Dua lagi pelajar sekolah ditahan – Sinar Harian


Dua lagi pelajar sekolah ditahan
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 September 2013
  • Dua lagi pelajar sekolah ditahanSuspek masih beruniform sekolah ketika ditahan.
< 1 / 1 >

LUNAS – Dua pelajar lelaki tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan sebaik keluar dari kawasan sekolah kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pihaknya mendapat maklumat ada dalam kalangan pelajar sekolah terutama lelaki menunggang motosikal curi ke sekolah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal curi berkenaan akan diletakkan kira-kira 100 meter dari kawasan sekolah sebelum berjalan kaki ke sekolah bagi mengelakkan kenderaan itu dikesan.

“Kita telah membuat pemantauan terhadap pelajar sekolah dan sekolah yang terlibat dalam masalah motosikal curi.

“Pihak Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPPJ) Ibu Pejabat Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, kemudiannya diarah menunggu suspek di luar sekolah dengan berpakaian preman. Sebaik sahaja suspek keluar dari sekolah, kami menahan mereka dan membawa mereka ke Balai Polis Lunas untuk pemeriksaan,” katanya.

Ghuzlan berkata, beberapa pelajar lain turut terlibat dan pihaknya sekali lagi ke rumah suspek kedua sebelum bertindak menahannya.

“Suspek kemudiannya dibawa balik ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut. Sehingga kini lebih 20 pelajar sekolah telah ditahan dan ada dalam kalangan mereka yang sudah di hadapkan ke mahkamah,” katanya.

Katanya, polis akan terus memburu remaja dan kumpulan yang masih bergerak aktif melakukan kegiatan curi motosikal itu.

Buli: Ibu mangsa ambil tindakan undang-undang – Sinar Harian


Buli: Ibu mangsa ambil tindakan undang-undang

NOOR AZLIDA ALIMIN
28 Jun 2013
Buli: Ibu mangsa ambil tindakan undang-undang
Rosnani dan suaminya, membuat laporan polis berhubung kejadian ini.

PASIR MAS – Ibu bapa mangsa buli di sekolah, mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap lapan pelajar yang menyerang anak mereka sehingga mendatangkan kecederaan parah.

Ibu mangsa, Rosnani Abd Ghani, 39, berkata, ini akan memberi pengajaran kepada mereka di atas kes salah laku yang dilakukan.

Menurutnya, kesalahan dilakukan pelajar berkenaan terlalu serius dan berlagak umpama kumpulan samseng.

“Saya tak dapat bayangkan, bagaimana anak saya, Khairul Radhuan Pakri, 17, dikepung lapan lelaki dan diserang bertubi-tubi.

“Ekoran kejadian itu, emosi anak saya terganggu dan saya risau ia memberi kesan jangka masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Rosnani turut meluahkan kerisauannya terhadap pembelajaran anaknya menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), November ini.

Menurutnya, Khairul terpaksa berehat selama dua minggu sebelum pembedahan dilakukan Julai ini.

Tambahnya lagi, anaknya perlu berehat sekurang-kurangnya enam minggu untuk proses penyembuhan.

Tebus keputusan percubaan – Metro


Tebus keputusan percubaan

 5  0 Google +0  0  0

Oleh Jaafar Mulup dan Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

Rembau: “Semasa peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya hanya mendapat 7A 2B 2C. Saya cukup kecewa dengan pencapaian itu, namun nekad bangkit bagi memastikan lebih cemerlang dalam peperiksaan sebenar. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana memperoleh 10A 1B,” kata, Mohd Ikmal Shahrir, 18, antara 21 calon cemerlang SPM 2012 dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Rembau, di sini.

Mohd Ikmal berkata, dia tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang sehingga meletakkan dirinya sebagai pelajar terbaik sekolah bagi SPM 2012. Sebaik tamat peperiksaan, anak kedua daripada empat beradik itu menyasarkan sembilan A dan dia bersyukur apabila usaha dilakukan selama ini membuahkan kejayaan dan mencipta sejarah buat dirinya dan keluarga. Menurutnya, tiada rahsia khusus mengenai kejayaannya itu, tetapi percaya berkat usaha ulangkaji secara bersendirian dan mengadakan latihan secara berkumpulan berupaya memperbaiki kelemahan dalam setiap subjek yang diambil.
“Selain rajin bertanya guru, perbincangan bersama rakan amat membantu. Masa yang ada digunakan sebaik mungkin, apatah lagi tinggal di asrama menjadikan saya lebih menghargai masa dan memberi komitmen 100 peratus untuk mengulang kaji pelajaran.

 

“Seperti calon beragama Islam yang lain, setiap kali solat saya sentiasa berdoa agar dipermudahkan ketika menjawab soalan. Walau sibuk menelaah, saya akan pastikan solat tetap ditunaikan,” katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah selepas Majlis Penyampaian Slip Peperiksaan SPM2012 SMA Agama Rembau, semalam.
Adiknya, Nur Hidayah,14, berkata, dia berbangga dengan pencapaian abangnya dan berazam belajar bersungguh-sungguh apatah lagi dia turut bersekolah di sekolah itu dan pastinya menjadi harapan guru untuk mengulangi kejayaan abangnya itu.
“Kejayaan abang menjadi pemangkin semangat untuk saya mencipta kecemerlangan dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM pada masa akan datang. Saya akan jadikan abang sebagai contoh terbaik dan mengambil setiap nasihatnya sebagai azimat untuk berjaya,” katanya.

 

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) Kalsom Khalid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong Datuk Zaifulbahri Idris.
Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar, Tampin, muncul sekolah terbaik di daerah Tampin dalam SPM 2012 apabila tujuh daripada 187 pelajarnya yang menduduki peperiksaan itu mendapat 9A.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Pelajar Orang Asli dapat 8A – Metro


Pelajar Orang Asli dapat 8A

 84  0 Google +0  0  0

Pekan: “Semua kerja keras saya selama ini berbaloi dan berasa sangat gembira dengan keputusan yang diperoleh,” kata Juliana Zaszira Ismail, pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam.

Juliana, 18, berkata, walaupun berasal dari masyarakat Orang Asli, itu tidak menghalang dirinya untuk bekerja keras dan mengulang kaji pelajaran dalam mencapai keputusan terbaik dalam SPM.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan itu berkata, selain kerja keras dia turut menanam semangat tiada perkara yang mustahil jika seseorang berazam untuk berjaya.

 

“Saya dan keluarga gembira dengan keputusan peperiksaan hari ini (semalam), tanpa usaha gigih serta galakan keluarga, guru dan rakan pasti kejayaan ini tidak dapat dicapai,” katanya.
Resipi kejayaannya, anak pemandu lori dari suku Jakun itu berkata, dia sering membuat ulang kaji terutama seminggu sebelum peperiksaan bermula. “Kadangkala saya habiskan masa di sekolah dan balik lewat untuk ulang kaji dan semua ini saya lakukan demi membuktikan pelajar Orang Asli juga mampu mendapat keputusan cemerlang,” katanya yang turut mendapat motivasi daripada kejayaan kakaknya yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Ulang kaji 3 jam sehari – Metro


Ulang kaji 3 jam sehari

 32  2 Google +0  0  0

Kuantan: Penyakit autisme yang dikesan sejak berada di sekolah rendah lagi tidak menghalang seorang pelajar daripada mendapat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan semalam.

Keputusan cemerlang itu menjadikan Nabil Lutfi, 18, pelajar cemerlang SPM kategori orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, di sini, kejayaan itu bukan datang dengan mudah, namun hasil kerja keras serta sokongan ibu bapa dan guru yang tidak pernah jemu membantu terutama dalam pelajaran.

 

“Saya bersyukur kepada Allah apabila akhirnya berjaya memperoleh 9A di dalam SPM walaupun mempunyai masalah pembelajaran kerana disahkan mengalami High Functioning Autisme (HFA), sejak berusia 12 tahun. “Biarpun agak lambat untuk menerima pelajaran di dalam kelas, ketekunan mengulang kaji pelajaran di rumah banyak membantu kejayaan ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, di rumah dia menghabiskan masa kira-kira tiga jam sehari bagi mengulangkaji pelajaran sambil dibantu ibu bapanya yang juga pasangan doktor.
“Antara kelemahan yang saya hadapi adalah gagal mentafsirkan semula apa yang diajar guru serta lambat menulis terutamanya ketika membuat karangan.

 

“Ibu dan bapa banyak berinteraksi dengan saya supaya minda lebih terangsang untuk bertindak balas dengan apa yang saya fahami,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Keputusan SPM: Seramai 15,793 calon dapat semua A – Utusan


Keputusan SPM: Seramai 15,793 calon dapat semua A

PUTRAJAYA 21 Mac – Seramai 15,793 daripada 472,541 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 berjaya memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, jumlah itu melibatkan seramai 13,721 calon sekolah Kementerian Pelajaran dan 2,072 calon sekolah bukan di bawah kementerian.

“Di samping itu, seramai 481 calon iaitu 438 calon sekolah kementerian dan 43 calon sekolah bukan kementerian telah berjaya memperolehi gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2012 di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130321/dn_23/Keputusan-SPM-Seramai-15793-calon-dapat-semua-A#ixzz2O9qXq49k
© Utusan Melayu (M) Bhd

Terengganu catat peningkatan kualiti dalam SPM – Utusan


Terengganu catat peningkatan kualiti dalam SPM

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA

KUALA TERENGGANU 21 Mac – Terengganu mencatatkan peningkatan dari segi kualiti dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 apabila 19 calonnya mendapat keputusan A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil berbanding hanya 15 calon pada tahun 2011.

Timbalan Pengarah Pelajaran, Hashim Mohd. Zin berkata, prestasi calon yang mendapat semua A juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 513 pelajar berbanding hanya 408 pada tahun sebelumnya.

Katanya, enam buah sekolah di negeri ini turut disenaraikan sebagai Sekolah Berpencapaian Cemerlang apabila mencatatkan Gred Purata Sekolah 2.25 dan ke bawah. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130321/dn_27/Terengganu-catat-peningkatan-kualiti-dalam-SPM#ixzz2O9qREGZY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rebah depan ibu – Metro


Rebah depan ibu

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: “Ibu…tolong lihat belakang saya, cedera tak?,” itulah pertanyaan pelajar, Lim Yok Ying, 17, kepada ibunya sebelum rebah akibat ditikam seorang lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan pisau ketika perjalanan pulang ke rumahnya dalam kejadian di Taman Selatan, di sini selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Lim, terpaksa berjalan hampir 500 meter ke pejabat ibunya bagi mendapatkan kepastian mengenai kecederaan dialaminya sebelum rebah dan dikejarkan ke hospital berhampiran.

Akibat kehilangan darah yang banyak, Lim, dilaporkan koma selama dua hari sebelum keadaannya dilaporkan kembali stabil, semalam.

Berikutan itu, ibu kepada Lim yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 30-an, memberitahu sudah membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan, semalam.

 
Menceritakan semula kejadian itu, Lee, berkata dia yang berada di pejabatnya didatangi Lim sebelum anaknya itu menunjukkan belakangnya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30

17 pelajar dakwa dihukum tanggal seluar – Berita Harian


17 pelajar dakwa dihukum tanggal seluar

2012/11/19 – 05:02:38 AMCetakEmel Kawan
Johor Bahru: Seramai 17 pelajar sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dihukum menanggalkan seluar dan tekan tubi 700 kali oleh guru selepas memuat naik rakaman video ke portal Youtube.

Pelajar terbabit yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendakwa turut ditendang pada paha dan muka, ditumbuk di perut, muka dan paha, sambil disaksikan 26 pelajar asrama lelaki sekolah itu ketika hukuman dilaksanakan.

Hukuman itu diketuai tiga guru termasuk seorang guru penolong kanan, yang dipercayai tidak berpuas hati kerana mereka memuat naik video selama tiga minit dua saat, berkaitan luahan perasaan selepas menamatkan kertas Matematik.

Bapa seorang pelajar terbabit mendakwa kejadian berlaku pada 5 November lalu antara jam 5.30 petang dan berlarutan hingga 9 malam dalam dewan makan sekolah itu.

Perkara itu dimaklumkan anak saya ketika melawatnya pada 17 November lalu. Apa yang mengaibkan, dalam kejadian itu, ada pelajar terbabit memaklumkan guru berkenaan dia tidak memakai seluar dalam.

Namun, pelajar berkenaan tetap diarah menanggalkan seluar sehingga terpaksa menjalani hukuman dalam keadaan bogel, berbanding rakan lain yang masih berseluar dalam, katanya di sini semalam.

Saya sendiri melihat rakaman asli video terbabit. Bagaimanapun, video yang dimuat naik ke dalam portal Youtube itu sudah dikeluarkan oleh pelajar selepas diarahkan berbuat demikian oleh guru terbabit.
Semua pelajar itu termasuk anak saya diugut guru terbabit, akan berdepan tindakan Sijil SPM dan Sijil Berhenti Persekolahan mereka akan disenarai hitam jika perkara itu didedahkan, katanya yang membuat aduan polis mengenai perkara itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi, ketika dihubungi, berkata beliau akan menyiasat kejadian terbabit sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, setakat ini beliau belum menerima maklumat mengenai kejadian itu dan hanya mengetahuinya apabila dihubungi wakil media semalam.

Calon SPM cedera elak anjing – Sinar Harian


Calon SPM cedera elak anjing

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Oktober 2012
Calon SPM cedera elak anjing
Hamsinah menunjukkan kecederaan yang dialami anaknya Mohd Nor Afif Irham.

Terseret beberapa meter selepas terjatuh dari motosikal

BENUT – Seorang pelajar sekolah menengah tercedera apabila motosikal yang ditungganginya terjatuh dan terseret beberapa meter, gara-gara mengelak dua ekor anjing liar yang muncul secara tiba-tiba, dalam kejadian berhampiran Parit Serom, dekat sini, Isnin lalu.

Kejadian pada jam 8.30 malam itu berlaku ketika Mohd Nor Afif Irham Abd Rashim, 17, dalam perjalanan ke sekolah untuk menghadiri kelas tambahan.

Menceritakan detik cemas yang dilalui, Mohd Nor Afif Irham berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan tanpa diduga.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah (SM) Sri Tanjung itu berkata, menjadi rutinnya pada setiap malam Isnin ke sekolah bagi menghadiri kelas tambahan yang diadakan sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Saya tak sangka kemunculan anjing liar itu memandangkan keadaan jalan ketika itu amat tenang dan sunyi.

“Secara tiba-tiba sahaja dua ekor anjing liar muncul di tengah jalan,

“Saya cuba mengelak, tapi malangnya saya terjatuh dan terseret ke bahu jalan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Markom, dekat sini, semalam.

Dia yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, ketika kejadian, tiada kenderaan lain yang melalui jalan tersebut.

Katanya, seorang penduduk yang tinggal di situ datang memberikan pertolongan kepadanya.

“Saya terus menghubungi rakan saya, dan saya dibawa menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran.

“Mujur saya tidak mengalami kecederaan yang teruk dan hanya mengalami luka di bahagian kaki, tangan dan badan,” katanya.

Ibunya, Hamsinah Omar, 51, berkata, dia amat terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Saya amat terkejut dan khuatir Afif akan mengalami kecederaan teruk yang menyebabkan dia tidak boleh mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini.

“Mujur, kecederaan Afif tidak serius,” katanya.

Jelasnya, laluan itu sudah biasa digunakan anaknya itu untuk ke sekolah yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Parit Markom.

Dia amat berharap agar kemalangan yang menimpa anak ketiga dari enam adik beradik itu dijadikan iktibar kepada pihak berkuasa yang terbabit untuk mengambil tindakan bagi mengatasi masalah anjing-anjing liar di situ.

Difahamkan, kejadian seumpama ini bukanlah yang pertama berlaku, kerana sebelum ini terdapat juga kemalangan yang melibatkan penduduk disebabkan oleh anjing-anjing liar sehingga ada yang mengorbankan nyawa.