Muhyiddin ucap syabas kejayaan cemerlang Sekolah Seri Puteri – Berita Harian


Muhyiddin ucap syabas kejayaan cemerlang Sekolah Seri Puteri

2013/03/21 – 14:03:02 PMCetakEmel Kawan
CYBERJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Sekolah Seri Puteri di sini, kerana berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata kejayaan sekolah berkenaan mencatat sejarah dalam pendidikan negara kerana bukan saja memperoleh keputusan semua A dalam setiap mata pelajaran malah mencatat markah tertinggi dalam keputusan SPM setakai ini.

“Tahniah kepada Seri Puteri kerana menduduki tangga kedua daripada 50 sekolah terbaik dalam keputusan SPM di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman, Penyampaian Keputusan dan Tinjauan SPM 2012 di Sekolah Seri Puteri di sini, sebentar tadi.

Katanya, keputusan cemerlang itu diperoleh menerusi jalinan kerjasama yang cukup erat antara Kementerian Pelajaran, Pejabat Daerah dan sekolah serta pelajar itu sendiri.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan cenderahati kepada 14 calon SPM yang mencatat keputusan A+ dalam semua subjek.

Abang maut dibelasah adik dalam pertengkaran – Bernama


Abang maut dibelasah adik dalam pertengkaran

2012/12/02 – 13:37:30 PMCetakEmel Kawan
GEORGETOWN: Seorang remaja maut selepas dibelasah oleh adik kandungnya dalam satu pertengkaran di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 17, maut akibat mengalami kecederaan dalaman di kepala di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Difahamkan pertengkaran berlaku apabila suspek, 15, yang baru pulang ke rumah dikatakan mengusik adik perempuan mereka yang berusia enam tahun.

Mangsa yang sedang berbaring di atas sofa dikatakan tiba-tiba bangun dan terus menendang suspek.

Marah dengan tindakan abangnya, suspek kemudian bertindak menumbuk kepala abangnya berkali-kali sehingga rebah di atas lantai.

Mangsa, anak sulung daripada tiga beradik itu baru saja selesai menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Isnin lalu.

Menurut jurucakap polis, ibu mereka cuba meleraikan pergaduhan antara dua beradik itu namun gagal dan juga meminta jiran untuk membawa mangsa ke HPP.
“Polis sudah menahan suspek di kediaman mereka bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Md Zin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. – BERNAMA