30 pelajar keracunan makanan – Sinar Harian


30 pelajar keracunan makanan
NOOR ‘AINON MOHAMED YUSOF
7 Julai 2012
SUNGAI SIPUT – Seramai 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini terpaksa menerima rawatan selepas mengalami muntah-muntah, loya, sakit perut dan cirit biritselepas bersarapan pagi tadi.

Difahamkan, kesemua pelajaritu yang berusia 15, 17 dan 19 tahun mengalami keracunan makanan setelah bersarapan di kantin asrama sebelum mengikuti program motivasi khas untuk pelajar tingkatan tiga, lima dan enam.

Mereka bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Keputusan STPM: 5,838 calon di Kelantan lulus penuh – Utusan


Keputusan STPM: 5,838 calon di Kelantan lulus penuh

07/03/2012 3:08pm

 

 

“Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB”

 

KOTA BHARU 7 Mac – Seramai 5,838 orang atau 95.99 peratus daripada 6,082 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ( STPM ) 2011 di seluruh negeri ini mendapat kelulusan penuh.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,321 atau 54.61 peratus mendapat empat dan lima prinsipal turun sedikit berbanding 3,365 orang tahun lalu.

Beliau berkata, dengan keputusan tersebut, peratusan calon STPM di Kelantan yang lulus penuh telah mengatasi keputusan peringkat nasional iaitu 95.99 peratus berbanding 92.18 peratus.

Katanya, peratusan kemerlangan pelajar yang memperolehi keputusan empat dan lima prinsipal juga berjaya mengatasi peringkat nasional iaitu 54.61 peratus berbanding 45.82 peratus.

“Pada tahun ini sekali lagi negeri Kelantan mengulangi pencapaian tahun-tahun lepas di mana turut mempunyai pelajar terbaik peringkat nasional.

“Pelajar tersebut ialah Muhammad Zulhilmi Mohd. Salleh dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, Kota Bharu dengan memperolehi 5 Prisipal A,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN

STPM 2011: 46,712 atau 92.19% calon lulus, 12 dapat 5A – Bernama


STPM 2011: 46,712 atau 92.19% calon lulus, 12 dapat 5A

07/03/2012 3:57pm

 

KUALA LUMPUR 7 Mac — Seramai 46,712 atau 92.19 peratus calon telah lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 berbanding 46,795 (92.5) pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin berkata, 12 calon telah mencapai keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding lapan calon pada tahun sebelumnya.

Pada umumnya, prestasi calon tahun 2011 adalah sama dengan tahun 2010, di mana Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) adalah sama, iaitu 2.22, katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2011 di sini hari ini.

Pada tahun 2011, seramai 298 calon (0.59 peratus) mendapat PGNK 4.00 berbanding 343 calon (0.68) pada tahun sebelumnya.

Seramai 50,669 calon menduduki peperiksaan itu tahun lepas.

Mohd Noh berkata, jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara apabila prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada calon luar bandar.

Katanya, bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 948 orang atau 12.64 peratus berbanding hanya 93 (6.14) pelajar luar bandar.

Katanya, bilangan calon bandar aliran Sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah 357 orang (14.2) berbanding hanya 11 (12.64) luar bandar manakala bilangan calon bandar aliran sastera yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah 591 (11.85) berbanding hanya 82 (5.75) luar bandar.

Daripada segi prestasi sekolah, beliau berkata, sekolah kerajaan menunjukkan penurunan berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu PNGK sekolah kerajaan pada tahun lalu ialah 2.29 berbanding 2.32 pada tahun sebelumnya.

Pada tahun 2011, sebanyak 52 buah sekolah mencapai PNGK 2.8 atau lebih tinggi berbanding 47 sekolah pada tahun sebelumnya dan 55 sekolah pada 2009.- BERNAMA

Keputusan STPM diumumkan Rabu depan – Bernama


Keputusan STPM diumumkan Rabu depan

2012/03/01

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 akan diumumkan Rabu depan.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM ResultNo.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.

Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai jam 12 tengah hari pada tarikh tersebut.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada tarikh yang sama pada jam 12 tengah hari di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lalu 50,602 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 46,817 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,266 calon sekolah swasta dan 2,519 calon persendirian. – BERNAMA