Sibuk bukan alasan ibu bapa tiada masa pantau anak – Sinar Harian


Sibuk bukan alasan ibu bapa tiada masa pantau anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Disember 2012

KUALA TERENGGANU – Ibu bapa diingatkan sentiasa memantau pergerakan anak terutama yang sedang menginjak ke usia remaja agar tidak tersalah memilih kawan sekali gus terjebak dalam gejala negatif.

Ini kerana, masalah sosial membabitkan remaja hari ini agak membimbangkan dan jika ia tidak ditangani segera mungkin berlaku masalah yang lebih serius kelak.

Justeru, didikan awal di rumah merupakan unsur yang perlu diberi penekanan selain memastikan anak lebih selesa menghabiskan waktu terluang di rumah berbanding bersama rakan sebaya lain.

Kakitangan swasta, Shukri Azmir Bakeri, 37, berkata, kesibukan tugas tidak harus dijadikan alasan untuk ibu bapa tiada masa untuk bersama keluarga.

“Perhatian ibu bapa bukan sahaja mampu mencegah anak daripada terlibat gejala yang tidak sihat, sebaliknya turut membantu pembesaran dengan lebih sihat,” katanya.