Bapa harap kehilangan 3 beradik beri pengajaran kepada semua – Utusan


Bapa harap kehilangan 3 beradik beri pengajaran kepada semua

 

TIGA beradik dari kiri, Sharafuddin Syazwan Rizauddin, Syahir Syafi dan Syauratul Syafiyah duduk dalam kenderaan polis bersama ibu mereka, Safarila Azwa Ishak untuk dibawa pulang ke Ipoh selepas dipertemukan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selayang, Selangor, semalam.

IPOH 15 Ogos – Bapa tiga kanak-kanak yang didakwa hilang di rumah mereka di Taman Meru 2B di sini petang kelmarin sebelum ditemui di Gombak, Selangor malam tadi, berharap kejadian menimpa tiga anaknya itu dapat memberi pengajaran kepada semua pihak.

Rizauddin Md. Zain, 38, menjelaskan kehilangan Sharafuddin Syazwan, 11, Syahir Syafi, 8, dan Syauratul Syafiyah, 6, bukan berpunca daripada kecuaian mana-mana pihak termasuk bekas isterinya, Safarila Azwa Ishak, 36.

Sebaliknya, kata Rizauddin, perkara itu berlaku disebabkan salah faham melibatkan beberapa ahli keluarga mereka.

Walau bagaimanapun, katanya, dia tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak terhadap apa yang terjadi namun meminta polis menjalankan siasatan terperinci bagaimana anak-anaknya boleh berada di Gombak.

“Sejujurnya, saya sehingga kini masih buntu dan tidak tahu bagaimana mereka dibawa dan siapa yang telah membawa mereka ke sana. Saya serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasat.

“Apa yang paling penting sekarang anak-anak saya selamat. Syukur alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada pihak polis, media dan orang awam yang tidak putus-putus berdoa agar mereka ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rizauddin berkata, ketika ini ketiga-tiga anaknya itu sudah pun dibawa pulang ke rumah bekas isterinya di sini dan berada dalam keadaan baik.

Katanya, mereka juga disahkan sihat selepas menjalani pemeriksaan perubatan di Gombak sebelum dihantar ke Ipoh dan kini perlu berehat.

Sementara itu, usaha menemubual tiga kanak-kanak berkenaan di rumah mereka di Taman Meru 2B hari ini, gagal apabila ibunya memaklumkan mereka masih tidur akibat kepenatan.

Menurut Safarila Azwa, dia tiba ke rumah bersama anak-anaknya kira-kira pukul 8 pagi ini selepas menemui mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada pukul 12 tengah malam tadi.

“Saya bersyukur kerana ketiga-tiga anak saya ditemui dalam keadaan selamat. Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu mencari anak-anak saya sejak berita kehilangan mereka disebarkan kelmarin (Selasa).

“Ketiga-tiga mereka ditemui oleh orang awam sebelum dihantar ke IPD Gombak kira-kira pukul 11 malam tadi,” katanya.

Difahamkan polis telah mengambil keterangan daripada tiga adik-beradik berkenaan, ibu dan bapa mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130816/dn_27/Bapa-harap-kehilangan-3-beradik-beri-pengajaran-kepada-semua#ixzz2c5Xqg4DQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

‘Saya tak maafkan dia’ – Utusan


‘Saya tak maafkan dia’

Oleh AMRAN MULUP dan SITI ROHAIZAH ZAINAL
pengarang@utusan.com. my

KLANG 8 Sept. – Nenek kepada kanak-kanak enam tahun, Noor Sofia Syaqira Abdullah yang maut dipercayai angkara mangsa dera kekasih ibu angkatnya di Melaka pada Ahad lalu tidak akan memaafkan perbuatan lelaki itu.

Rodiah Zabidin, 53, berkata, dia sedih kerana cucunya yang berperwatakan ceria itu pergi meninggalkan mereka akibat tindakan kejam suspek.

Katanya, kali terakhir dia bertemu cucunya itu adalah pada Hari Raya Aidilfitri ketiga baru-baru ini apabila Noor Sofia Syaqira datang ke rumahnya di sini bersama ibu angkat yang juga anak sulungnya.

“Ketika itu dia jadi pendiam dan tubuhnya sangat kurus. Saya bertanya kepada anak sulung saya tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana dia cakap Sofia sihat dan tidak perlu risau keadaannya.

“Itulah kali terakhir saya berjumpanya dan saya sesekali tidak akan maafkan lelaki yang membunuh cucu saya itu,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Bukit Kuda di sini hari ini.

Lebih 3 juta murid dapat susu – Metro


Lebih 3 juta murid dapat susu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Dalam usaha melahirkan generasi baru lebih cerdas, kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan Program Susu Sekolah 1Malaysia yang dinikmati lebih tiga juta murid di 7,685 sekolah rendah kerajaan di seluruh negara.

Program di bawah kendalian Kementerian Pelajaran itu bermatlamat mewujudkan generasi muda yang sihat, kuat dan mempunyai mental lebih dinamik termasuk untuk membiasakan golongan pelajar mengambil minuman berkhasiat.
Walaupun pelbagai dakwaan dibuat berkenaan program susu itu kononnya menyebabkan keracunan kepada murid sekolah, ibu bapa masih menyokong inisiatif kerajaan melahirkan generasi terbaik pada masa akan datang.

 

Suri rumah, Zabaidah Sulong, 52, berkata, apa pun dakwaan segelintir pihak terhadap program itu, dia tetap menyokong langkah kerajaan dan berharap ia diteruskan.
Katanya, bagi mengelak dakwaan buruk terus dilemparkan, dia berharap kerajaan sentiasa memastikan kualiti susu diberikan itu yang terbaik.

Remaja tinggi luar biasa diiktiraf – Sinar Harian


Remaja tinggi luar biasa diiktiraf

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Februari 2012
remaja-tinggi-2

SEREMBAN – Kisah remaja tinggi luar biasa yang pernah dipaparkan media pada awal November tahun lalu, diiktiraf sebagai remaja tertinggi di negara ini oleh Malaysia Book Of Record (MBOR).

Sheikh Akmal Sheikh Imam, 16, berkata, pengiktirafan yang diterima itu amat membanggakan dirinya dan keluarga.

Beliau yang ditawarkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil berkata, bukan semua orang berpeluang menerima pengiktirafan tersebut.

“Saya tidak pernah malu dengan ketinggian luar biasa ini, malah ia menjadi perangsang kepada saya terus berjaya dalam hidup.

“Saya juga bersyukur kerana ibu bapa saya sentiasa mengambil berat dan menyokong apa yang saya lakukan, sehinggalah saya di iktiraf oleh MBOR,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Pangsapuri Cempaka, di sini, semalam.

Sementara itu bapanya, Sheikh Imam Mohammad, 47, berkata, selepas seminggu kisah anaknya tersiar di Sinar Harian dan beberapa akhbar lain, dia menerima panggilan telefon daripada pihak MBOR supaya datang ke ibu pejabat di Kuala Lumpur, untuk menerima
pengiktirafan.

Katanya, sehingga hari ini, tiada seorang pun dapat menewaskan ketinggian anak bongsunya itu yang memiliki ketinggian 204 sentimeter.

“Apa pun gelaran dan pengiktirafan diterima oleh Sheikh Akmal, cuma satu yang saya harapkan iaitu kesihatannya baik dan memuaskan.

“Saya mahu lihat dia sentiasa sihat dan dapat menikmati kehidupan di dunia ini dengan sepuas-puasnya,” katanya.

Sekolah lama bertukar fungsi – Sinar Harian


Sekolah lama bertukar fungsi

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Februari 2012
Sekolah lama bertukar fungsi

LUI MUDA – Bangunan lama Sekolah Agama Rakyat (SAR) di sini yang tidak digunakan sejak kira-kira empat tahun lalu akan dijadikan sebagai Rumah Komuniti kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Sekolah terbabit tidak beroperasi akibat bilangan pelajar semakin berkurangan dan terpaksa ditutup.

Biar pun begitu, kawasan bangunan sekolah berkenaan masih berkeadaan baik tanpa semak atau lalang selepas dijaga dengan baik oleh penduduk setempat.

Pengurus Felda Lui Muda, Jamaluddin Nordin berkata, kelulusan menjadikan ia sebagai Rumah Komuniti diberikan pihak Pengurusan Felda Wilayah Raja Alias dengan sokongan Felda Lui Muda.

“Kerja pembersihan dan gotong-royong akan dijalankan dalam terdekat. Kita sarankan pihak AADK membuat satu permohonan sekiranya ingin baik pulih bangunan terbabit,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menghadapi masalah dengan cadangan AADK itu, malah menyokong usaha murni berkenaan.

“Kita tidak menolak kerana ia untuk kebaikan bersama. Pendekatan yang diambil pihak terbabit amat baik dan kita yakin ianya mampu beri kesan yang positif terhadap penduduk sekitar Dun Lui,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Jamaluddin berkata, ahli jawatankuasa Rumah Komuniti terbabit akan mengadakan mesyuarat bagi mengatur pelbagai program di situ tidak lama lagi.

Sementara itu, penduduk setempat, Mokhtar Abd Rahman, 56, berkata, langkah mengaktifkan semula bangu­nan berkenaan dapat menghindarkan pembaziran.

“Kalau dekat tempat lain, kita sering dengar rumah atau bangunan tinggal mesti ada aktiviti tidak sihat.

“Mujurlah di sini tidak seperti itu. Sekurang-kurangnya anak muda dapat sertai aktiviti berfaedah,” katanya.