12,520 calon SPM ulangan Selasa, Rabu – Bernama


12,520 calon SPM ulangan Selasa, Rabu

 

KUALA LUMPUR 7 Jun – Seramai 12,520 calon akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Ulangan) 2013 di 232 pusat peperiksaan di seluruh negara Selasa dan Rabu ini (11 dan 12 Jun).

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan hari ini, daripada jumlah itu, 7,148 calon mendaftar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, 2,932 mata pelajaran Matematik dan 2,440 lagi bagi kedua-dua mata pelajaran.

“Seramai 1,207 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan seperti dijadualkan,” jelas kenyataan itu.

Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan SPM (Ulangan) masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130607/dn_38/12520-calon-SPM-ulangan-Selasa-Rabu#ixzz2VWYFSO2o
© Utusan Melayu (M) Bhd

16 pelajar timba ilmu kuda – Metro


16 pelajar timba ilmu kuda

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor

Kuala Lumpur: Arena pendidikan vokasional menjadi cabang penting pendidikan pada masa kini dan diserapkan ke dalam akademik pelajar bermula pada peringkat sekolah menengah sebelum diaplikasikan ke peringkat lebih tinggi termasuk sijil sehingga kedoktoran.

Menyedari keistimewaan bidang kemahiran khususnya dalam membentuk kerjaya yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara, kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan pelan baru bertindak sebagai perintis projek iaitu Kursus Rintis Ekuin pada tahun lalu.
Seramai 16 pelajar dilatih di Kolej Vokasional Kajang dan Sungai Buloh, Selangor dan kini ditempatkan dalam industri ekuin negara dan tidak kurang juga dilatih bagi menjadi atlet yang bakal mewakili negara di peringkat antarabangsa.

 

Muhd Qairul Iqram, 18, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kolej Vokasional Sungai Buloh berkata pengalaman mengikuti latihan ekuin sangat menarik dan unik, malah menjadi kegemarannya kini.
Menurutnya, dia menghargai peluang diberi serta tidak menyesali keputusan mempelajari bidang yang sangat asing di negara ini.
“Pada awalnya saya hanya tahu secara dasar mengenai subjek kemahiran ekuin. Namun, berkat dorongan ibu, bapa dan guru semuanya berjalan lancar dan kini saya menjadi penjaga kuda di Bukit Kiara Resort Berhad bersama lima lagi rakan yang mendalami kursus sama,” katanya.

 

Muhd Qairul berkata, ketika masih di bangku kolej dia didedahkan dengan teknik penjagaan dan kebersihan kuda, selain diberi peluang menunggang kuda.
Bagi memantapkan kemahiran dan dan rakan pelajar lain bukan saja dihamparkan dengan kaedah teori, tetapi turun ke lapangan dimestikan supaya mereka benar-benar menguasai cabang pengurusan kuda.

 

“Kami akan turun ke pusat latihan praktikal di Skuardon Istiadat Berkuda, Sungai Buloh tiga kali seminggu pada sebelah pagi seawal jam 7 dan mengikuti mata pelajaran lazim lain pada sebelah petang,” katanya.
Berbeza pula dengan pelajar lepasan SPM Kolej Vokasional Kajang yang pada awalnya langsung tidak gemar ilmu mengenai kuda, Mohamad Hamzi Lot, 18.
Katanya, dia memilih bidang ekuin atas dorongan guru penyelia subjek walaupun ragu-ragu pada enam bulan pertama memulakan sesi persekolahan. “Saya teruskan juga dan memupuk minat perlahan-lahan dan apabila kelas praktikal dimulakan saya begitu seronok kerana dicurahkan dengan detikyang tidak pernah saya impikan selama ini,” katanya.
Bagi Pengarah Kolej Vokasional berkenaan, Mohd Ghazaly Haroun, mata pelajaran ekuin wajar diteruskan kerana semua pelajar rintis berjaya ditempatkan, malah kini diasah bakat secara mendalam.
Menurutnya, ia adalah peluang keemasan dalam memartabatkan industri ekuin di negara ini dan beliau turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian pelajarnya.
Ia dipersetujui Pengurus Latihan dan Pendidikan, Majlis Ekuin Malaysia (MEM), Azizan Zainal Abidin yang berperanan dalam melatih pelajar dalam menunggang kuda.
“Sebelum ini, setiap tahun kami mengambil 20 pelajar dari setiap negeri bagi diletakkan di bawah Rancangan Menunggang Kuda Dalam Sekolah (RISP). Jika ada peluang membabitkan lebih ramai pelajar.
“Kini kami bersama KPM sedang mengintai peluang untuk menjalankan kerjasama dengan kolej vokasional seluruh negara supaya Sijil Kemahiran tahap satu dan dua yang dipelajari sebelum ini dapat diteruskan sehingga ke peringkat lima,” katanya.
Dalam pada itu, Koordinator Ekuin Bukit Kiara Resort Berhad, Mohd Izry Razali berkata, enam pelajar sudah berkhidmat sejak lima bulan lalu sebagai penjaga kuda diberi peluang meningkatkan tahap kerjaya mereka dalam bidang lebih tinggi dengan penyediaan kursus seperti memasang ladam.
Mereka turut diberi peluang menjadi atlet seperti pelajar lepasan Vokasional Kajang, Muhamad Hakim Musa yang kini dilatih sebagai atlet di bawah Penang Turf Club Equestrian Centre (PNTEC).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29

Remaja maut dilanggar lori – Sinar Harian


Remaja maut dilanggar lori

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
5 April 2013
Remaja maut dilanggar lori
Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan semasa menunggu hasil keputusan bedah siasat.

ALOR SETAR – Niat seorang remaja perempuan untuk menghantar adik bongsunya ke sekolah tidak kesampaian apabila maut dilanggar sebuah lori muatan berat di Kampung Syed Ahmad, Pendang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, mangsa, Nor Hasnita Abu Hasan, 18, dari Risda Bukit Perak, Pendang, dilanggar sebuah lori yang datang dari arah bertentangan ketika cubaan mengelak sebatang pokok tumbang atas jalan.

Nor Hasnita yang menunggang motosikal Honda Wave Dash dari arah Sik menghala ke Sungai Tiang meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara adik bongsunya, Mohd Afiq Izani Abu Hasan, 13, yang membonceng motosikal berkenaan mengalami kecederaan ringan.

Menurut sumber, akibat rempuhan kuat itu, Mohd Afiq yang lengkap berpakaian sekolah tercampak 10 meter ke belakang dari tempat kejadian.

Ibu mangsa, Rosni Zainul, 52, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan atau tanda-tanda dia akan pergi buat selamanya.

“Hari-hari dia hantar adik. Pukul 6.40 pagi macam tu dia dah keluar rumah. Dia tak berubah apa, cuma adik yang berubah. Dia lambai tangan sambil menyebut ‘bye bye’ kat mak.. dah pi jauh pun lambai lagi.

“Lepas tu, dia teringin nak minum teh ais pagi-pagi lagi. Kalau tak, sebelum ni tak pernah minta,” katanya.

Rosni berkata, anaknya itu juga mempunyai impian dan cita-cita tinggi untuk mengikut jejak langkah kakak sulungnya, Haniza Abu Hasan, 22, yang telah melanjutkan pelajaran di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Selangor.

“Dia cerita nak ambil kursus melancong. Hari-hari dia berangan nak pi luar negara kalau boleh. Mak cik selalu gurau macam tu la dengan dia,” katanya.

Mangsa yang mendapat keputusan agak baik  4A, 3B dan 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini juga akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Pelancongan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perak pada awal bulan Jun nanti.

Menurutnya, mayat mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Syed Ahmad, semalam.

Bincang tambah baik pendidikan Cina – Metro


Bincang tambah baik pendidikan Cina

 0  1 Google +0  0  0

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelajaran (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melihat cadangan mengiktiraf Sijil Kelayakan Bersepadu (Gabungan Sekolah Menengah Cina) atau UEC bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ini dimaklumkan Perdana Menteri ketika mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di pejabatnya di sini, semalam.

Pengerusinya Dr Yap Tian Sin ketika membacakan kenyataan bersama dikeluarkan Perdana Menteri dan Dong Zong berkata, pertemuan diadakan bagi membincang dan bertukar idea untuk penambahbaikan pendidikan Cina di negara ini.

“Perjumpaan itu menyentuh isu pengiktirafan UEC yang ada hubung kait dengan permohonan memasuki IPTA. Kami juga berbincang mengenai pelajar sekolah aliran Cina yang perlu sekurang-kurangnya kredit bagi Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama UEC sebagai syarat permohonan ke IPTA.
“Kami juga berbincang mengenai pengiktirafan subjek Bahasa Malaysia dalam UEC,” katanya. ketika ditemui media di luar bangunan Perdana Putra di sini.
Dr Yap turut mengakui ia kenyataan bersama pertama dikeluarkan kedua-dua pihak dalam tempoh lebih 50 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Najib ucap tahniah kepada penerima Biasiswa Nasional 2013 – Bernama


Najib ucap tahniah kepada penerima Biasiswa Nasional 2013

2013/04/02 – 16:55:24 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada 50 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang menerima Biasiswa Nasional 2013.

Beliau turut menasihati pelajar berkenaan supaya tidak melupakan peranan yang disumbangkan ibu bapa dan guru sehingga mereka mencapai kejayaan itu.

“Tahniah kepada 50 pelajar cemerlang SPM tahun lalu yang menerima Biasiswa Nasional. Jangan lupa usaha ibu bapa dan guru yang memainkan peranan penting,” katanya dalam tweet terbaru beliau hari ini.

Pelajar cemerlang itu menerima biasiswa tersebut yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di ibu negara, semalam.

Melalui program Biasiswa Nasional, penerima akan ditaja dari peringkat persediaan hingga peringkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang pilihan mereka yang diiktiraf kerajaan di dalam dan luar negara.

Program itu diperkenalkan pada tahun 2010 dengan 30 pelajar cemerlang SPM 2009 menerima biasiswa tersebut, tetapi ditambah menjadi 50 orang mulai 2012 ekoran peningkatan ketara pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 2011.

– BERNAMA

NUTP minta tangguh pelaksanaan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris – Utusan


NUTP minta tangguh pelaksanaan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris

GENTING HIGHLANDS 29 Mac – Pelaksanaan syarat wajib lulus subjek Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu dilaksanakan dalam tempoh 12 tahun akan datang berbanding cadangan awal pada 2016.

Cadangan itu antara hasil pembentangan Kajian Pertengahan Penggal 200 Perwakilan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) seluruh negara di sini hari ini.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, NUTP menyokong penuh syarat baharu tersebut namun mengharapkan Kementerian Pelajaran tidak melaksanakannya segera bagi memberi tumpuan dari segi persiapan guru dan murid ke arah kejayaan pelaksanaan itu.

“Tempoh 12 tahun sehingga 2025 itu bagi memberi ruang dan masa kepada persediaan kemudahan di sekolah, latihan dan bimbingan kepada guru kemahiran tinggi termasuk persediaan dalam kalangan pelajar,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan pembentangan kajian itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini memberitahu, subjek Bahasa Inggeris berkemungkinan besar dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi SPM bermula 2016.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130330/dn_10/NUTP-minta-tangguh-pelaksanaan-syarat-wajib-lulus-Bahasa-Inggeris#ixzz2P2TFACon
© Utusan Melayu (M) Bhd

Cemerlang SPM hadiah buat ibu – Sinar Harian


Cemerlang SPM hadiah buat ibu

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Mac 2013
Cemerlang SPM hadiah buat ibu
Suzita (tiga, kiri) terharu apabila mendapat ucapan tahniah daripada rakan-rakan di SMK Kubang Bemban.

PASIR MAS – Seorang anak tunggal di Kampung Dalam Parit tidak meletakkan kesulitan hidup, sebagai halangan untuk berjaya dalam pelajaran dan mendapat keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun lalu.

Pelajar, Suzita Mukhtar, 18, antara pelajar cemerlang di sekolah kluster, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Suzita banyak mengharumkan nama baik sekolah, menerusi pertandingan debat, syarahan dan sajak sehingga ke peringkat negeri.

Menurutnya, keputusan cemerlang ini merupakan hadiah paling berharga buat ibunya, Che Embong Deraman, 53, dan ayah tirinya, Ismail Mat Hassan, 79.

“Ibu banyak berkorban dan sanggup bekerja menoreh getah demi menyediakan keperluan persekolahan saya.

“Berbekalkan wang upah menoreh, ia akan dibahagikan pula untuk keperluan ayah tiri yang lumpuh,” katanya semalam.

Suzita berkata, keputusan peperiksaan ini adalah bukti kasih sayangnya kepada kedua ibu bapa yang banyak memberinya semangat sebelum dan selepas menduduki peperiksaan.

Katanya, dia berjanji mahu membantu keluarga dan mengeluarkan mereka daripada kemiskinan dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat pekerjaan yang baik kelak.

Sementara itu, Pengetua Cemerlang, Norasimah Ab Rasid berkata, Suzita antara 25 pelajar yang mendapat keputusan semua A dalam SPM kali ini.

“Kita turut berbangga apabila 236 pelajar kita, mencapai 100 peratus lulus dalam kesemua mata pelajaran.

“Ini berkat usaha semua guru yang mendidik anak-anak ke arah kecemerlangan sejak awal sesi persekolahan,” katanya.

Pelajar kurang cemerlang berpeluang ikuti kursus kemahiran percuma – Utusan


Pelajar kurang cemerlang berpeluang ikuti kursus kemahiran percuma

KUALA LUMPUR 24 Mac – Pelajar yang gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran secara percuma melalui Kursus Diploma Kemahiran Malaysia.

Inisiatif Pertubuhan Kebajikan Sri Gading Malaysia dengan kerjasama Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri itu menyasarkan pelajar dan belia berumur antara 16 hingga 26 tahun bagi mengikuti pelbagai kursus kemahiran yang ditawarkan di 10 kolej kemahiran terlibat.

Pengerusi penganjur program, P. Sri Ganesh berkata, program yang diperkenalkan sejak 2009 itu memberi peluang kepada sebanyak 300 peserta mengikuti pengajian dalam program latihan peringkat sijil dan diploma setiap tahun.

“Pelajar akan mengikuti latihan selama enam bulan hingga dua tahun setengah mengikut program yang ditawarkan serta dijamin memperoleh tempat dalam industri selepas menamatkan pengajian masing-masing.

“Lebih menarik, mereka juga tidak dikenakan sebarang bayaran, malah menerima elaun sara hidup sebanyak RM300 setiap bulan,” katanya kepada pemberita dalam program Seminar Latihan Kemahiran Secara Percuma Kepada Lepasan PRM dan SPM di sini hari ini.

Program itu dijalankan di sebanyak 16 lokasi seluruh negara termasuk Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kedah, selain akan turut diadakan di Kelantan dan Terengganu pada masa depan.

Tambah Sri Ganesh, pelajar atau belia yang berminat menyertai program itu hanya perlu mempunyai kemahiran membaca dan menulis sebagai kelayakan minimum dan terbuka kepada semua kaum.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung program itu boleh menghubungi talian 012-5247323 dan 012-2602524 atau melayari laman web http://www.MYSKILLS.com.my. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130324/dn_42/Pelajar-kurang-cemerlang-berpeluang-ikuti-kursus-kemahiran-percuma#ixzz2OT00ZmAT
© Utusan Melayu (M) Bhd

SPM Terengganu terus cemerlang – Sinar Harian


SPM Terengganu terus cemerlang

NORHAFIZA MUSA
22 Mac 2013

KUALA TERENGGANU – Terengganu terus mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila merekodkan peningkatan dari segi kualiti pelajar yang memperoleh semua A+ bagi keputusan peperiksaan tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Hashim Mohd Zin, berkata prestasi calon yang memperoleh semua A turut meningkat dengan 513 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (2.46 peratus) berjaya mencapai keputusan itu, berbanding 408 calon (1.95 peratus) pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, berdasarkan keputusan yang diumumkan semalam, pelajar yang memperoleh semua A+  atau cemerlang tertinggi dalam semua mata pelajaran juga meningkat empat orang kepada 19 orang, berbanding 15 orang pada 2011.

“Seramai 19 calon sekolah KPM (0.09 peratus) berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding 15 orang (0.07 peratus) pada 2011.

“Saya ingin menegaskan bahawa bukanlah suatu yang mudah bagi mencapai calon gred cemerlang tertinggi ini melainkan dengan disiplin, tekad, semangat dan komitmen serta sokongan moral semua pihak akan mampu melahirkan pelajar sebegini.

“Namun, tiga tahun kebelakangan ini (2010 hingga 2012) Terengganu mampu menghasilkan lebih daripada 10 orang setiap tahun bagi kategori Gred Cemerlang Tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa mengumumkan keputusan SPM 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, semalam.

Hashim berkata, seorang calon, Ong Jia Pei, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin mendapat 12A+, empat calon mendapat 11A+, tiga calon (10+) dan 11 calon mendapat 9A+.

Katanya, enam sekolah menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.25 dan ke bawah, iaitu  Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu (1.49), SM Imtiaz Besut (1.67), SM Sains Kuala Terengganu (1.79), SM Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (2.06), SM Sains Hulu Terengganu (2.07) dan SM Imtiaz Kuala Terengganu (2.23).

“Selain itu, prestasi mata pelajaran turut membanggakan apabila 33 daripada 73 mata pelajaran yang diambil calon SPM menunjukkan peningkatan berdasarkan Gred Purata Mata pelajaran (GPMP).

“Bagi kategori cemerlang, sebanyak 23 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus (gred cemerlang A+, A atau A-). Sebanyak 20 mata pelajaran menunjukkan prestasi stabil iaitu peningkatan atau penurunan kurang daripada tiga peratus (gred cemerlang A+, A atau A-), manakala 29 mata pelajaran menurun prestasinya melebihi tiga peratus (gred cemerlang A+, A atau A-),” katanya.

Menurutnya, bagi prestasi gred kepujian (B+, B, C+,C) pula sebanyak 28 mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi tiga peratus, 21 mata pelajaran adalah stabil, manakala 23 mata pelajaran menunjukkan penurunan melebihi tiga peratus.

Seramai 22,274 calon menduduki SPM 2012 berbanding 22,702 orang pada 2011 di 183 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.

Selain itu, seramai 32 orang Calon Berkeperluan Khas (CBK) telah menduduki SPM pada 2012, 17 orang calon telah berjaya mendapat sijil SPM dan terdapat seorang calon berjaya mendapat keputusan cemerlang 10A dan 1B, iaitu Low Khong Yi yang mengalami cacat pendengaran  dari SMK Chung Hwa Wei Sin.

Keputusan SPM di Melaka menurun – Sinar Harian


Keputusan SPM di Melaka menurun

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mac 2013

MELAKA – Seramai 21 pelajar di Melaka memperoleh A+ dan 409 mendapat A bagi semua mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, semalam.

Pencapaian itu sedikit menurun berbanding 428 pelajar mendapat keseluruhan A pada 2011.

Pengarah Pelajaran Negeri, Kasim Mohamad berkata, pencapaian gred purata negeri mencatatkan 5.01 peratus berbanding 2011 (4.91).

Menurutnya, seramai 12,357 (93.24 peratus) daripada 13,253 pelajar sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berjaya mendapat sijil iaitu lulus bahasa Melayu.

Terdahulu, seramai 15,934 calon di negeri itu mendaftar bagi SPM dan 13,380 adalah calon daripada sekolah KPM dengan membabitkan 1,102 petugas peperiksaan.

“Sebanyak 19 sekolah mencapai keputusan 100 peratus layak menerima sijil berbanding 21 pada tahun 2011.

“Manakala, 43 sekolah melahirkan pelajar mencapai gred cemerlang A dalam semua mata pelajaran berbanding 51 pada tahun 2011,” katanya kepada media sempena pengumuman keputusan SPM di Pejabat Pelajaran Negeri, di sini, semalam.

Sementara itu, 74 sekolah KPM mencapai gred purata sekolah 6.75 iaitu tiga sekolah dalam kategori cemerlang, 18 kategori baik dan 53 memuaskan selain dua sekolah berpotensi.

Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah muncul sekolah cemerlang apabila 54 pelajarnya mendapat semua A selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent (M), 49 orang dan SMK Gajah Berang (43).

Antara mencapai 100 peratus layak menerima sijil melibatkan tujuh Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka selain SMK Iskandar Shah, SMK Tinggi Perempuan dan SMK Telok Mas.