Terpaksa tidur berhimpit – Metro


Terpaksa tidur berhimpit

 0  0 Google +0  0  0

Berhimpit dalam satu bilik kecil dan tidur beralaskan tilam nipis menjadi kebiasaan bagi penghuni Rumah Amal Nur Murni (RANM) di Batu Kawa dan Taman Juta Ria, di sini.

Ketiadaan peruntukan mencukupi untuk memberi keselesaan kepada penghuninya menyebabkan mereka terpaksa hidup dalam kesederhanaan kerana keutamaan diberikan kepada perbelanjaan pendidikan.
RANM menempatkan 23 penghuni perempuan dan 16 lelaki berusia lingkungan tiga hingga 17 tahun yang terdiri daripada anak miskin tegar, asnaf zakat, anak yatim, ibu tunggal serta golongan yang memerlukan.

 

Pengurusnya Kamariah Ambo berkata, RANM mula beroperasi pada awal 2009 dan didaftarkan atas nama Pusat Jagaan Nur Murni pada 2010.
Katanya, ketika ini mereka dalam proses akhir mendaftarkan rumah kebajikan itu dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapat bantuan daripada kerajaan.
“Kami memerlukan perbelanjaan RM19,000 sebulan untuk membiayai perbelanjaan penginapan, bil utiliti, sekolah, kesihatan, pengangkutan dan lain-lain.

 

“Setiap bulan kami terpaksa berjimat bagi memastikan wang sumbangan orang perseorangan yang diterima mencukupi untuk perbelanjaan terutama berkaitan pendidikan penghuni,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Katanya, dia bersyukur kerana ada individu yang bermurah hati membayar sewa rumah, tetapi hal lain yang membebankan ialah kos pengangkutan pelajar daripada asrama lelaki ke sekolah di Stapok.

 

“Keperluan diberikan kepada pendidikan, manakala keperluan lain seperti kemudahan asas sememangnya mengharapkan bantuan daripada orang ramai yang bersimpati.
“Asrama perempuan kami di Taman Green Field, Batu Kawa agak padat kerana menempatkan 23 penghuni dalam satu rumah, katil yang disediakan tidak mencukupi. Ada antaranya terpaksa tidur di lantai beralaskan tilam nipis, manakala yang bernasib baik dapat tidur atas katil yang usang,” katanya.
Katanya, mereka mengalu-alukan dermawan beramal dengan memberikan bantuan kepada anak yatim menerusi akaun Bank Muamalat 1101 0001 760 712.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Cuepacs harap imbuhan tetap perumahan dinaik – Bernama


Cuepacs harap imbuhan tetap perumahan dinaik
17 Januari 2013
logo cuepacs Cuepacs

MELAKA – Cuepacs berharap cadangan kenaikan imbuhan tetap perumahan (ITP) penjawat awam dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat berikutan lonjakan harga dan sewa rumah.      Presidennya Datuk Omar Osman berkata ITP penjawat awam bagi gred 1 hingga 40 sebanyak RM180 tidak lagi relevan, ketika ini.      “Imbuhan tetap perumahan ini dah lama tidak disemak, hari ini kita (Cuepacs) pergi mana-mana memang ia menjadi rintihan utama kerana tidak ada lagi sewa rumah berharga RM180,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia (Kesatria) di Kem Terendak di sini hari ini.      Beliau berkata Cuepacs telah membuat permohonan mengenai perkara itu sejak lima tahun lepas dengan mencadangkan imbuhan tetap perumahan diselaraskan kepada RM450.      Katanya jumlah tersebut juga sebenarnya tidak mencukupi namun ia boleh disifatkan sebagai subsidi oleh kerajaan dalam meringankan beban penjawat awam.
Dalam pada itu, Omar turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan penjawat awam daripada 4 peratus kepada 1 peratus.      Katanya peningkatan harga rumah menyebabkan ramai penjawat awam tidak mampu memiliki rumah.                “Kalau kos rumah PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) berharga RM300,000 ke bawah, kadar faedah 4 peratus itu tinggi jika kumpulan pelaksana ini nak membuat pinjaman,” katanya. – Bernama

Bapa dakwa remaja dilarikan lelaki dikenali menerusi FB – Bernama


Bapa dakwa remaja dilarikan lelaki dikenali menerusi FB

7 Disember 2012

KUALA LUMPUR – Seorang bapa mendakwa anak gadisnya yang berumur 16 tahun dilarikan oleh seorang lelaki yang dikenali melalui laman sosial Facebook sejak seminggu lepas.

Roslan Ahmad Hadzrawi, 39, dari Wangsa Maju di sini mendakwa anaknya Nur Hidayah hilang sejak 1 Disember lalu dipercayai dilarikan oleh seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Mat, 19, selepas keluar makan bersama lelaki itu di sebuah pusat membeli belah di Wangsa Maju.

Roslan juga mendakwa anaknya yang lebih mesra dipanggil Dayah turut ditipu kira-kira RM1,200 ekoran kerap mengeluarkan wang dari akaunnya bagi menanggung perbelanjaan sewa rumah dan baik pulih motosikal milik Mat.

“Saya mendapat tahu Dayah sering memberi wang kepada Mat selepas membaca mesej berbaur pujukan oleh Mat kepada Dayah di dalam akaun Facebook Dayah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Roslan berkata, beliau yakin Dayah bukan melarikan diri kerana dokumen peribadinya termasuk kad pengenalan dan kad Mesin Pengeluar Wang Automatik (ATM) tidak dibawa dan anaknya itu hanya membawa wang poket RM100.

“Pada hari Dayah dilarikan, anak sulung saya ada menerima satu sistem pesanan ringkas (SMS) dari Dayah kira-kira pukul 5 petang yang berbunyi ‘Rol aku kat rumah ibu sakit. Aku ok nanti apa-apa aku call’.

“Saya percaya SMS tersebut bukan ditulis oleh Dayah tetapi lelaki itu kerana Dayah tidak pernah memanggil abangnya dengan nama Rol,” katanya.

Namun Roslan berkata sehingga lewat malam anaknya masih tidak pulang dan gagal dihubungi menyebabkan isterinya Zarina Zubir, 40, runsing dan bimbang.

Beliau berkata selepas usaha mengesan anaknya di sekitar Kuala Lumpur gagal, Roslan membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju Isnin lepas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang. – Bernama

Terpaksa catu makanan anak – Sinar Harian


Terpaksa catu makanan anak

SYAMILAH ZULKIFLI
21 Oktober 2012
Terpaksa catu makanan anak
Patima bersama tiga anaknya yang berusia antara 5 dan 10 tahun.

SEREMBAN – “Kita orang susah,” jawab Patima Bee Bee Athamsa, 40, setiap kali anaknya bertanya kenapa dia tidak ke sekolah sama seperti kanak-kanak lain sebaya dengannya.

Patima terpaksa memberi alasan itu untuk menenangkan hati anaknya berikutan dihimpit kesusahan selepas kematian suami, Ogos lalu.

Lebih menyedihkan, Patima juga seorang kurang upaya (OKU) selepas mengalami kecacatan kekal pada kedua belah tangannya akibat tersepit pada mesin ketika bekerja di sebuah kilang, 20 tahun lalu.

Disebabkan mahu berjimat, Patima terpaksa mencatu makan anak-anaknya walaupun jauh di sudut hati, dia tidak sampai hati berbuat demikian.

“Kadang-kadang saya terpaksa mencatu makanan anak saya kerana perlu berjimat.

“Setakat ini, makanan paling mewah untuk kami anak-beranak pun hanya mi segera dan bubur nasi sahaja. Kadang-kadang anak saya minta ayam goreng, tapi saya terpaksa bagitahu mereka, kita tidak ada duit,” katanya.

Menurutnya, dia bagaikan hilang arah memikirkan masa depan bersama anak-anak selepas kehilangan tempat bergantung.

“Selama ini suamilah tempat saya dan anak-anak bergantung. Bila dia sudah tiada, kehidupan sangat perit dan perlu membesarkan tiga orang anak yang masih bersekolah.

“Dua anak saya berusia lima dan enam tahun sepatutnya sudah boleh dihantar ke prasekolah. Tapi saya tidak ada duit menyebabkan hasrat mereka untuk belajar sama seperti kanak-kanak lain terpaksa dilupakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Murah Kerajaan Dusun Nyior, dekat sini, semalam.

Patima berkata, buat masa ini, dia hanya mengharapkan bantuan ahli keluarga terdekat, selain bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, katanya, ia tidak mencukupi kerana perlu membayar sewa rumah RM280 sebulan, selain bil air dan elektrik.

Terdahulu, Patima menerima kunjungan daripada Persatuan Kebajikan dan Keharmonian Masyarakat Negeri Sembilan (PKKMNS)

Pengerusi PKKMNS, Amir Hamzah Ahmad berkata, pihaknya telah memanjangkan nasib dihadapi Patima kepada pihak JKM untuk tindakan lanjut.

“Kita simpati dengan Patima yang dihimpit kesusa-han. Saya sudah berbincang dan memohon JKM agar menaikkan jumlah bantuan bulanan diterimanya dan kita masih menunggu.

“Bagi masalah lain, saya akan cuba bantu setakat yang mampu. Kita harap mana-mana pihak yang simpati dan inginkan membantu bolehlah menghulurkan bantuan,” katanya.

9 berhimpit bilik sempit – Metro


9 berhimpit bilik sempit

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Kami sembilan beranak terpaksa tidur berhimpit di bilik sempit ini pada waktu malam setiap kali air hujan menitis menerusi siling yang bocor di ruang tamu.

“Kami bukan enggan berpindah dari kediaman usang yang hanya mempunyai sebuah bilik ini namun dengan pendapatan RM600 sebulan, ia tidak cukup bagi membayar sewa rumah,” kata Ruziah Marzuki, 40, ketika ditemui di kediamannya di Jalan Labu, Kampung Bendahara di sini, semalam.
Ruziah berkata, kesempitan wang dihadapi sejak bergelar ibu tunggal hampir setahun lalu mengakibatkan dia tidak mampu membaik pulih rumah papan yang dihuni lebih 20 tahun itu.

 

Menurutnya, dia yang mempunyai anak berusia setahun hingga 18 tahun terpaksa bekerja sambilan supaya dapat memberi perhatian lebih kepada mereka sejak memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Selain mengambil upah menjahit, saya juga membantu kenalan yang memiliki perniagaan katering selain mempromosikan mesin layan diri minuman keluaran sebuah syarikat bagi menambah pendapatan.
“Walaupun melakukan tiga kerja sambilan bermula petang hingga malam, pendapatan diperoleh hanya kira-kira RM600 sebulan.

 

 

“Menyedari beban dipikul, anak kedua, Nur Farah Amirah Hamdi yang berumur 16 tahun bekerja sambilan di sebuah gerai makan berhampiran kediaman dengan pendapatan RM200 sebulan, ia digunakan bagi menampung perbelanjaan persekolahan adiknya.
“Begitu juga dengan anak sulung berumur 18 tahun, Mohd Fariezth, dia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat lapan kredit dalam peperiksaan itu. Bagaimanapun, Fariezth menangguhkan hasrat melanjutkan pelajaran kerana bekerja sambilan sebagai jurujual di pusat beli-belah bagi membantu keluarga,” katanya.

 

Selain Fariezth dan Nur Farah, enam anak Ruziah yang lain ialah Firdaus, 15; Nurfatihah Natasya,12; Mohd Faiz, 10; Nurfarisha, 17; Nurfardiena Najwa, tiga tahun dan Nurfarina, setahun.
Ruziah berkata, dia pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini dan berharap ia diluluskan.
Menurut Ruziah, bagi memastikan pendapatan keluarganya mencukupi, dia juga berjimat dalam soal pemakanan di mana dia hanya memasak makanan sederhana bagi mengisi perut ahli keluarga.
“Ia juga bagi mengelakkan keluarga kami terputus bekalan makanan. Saya biasanya menyediakan lauk telur masak kicap bersama nasi selain mi segera untuk mengurangkan kos perbelanjaan dapur.
“Melihat kesusahan kami, ibu saya yang dimamah usia dan tinggal berjiran selain adik-beradik ada kalanya menyumbang bekalan makanan.
“Hingga kini, saya tidak pernah mendesak bekas suami menghulurkan bantuan memandangkan dia juga bukan hidup senang, namun saya berdoa mampu menaik taraf keadaan keluarga bagi membolehkan anak menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07

Guru Kafa patah tangan akibat diragut penunggang motosikal – Bernama


Guru Kafa patah tangan akibat diragut penunggang motosikal

16 Jun 2012
KUALA TERENGGANU – Seorang guru kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) patah tangan kiri akibat diragut dua penunggang motosikal di Kampung Seberang Baruh malam tadi.

Nor Azlina Mat Jusoh, 38, turut malang apabila kehilangan duit gaji kira-kira RM500 yang disimpan untuk membayar sewa rumah, ansuran motosikal dan keperluan lain.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, dia sedang menunggang motosikal apabila dihimpit dua penunggang berkenaan yang menunggang sebuah motosikal Honda Ex-5 sebelum mereka merampas beg tangannya yang diletakkan di dalam raga motosikalnya.

“Saya memang tidak mengesyaki apa-apa dengan tindakan mereka mendekati saya kerana ketika itu jalan agak sibuk. Mereka memakai topi keledar menutup muka yang datang dari arah belakang dan terus mengambil beg tangan saya.

“Naik marah dengan tindakkan itu, saya bertindak mengejar mereka, namun saya terjatuh ketika membuat pusingan U berhampiran tempat kejadian,” katanya.

Nor Azlina berkata para peragut berkenaan terus memecut motosikal mereka sementara dia dibantu orang ramai dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Dia yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan di sini berkata kejadian ragut itu merupakan kali kedua dialaminya selepas 10 tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Samsuddin mengesahkan kejadian itu. – Bernama

Masih menanti komputer riba – Sinar Harian


Masih menanti komputer riba
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012

Siti Norain (dua, kanan) bersama adik-adik dan ibunya Jamaliah (belakang) mengharap keluarga mereka layak menerima bantuan komputer riba 1Malaysia .
KELUBI – Dua pelajar tingkatan tiga yang juga merupakan anak yatim dari sebuah sekolah menengah di sini masih tertanya-tanya dan menanti untuk mendapat komputer riba 1Malaysia sejak sekian lama.

Siti Norain dan adiknya Rosfatehah Ahmad, 15, berkata, mereka pernah bertanyakan hal itu kepada guru, namun diberitahu hanya pelajar terpilih sahaja mendapat bantuan berkenaan.

Bagaimanapun, apa yang menghairankan mereka, rakan-rakan yang masih mempunyai ibu bapa dan bekerja layak menerima sedangkan ibu mereka hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara keluarga.

Menurut Siti Norain, dia terkilan apabila rakan lain yang kehidupannya lebih selesa dapat bantuan berkenaan sedangkan dirinya tidak mendapat bantuan tersebut.

“Saya rasa terkilan kerana emak kami ibu tunggal malah menanggung adik beradik yang ramai, tetapi masih tidak dapat komputer riba.

“Sekurang-kurangnya kalau dapat kemudahan itu kami dapat memanfaatkannya pada cuti persekolahan ini dengan mencari maklumat mengenai Penilaian Menengah Rendah
(PMR) yang kian hampir tidak lama lagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagi Rosfatehah pula, dia sudah lama mengidam untuk memiliki komputer riba namun memahami pendapatan ibunya tidak seberapa ditambah pula bebanan sewa rumah dan menanggung anak-anak yang masih bersekolah membuatkannya melupakan hasrat berkenaan.

“Rasa sedih dan kecewa juga kerana orang lain dapat, tetapi kami seolah-olah dipinggirkan. Adakah disebabkan ibu kami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menyebabkan kami tidak layak,” katanya yang kematian ayah sejak sembilan tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

Sementara itu, ibu dua beradik berkenaan, Jamaliah Mohd Fazil, 39, berkata, hatinya sayu apabila mendengar luahan anak-anaknya namun pendapatannya yang tidak seberapa
membuatkannya terpaksa mengutamakan perbelanjaan yang lebih penting.

Menurutnya, biarpun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (Maim) setiap bulan, namun dengan tanggungan enam anak yang masih bersekolah, ada kalanya mereka terpaksa ikat perut.

“Bagaimanapun, saya juga berharap ada pihak yang sudi membantu mendapatkan rumah kos rendah agar kami sekeluarga tidak terus hidup menyewa,” katanya.