Remaja maut nahas 2 kenderaan
5 Mei 2013

Keadaan motosikal mangsa di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
MACHANG – Seorang remaja maut dalam keadaan tragis selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah treler sebelum diseret kenderaan berat itu di Kilometer 6 Jalan Machang-Tanah Merah, malam, kelmarin.
Dalam kemalangan pada jam 9.20 malam itu, mangsa, Tuan Mohd Arif Tuan Mahmood, 17 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di keseluruhan badan.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan, Che Malek Bedot berkata, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari arah Machang ke Tanah Merah sebelum terlibat dalam kemalangan berhampiran simpang empat Wakaf Bata, di sini.
Katanya, kejadian itu berlaku semasa mangsa dipercayai cuba memotong treler di hadapannya namun tidak berjaya dan bergesel sebelum terjatuh dan diseret kenderaan itu.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga mangsa. kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ayah mangsa, Tuan Mahmood berkata, mangsa keluar selepas diajak rakan-rakannya beberapa minit sebelum kejadian itu.
“Dah ajalnya, dia sebenarnya dah tidur namun bangun dan keluar selepas beberapa rakannya datang ke rumah. Mungkin mereka keluar untuk minum bersama-sama.
“Saya mengetahui kejadian ini selepas rakannya berpatah balik ke rumah kami untuk memaklumkan kejadian ini,” katanya redha.