan serta kelengkapan baru.