Gejala ponteng perlu ditangani sebaik mungkin: Raja Muda Perlis – Bernama


Gejala ponteng perlu ditangani sebaik mungkin: Raja Muda Perlis

2012/04/06

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melahirkan rasa bimbang dengan gejala ponteng sekolah sekarang dan mahu ianya ditangani sebaik mungkin kerana perbuatan itu bukan saja merugikan pelajar malah memberi kesan negatif kepada negara.

Ketika melancarkan program Titian Kasih Mega, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Saffi, Simpang Empat dekat sini, baginda menasihati pelajar supaya menjauhi perbuatan itu manakala pihak sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru perlu menggembleng tenaga secara berterusan melaksanakan langkah pencegahannya. “Tidak perlu menuding jari antara satu sama lain kerana isu ini memerlukan tanggungjawab bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak langkah buruk padahnya,” titah baginda pada majlis anjuran bersama Yayasan Tuanku Syed Putra dan Jabatan Pelajaran Perlis itu.

Menurut baginda, pelbagai faktor menjadi penyebab kepada masalah ponteng termasuk suasana persekitaran pembelajaran, pengaruh media massa, sikap pelajar dan juga pengaruh rakan.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah bahawa antara kesan buruk kepada pelajar yang ponteng sekolah ialah mereka terdedah kepada gejala sosial negatif, prestasi pembelajaran merosot dan peluang mereka dalam pasaran pekerjaan selepas tamat persekolahan menjadi sukar.

“Negara akan kekurangan bakal peneraju yang berwawasan,” titah baginda. – BERNAMA