Rogol, cabul murid dalam makmal – Kosmo


Rogol, cabul murid dalam makmal

 

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

 

MAHKAMAH Sesyen di Kota Bharu, Kelantan di dalam bangunan ini semalam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Hock Soon (gambar kecil) selepas didapati bersalah merogol dan mencabul seorang murid berusia 12 tahun tiga tahun lalu.

 

KOTA BHARU – Perbuatan jahat seorang guru sains dan bahasa Cina yang sanggup memperkosa serta mencabul seorang murid darjah enam berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh, Yek Hock Soon, 29, dari Sitiawan, Perak, didapati bersalah oleh Hakim Rofiah Mohamad selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Hock Soon yang telah berkahwin dan baru mendapat seorang cahaya mata dua bulan lalu dituduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun tiga bulan di makmal sains sebuah sekolah jenis kebangsaan di Pasir Puteh di antara pukul 8 pagi hingga 3 petang awal bulan Ogos 2009.

Dakwaan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara lebih 30 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mencabul kehormatan mangsa di tempat sama pada pukul 12.15 tengah hari 17 Ogos 2009 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, denda atau sebat.

Dalam penghakimannya, Rofiah mengatakan, dia mengambil kira kepentingan awam serta hubungan tertuduh dengan mangsa sebagai guru dan murid dalam menjatuhkan hukuman.

“Hubungan itu sepatutnya suci dan bertanggungjawab. Jenayah seperti ini penting untuk dibendung oleh perundangan.

“Selepas mendengar hujahan pihak pendakwa dan pembela, saya menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan bagi kesalahan merogol serta tiga tahun penjara dan dua sebat bagi kesalahan mencabul. Hukuman itu hendaklah dijalankan secara berasingan,” kata Rofiah.

Mayat hancur dirempuh treler – Kosmo


Mayat hancur dirempuh treler

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 

SALAH seorang mayat remaja yang terpelanting selepas MPV jenis Honda Stream yang dinaiki bersama sembilan lagi rakan mereka dirempuh treler.

 

SITIAWAN – Tujuh remaja maut termasuk dua beradik menemui ajal dalam keadaan mengerikan selepas mayat mereka ditemui dalam keadaan beberapa anggota badan hancur apabila kenderaan pelbagai guna (MPV), Honda Stream yang dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan tong gas di Batu 6, Jalan Lekir-Sitiawan dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 10.30 malam itu menyebabkan Badrul Isa Sulaiman, 19; adiknya, Mohamad Hadi, 17, serta sepupu mereka, Mohamad Shadan Mohd. Arshad, 15, maut. Turut maut ialah tiga rakan sekampung mereka, Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd. Termizi, 15, dan Muhamad Shafik Redzuan Yusuf, 16.

Kesemua mereka mati dengan beberapa anggota badan mereka hancur di tempat kejadian.

Pemandu MPV terbabit, Mohd. Hisam Mat Zaki, 22, yang mengalami kecederaan parah di kepala pula meninggal dunia pada pukul 8.35 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi, Hospital Seri Manjung dekat sini.