Ramlah Adam: Subjek sejarah perlu wujud semula – Sinar Harian


Ramlah Adam: Subjek sejarah perlu wujud semula
NIZAM ZAIN
21 Ogos 2013
  •  Ramlah Adam: Subjek sejarah perlu wujud semula
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – [Video] Subjek sejarah perlu diperkenalkan semula di sekolah bagi melahirkan perpaduan kaum yang dilihat semakin rapuh sejak akhir-akhir ini.
Malah dalam beberapa isu yang ditimbulkan beberapa pihak sebelum ini juga turut mengaitkannya dengan sensitiviti kaum negara ini.

Pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, sejak subjek itu digantikan dengan Kajian Tempatan, anak-anak muda seolah-olah melupakan sejarah negara hingga sanggup menggadaikan perpaduan nasional dengan memuat naik kenyataan di internet yang boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

“Subjek Kajian Tempatan dengan Sejarah berbeza. Kajian Tempatan menggabungkan elemen-elemen ada hal ehwal semasa, sejarah, ilmu alam dan kemasyarakatan, namun gabungan itu hanya dipelajari secara umum.

“Sebab itu kita perlukan satu mekanisme atau saluran untuk melahirkan semangat berpadu itu di kalangan pelajar dari usia muda lagi supaya mereka merasakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang mempunyai inspirasi yang sama untuk menyayangi negaranya,”

“Kita perlu ajar sejarah di sekolah khususnya untuk mengenal tentang asal-usul negara, tamadun dunia sekali gus melahirkan perasaan patriotisme di kalangan pelajar kerana mata pelajaran itu akan diguna pakai semua kaum dan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sikap segelintir anak muda yang semakin melupakan sejarah negara dengan pelbagai cubaan menjejaskan keharmonian perpaduan nasional dengan memuat naik pelbagai kenyataan kontroversi termasuk menimbulkan ketegangan kaum di laman sosial mutakhir ini.

Tambah beliau yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, mata pelajaran sejarah itu juga akan turut memuatkan nilai-nilai murni dan membentuk jati diri supaya mereka bangga menjadi warganegara Malaysia.

“Dalam buku sejarah itu, kita semaikan perasaan sayangkan negara, semangat perpaduan, bekerjasama, toleransi, hormat-menghormati, seperti lapan tonggak dalam agenda 1Malaysia, kita masukkan semua elemen itu, apabila anak-anak baca buku itu, kita dapat didik hati dan fikiran mereka tentang perlunya perpaduan, tidak lagi dilihat seperti bermusuh.

“Mereka juga perlu berasa bangga kerana itu adalah identiti Malaysia yang kita hendak semaikan dalam diri anak-anak kita melalui silibus sejarah ini,” jelasnya sambil menambah generasi baru perlu dididik dengan sikap toleransi yang tinggi dan mengelakkan permusuhan antara kaum dan menggalakkan mereka bersaing untuk memajukan diri.

Katanya, sudah masanya mata pelajaran sejarah itu dikembalikan di sekolah bagi mengatasi sindrom golongan muda yang kian melupakan dan menghayati sejarah negara baik sebelum terbentuknya Malaysia ataupun selepas kemerdekaan negara dicapai.

ARTIKEL BERKAITAN

Penjawat awam syukur terima ‘hadiah’ skim gaji baru – Sinar Harian


Penjawat awam syukur terima ‘hadiah’ skim gaji baru

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI DAN MOHAMMAD KHALIL ADZHARI
12 Mac 2013

SHAH ALAM – Kakitangan awam melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan pengumuman sembilan perkara terutama faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang akan dilaksanakan pada 1 Julai ini.

Menerusi pengumuman berkenaan, 1.4 juta penjawat awam akan menerima kenaikan antara RM80 hingga RM320.

Ia sebahagian daripada sistem saraan baru iaitu Sistem Saraan Transformatif (SST).

Rata-rata penjawat awam yang ditemui Sinar Harian Online, khususnya pasukan keselamatan, menyambut baik pengumuman berkenaan yang dilihat dapat meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Anggota polis trafik, Fazie Daud, 27, berkata, berita baik yang diumumkan perdana menteri menunjukkan keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan penjawat awam, khususnya pasukan keselamatan yang kerap berdepan risiko ketika bertugas.

“Saya ucapkan terima kasih kepada perdana menteri di atas pengumuman ini. Ini menunjukkan kerajaan komited membela nasib penjawat awam. Pengorbanan dan komitmen kami dihargai,” katanya.

Pendirian yang sama turut disuarakan oleh rakan beliau, Mohd Izwan, 29, yang menyifatkan ia langkah proaktif bagi meringankan beban penjawat awam.

“Ia sedikit sebanyak membantu saya sekeluarga. Kenaikan ini membantu kami membeli barang keperluan dapur.

“Perbelanjaan khususnya di bandar besar seperti Shah Alam juga Kuala Lumpur tinggi. Jadi ia membantu kami sekeluarga,” ujarnya.

Sementara itu, pegawai bomba, Shahrudin Mohammad, 49, berkata, pengumuman yang dibuat perdana menteri dapat melonjakkan produktiviti penjawat awam.

“Menerusi kenaikan ini dapat meringankan beban perbelanjaan harian juga persekolahan anak-anak. Ia secara tidak langsung merangsang kakitangan awam berkerja dengan lebih tekun,” jelasnya.

Bagi Jumari Hussin, 52, juga anggota bomba, berkata faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan yang bakal diterima dapat menambah tabungan keluarga terutamanya yang berpangkat rendah.

“Saya bersyukur dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri. Ia menunjukkan kerajaan prihatin akan masalah yang dihadapi kakitangan awam. Melalui kenaikkan gaji ini, kami mampu menyimpan lebih tabungan pada setiap bulan,” katanya.

Antara perkara yang diumumkan oleh Najib semalam:

– Mulai 1 Januari 2013, pangkat dalam ATM dan PDRM disetarakan dengan perkhidmatan awam iaitu Koperal ATM & PDRM dari gred gaji 17 kepada gred 22; Sarjan ATM & PDRM dari gred 27 kepada gred 29; Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis dari gred 41 kepada 44; Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis dari gred 41 kepada 46A; Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dari gred 48 kepada 52

– 50,000 pegawai kontrak yang tamat kontraknya pada 31 Disember 2013, akan disambung lagi setahun. Kajian menyeluruh akan dilaksanakan kemudian

– Skim perkhidmatan dari gred 1 hingga 10, dinaik taraf kepada gred gaji kelayakan masuk PMR. Seramai 166,541 penyandang terima manfaat itu

– Kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana – dipendekkan tempoh kenaikan pangkat dari tempoh 15 tahun kepada 13 tahun. Ia melibatkan seramai 17,000 penjawat awam yang layak

– Kerajaan setuju luaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi

–  Seramai 182,434 penjawat awam punyai gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat kenaikan gaji tahunan, semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum ditambah Kenaikan Gaji Tahunan sebanyak 3 KGT (Kenaikan Gaji Tahunan), berkuat kuasa 1 Januari 2013

– Sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan setuju beri Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus kepada pegawai yang capai dan punyai gaji maksimum

– Dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), bagi KGT Gred 1 hingga 11 dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, kerajaan setuju buat tambah baik sebelum akhir 2013 berpandukan prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja relativiti dan pariti perkhidmatan serta “pay for performanca”

– Kerajaan setuju beri semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak 1 KGT diawalkan pada 1 Julai 2013. Setiap penjawat awam terima antara RM80 hingga RM320. Ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion

Cuepacs: ‘Jangan dihabis 8 jam kerja dengan berpolitik’ – Sinar Harian


Cuepacs: ‘Jangan dihabis 8 jam kerja dengan berpolitik’

NIZAM ZAIN
23 Februari 2013
Presiden Cuepacs, Omar Osman
$entry.content.caption.value

SHAH ALAM – “Kita tak mahu kakitangan awam bekerja lapan jam sehari dihabiskan dengan politik.”

Demikan menurut Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman.

Omar mengingatkan penjawat awam supaya tidak mengkhianati akujanji yang telah dibuat sebelum pelantikan mereka, malah menjadi tanggungjawab untuk merahsiakannya daripada pengetahuan umum.

“Kalau dia nak cerita hal lain tak apa, asalkan akujanji mereka simpan maklumat dan rahsia kerajaan tidak didedah kepada umum.

“… kita tak fokus parti mana pun untuk berpolitik, kalau boleh biarlah penjawat awam sokong kerajaan, tak boleh laporkan rahsia kerajaan kepada pihak lain,” katanya yang dihubungi Sinar Harian Online.

Omar juga memberi amaran supaya penjawat awam yang ingin berpolitik agar tidak memburuk-burukkan kerajaan dan menghentam pemimpin negara sepanjang waktu bekerja di pejabat.

Sikap tidak bertanggungjawab itu kata beliau, perlu dielakkan kerana khuatir menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

“Kalau cerita kata kerajaan tak betul dan sebagainya, itu tidak patut dilakukan.

“… kerajaan bayar gaji mereka, tak adil jika penjawat awam memburuk-burukkan kerajaan.

“… kita tak mahu kakitangan awam bekerja lapan jam sehari dihabiskan dengan politik,” tegasnya.

Beliau mengingatkan penjawat awam supaya membantu kerajaan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah.

Omar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin tang memberi amaran kepada penjawat awam yang terbabit dengan kegiatan politik tanpa kebenaran daripada ketua jabatan ataupun berpolitik dalam waktu kerja boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan pekeliling yang membenarkan kumpulan pelaksana iaitu dari Gred 1 hingga Gred 40 terbabit dalam politik tetapi perlu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, antaranya mesti mendapat kebenaran daripada ketua jabatan dan berpolitik selepas waktu pejabat.

Dalam pada itu, bekas Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani menggesa penjawat awam yang berhasrat untuk menceburi bidang politik supaya meletakkan jawatan bagi memastikan tanggungjawab mereka kepada negara tidak terabai.

Muhammad menegaskan, sekiranya kakitangan kerajaan benar-benar serius dalam politik, mereka sepatutnya tidak mencampuradukkan antara tugasan dan politik yang sedikit sebanyak boleh menjejaskan jentera kerajaan berfungsi dengan baik sekali dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Kalau mereka nak bermain politik, mereka patut letak jawatan dan tumpu kepada politik, melainkan mereka boleh membahagikan masa yang sesuai.

“… sekiranya mereka berminat dalam politik, sewajarnya mereka meminta kebenaran daripada ketua jabatan itu sendiri, dia tak boleh berpolitik merata-rata dan ambil kesempatan,” katanya lagi.

Tambah Muhammad, beliau mendapati ramai penjawat awam yang terlibat dalam politik bukannya secara serius, sebaliknya sebagai ejen propaganda parti politik tertentu yang berperanan menghasut generasi muda dan memburuk-buruk kerajaan serta pemimpin negara.

Beliau kesal apabila terdapat segelintir guru di sekolah yang mengambil kesempatan terhadap pelajarnya dengan menyebarkan dakyah pembangkang, sekali gus boleh merosakkan minda generasi muda.

“Saya bersetuju (ambil tindakan) dan kita tertanya-tanya dari dulu lagi penjawat awam yang menjalankan kegiatan politik semasa bertugas.

“… ada guru mempengaruhi murid-murid supaya memberi sokongan kepada parti-parti tertentu, memburuk-burukkan kerajaan, jadi ia merosakkan minda generasi muda, ini satu perbuatan yang tidak baik.

“… mereka itu bukan minat menjadi pemimpin politik pun, tetapi dia berminat untuk memburuk-burukkan atau menghasut murid-murid,” tegasnya sambil menyifatkan penjawat awam yang terlibat dalam politik tidak menguntungkan, sebaliknya merugikan rakyat.

Cuepacs mahu kajian semula elaun disegerakan – Sinar Harian


Cuepacs mahu kajian semula elaun disegerakan

JAMILAH HAMZAH
9 Februari 2013
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman

SHAH ALAM – Pengumuman kerajaan untuk mengkaji semula elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup dilihat bertepatan dengan masa sekarang, kata Cuepacs.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, beberapa perkara berkaitan penjawat awam perlu disemak termasuklah skim gaji baru, peluang kenaikan pangkat dan gelaran nama jawatan.

Katanya, “kesemua elaun itu sudah lama tidak dibuat semakan dan tidak begitu relevan diguna pakai sehingga kini terutama sekali skim gaji baru, skim kenaikan pangkat dan insentif-insentif lain perlu dibuat semakan secara menyeluruh dan segera.”

“Lagipun sudah terlalu lama elaun penjawat awam tidak disemak,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penjawat awam bakal menerima berita gembira daripada kerajaan tidak lama lagi.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa turut mengumumkan  lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup akan dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahan.

Dalam masa sama, Omar turut menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh kerajaan kerana pengumuman yang dibuat itu memang dinantikan oleh semua penjawat awam yang telah lama mengharapkan perkara itu berlaku.

Menurutnya, semakan semula secara menyeluruh terhadap elaun perlu dibuat secepat mungkin bagi memastikan hak penjawat awam diterima secara sama rata.

Beliau juga berkata, elaun-elaun insentif ini perlu dibuat semakan secara komprenhensif.

“Sudah lama penjawat awam ini menunggu penambahbaikkan elaun-elaun mereka.

“Memang sudah sampai masa kerajaan membela hak penjawat awam ini, dan saya yakin kerajaan telah pun mengkajinya dan perlu disegerakan,” katanya.

Puad: ‘LGBT penyakit sosial, makin serius’ – Sinar Harian


Puad: ‘LGBT penyakit sosial, makin serius’

NURUL AINI MOHAMED ALI
15 Oktober 2012
Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

FENOMENA golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan isu baru di kalangan masyarakat kita.

Namun, fenomena ini seakan-akan menjadi ‘duri dalam daging’ dan satu “penyakit” senyap melanda negara.

Sama ada ramai yang tidak mahu ambil tahu atau merasakan fenomena ini masih lagi ‘taboo’ di kalangan masyarakat, hakikatnya fenomena ini semakin serius dan jika ia tidak dibendung dari akar umbi, penyakit ini mampu menjadi semakin parah.

Ke mana hilangnya nilai moral rakyat Malaysia kini? Soal moral dan akidah sudah ditolak tepi, jalan yang lurus juga seakan-akan sudah hilang dari pandangan mereka.

Ikuti  wawancara Sinar Harian Online bersama Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang sanggup turun padang mengikuti setiap seminar yang dijalankan bagi membendung fenomena yang semakin menghantui negara ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana timbul idea menjelajah sekolah seluruh negara bagi membendung fenomena LGBT di negara ini?

DR PUAD ZARKASHI: Sebenarnya seminar keibubapaan menangani gejala LGBT ini bukanlah anjuran Kementerian Pelajaran. Ia dianjurkan oleh NGO, Majlis Permuafakatan PIBG Putrajaya dan Yayasan Guru Malaysia. Pada mulanya, saya hadir hanya sebagai perasmi sahaja, setiap seminar yang mereka anjurkan.

Tidak ada kena-mengena dengan Kementerian Pelajaran, jadi oleh kerana, saya dijemput merasmikan, selepas itu mereka rasakan nak terus jemput saya untuk setiap seminar mereka adakan. Seperti baru-baru ini, di Perlis seminar mereka yang ke-13 dan yang terdekat pada 16 Oktober ini di  Kota Bharu, Kelantan.

Saya difahamkan setakat ini, di negeri Perlis baru-baru ini, hampir 11,000 orang yang menghadiri seminar ini yang melibatkan ibu bapa dan juga guru-guru terutamanya guru-guru kaunseling, guru pendidikan Islam, Moral dan juga Guru Hal Ehwal Murid. Jadi ini anjuran NGO pada mulanya.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi apabila timbulnya idea ini, adakah YB rasa mahu teruskan misi jelajah?

DR PUAD ZARKASHI: Ya, pada saya seminar ini bagus.  Sebab ia memberi pendedahan kepada ibu bapa terutama guru kaunseling gejala LGBT. Sebab selama ini orang ramai melihat LGBT sebagai satu ‘taboo’ di kalangan masyarakat untuk bercakap mengenai LGBT.

Sama juga mengenai isu seks untuk kita cakap di hadapan anak-anak kita, kita anggap  satu ‘taboo’ satu ketika dulu, macam satu yang tidak bermoral pula. Tapi sekarang ini, ramai ibu bapa, ramai yang berani berbicara isu seks kerana kalau tidak berterus terang dengan anak-anak, ditakuti anak-anak mereka terlibat dengan seks bebas. Begitu juga dengan isu LGBT ini. Masih ramai yang tidak mahu membicarakannya.

Sebab itu, kita dapati ramai yang tidak faham apa itu LGBT. Mungkin ada yang faham mengenai lesbian dan gay tetapi mereka ada yang tidak faham mengenai biseksual, transgender, bahkan pada saya sendiri, setelah saya hadir mendengar ceramah yang disampaikan oleh kaunselor bertauliah dan mendengar dua orang yang pernah terlibat dengan kes LGBT menceritakan pengalaman mereka dan mereka sudah bertaubat.

Jadi, maksudnya, ia lebih berkesan dengan cara begini kerana seminar diadakan berdasarkan kes orang yang pernah terlibat dan bertaubat, pernah bergelumang hampir 20 tahun sama ada sebagai transgender atau sebagai gay.

Jadi maksudnya guru dan ibu bapa mudah faham mengenai simptom, mengapa ia boleh berlaku dan adakah kita tidak mampu untuk lakukan pencegahan dari awal lagi terhadap gejala ini? Sebab itu, pada saya seminar ini penting untuk dihadiri oleh ibu bapa dan guru-guru.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi, bagi orang yang berpengalaman terlibat dengan LGBT ini juga akan meneruskan siri jelajah mereka?

DR PUAD ZARKASHI: Ya, setiap kali seminar diadakan, mereka akan hadir. Tapi mereka hadir atas dasar dakwah dan mahu buktikan kepada masyarakat di luar sana, orang yang terlibat dengan LGBT boleh kembali ke pangkal jalan, boleh dipulihkan dengan syarat, mereka mestilah dipulihkan melalui proses kaunseling dan mesti ada keazaman yang tinggi.

Sebab itulah mereka sanggup datang dan sanggup dedahkan identiti mereka kerana mereka menganggap usaha mereka ini sebahagian dari dakwah dan sebahagian daripada tanggungjawab untuk mencegah supaya gejala ini tidak berleluasa.

Mereka yang melibatkan diri dalam siri jelajah seminar ini pernah terlibat dalam gejala LGBT, seorang menjadi gay dan seorang lagi terlibat dalam transgender ialah seorang guru.

Sebenarnya lelaki, tetapi memilih menjadi wanita. Tetapi sudah berubah menjadi lelaki, saya sendiri terkejut lihat gambar beliau semasa berubah jadi perempuan, memang nampak sebagai seorang perempuan tetapi personaliti sekarang ialah lelaki. Sebab itulah pentingnya seminar ini.

Kalau sebelum ini, kita dengar kes seorang profesor berkahwin dengan perempuan dan mempertikaikan jantina isterinya… tetapi saya tak mahu campur kes ini. Tetapi isunya sekarang ini ialah, LGBT merupakan isu yang amat besar berlaku di negara kita. Sebab itu, seminar yang diadakan ini penting.

Pertama, untuk kita memberi pendedahan kepada ibu bapa dan guru tentang gejala ini. Kedua, untuk yakinkan kepada mereka yang pernah terlibat bahawa penyakit ini boleh diperbaiki dan dipulihkan dan yang ketiga, memberi kefahaman kepada ibu bapa dan guru bagaimana untuk melakukan langkah pencegahan iaitu kita mesti melakukan langkah pencegahan sejak awal lagi.

Jika kita tak lakukan pencegahan awal ini, ia akan menjadi sukar untuk kita pulihkan walaupun sebenarnya gejala ini boleh dipulihkan. Ini kerana dalam setiap siri jelajah, kita mempunyai penceramah yang bertauliah bahkan mempunyai klinik mereka sendiri, jumlah pesakit 800 hingga 900 orang dan ramai yang dapat dipulihkan.

Sebab itu bila timbul isu ini, ramai yang mengkritik saya. Mereka menuduh saya sebagai yang tidak rasional dan ada yang sanggup berkata saya ini tidak layak menjadi timbalan menteri kerana mereka sendiri salah faham.

Salah faham ini terjadi apabila ada pemberita dari sebuah media ini, hadir ke seminar yang dikendalikan NGO ini dan memberi laporan bahawa kementerian mengeluarkan tatacara mengenai LGBT dan mendakwa kementerian menyokong tatacara yang dikeluarkan. Apa yang saya mahu tegaskan di sini ialah, perkara ini bohong.

Kementerian tidak pernah mengeluarkan garis panduan dan tidak pernah menyokong tatacara ini. Saya sendiri ada bertanya kepada penganjur adakah mereka ada terbitkan tatacara mengenal golongan LGBT ini dan mereka sendiri nafikan. Tatacara itu hanya bahan ceramah yang digunakan oleh penceramah undangan setiap kali seminar dijalankan.

Kementerian sendiri tidak pernah menyebut untuk menyokong tatacara itu untuk digunakan di sekolah. Akhirnya timbul salah faham dan ada pihak yang menyerang dan menuduh saya macam-macam. Ada yang mengatakan saya tidak bertamadun dan sebagainya.

Dari sinilah menggambarkan bahawa gejala LBGT ini berleluasa di negara kita. Kalau kita selidik, golongan ini mempunyai blog dan website mereka sendiri.

Jadi apabila saya diserang sebegitu, hinggakan golongan ini sanggup menganjurkan perhimpunan “V Neck” baru-baru ini, ini menjadi bukti kuat gejala inilah yang sedang kita hadapi. Senario yang terjadi seperti ini yang meyakinkan saya pencegahan awal mesti dilakukan.

Pencegahan yang kita mahu buat ini bukanlah bermaksud apabila ada garis panduan ini, kita pergi ke jalan raya dan tangkap mereka yang terlibat dalam LBGT ini, tidak sama sekali. Ini yang saya katakan salah faham hingga ada yang sanggup mempertikaikan saya melalui blog, menyerang saya mengatakan gejala ini bukan penyakit tetapi ia merupakan kejadian ‘biological’ atau anugerah Tuhan tetapi pada saya gejala ini merupakan penyakit iaitu penyakit sosial kerana berdasarkan fakta, gejala LGBT ini juga menjadi penyumbang kepada HIV, selain daripada dadah.

Kedua, LGBT juga menjadi penyumbang kepada masalah keruntuhan rumah tangga. Pada saya ini merupakan penyakit. Jika ada yang berkata ia merupakan masalah keturunan atau kecenderungan yang tidak boleh disekat, sedangkan mereka yang pernah terlibat dalam gejala ini, mereka sendiri telah buktikan kepada masyarakat di luar sana, mereka boleh diperbetulkan.

Sebab itu saya kata tadi isunya ialah melalui pencegahan dan ibu bapa, kalau mereka tidak sedar gejala ini dari awal, akan jadilah seperti kes yang ada ibu bapa buat laporan polis mengatakan anak mereka hilang dan tidak dapat dihubungi ketika di luar negara, apabila disiasat, baru mendapat tahu yang anak lelaki mereka sudah berkahwin dengan kaum sejenis.

Maksudnya di sini ialah, jika ibu bapa lakukan pencegahan dari awal. Jadi, adakah ibu bapa mahu melihat senario ini berlaku di masa akan datang.

Jika satu hari nanti anak lelaki mereka pulang bawa menantu lelaki dan anak perempuan bawa pula menantu perempuan? Saya tidak fikir ibu bapa di negara ini mampu menerima anak-anak mereka melakukan perkahwinan sesama jenis.

Masalahnya pula LGBT ini melibatkan pelbagai isu seperti HIV, keruntuhan rumah tangga, gejala sosial, kehidupan yang tidak bermaruah dan sebagainya. Sebab itu saya kata seminar ini penting bagi memberi pendedahan dan usaha yang kita boleh lakukan untuk membendung gejala ini dari terus berlaku. Contohnya jika anak lelaki kita selalu dan kerap minta kebenaran untuk tidur di rumah rakan lelaki, jadi kita mesti siasat, kenapa kerap sangat minta kebenaran? Kalau tiada apa-apa, tidak mengapalah, tetapi kita bimbang berlaku sesuatu dan risau jika mereka terpengaruh.

Sebab itu, saya mahu katakan di sini, gejala ini timbul bukan sekadar kecenderungan seks semata-mata, tetapi ia juga melibatkan pengaruh rakan sebaya. Terutama sekali pengaruh internet sekarang ini. Golongan LGBT ini, ada blog mereka sendiri, ada pesta tersendiri, mana tahu anak-anak kita baca blog seperti ini lalu terpengaruh, akhirnya mereka juga terlibat. Sebab itu saya katakan perlunya pencegahan awal.

Golongan ini juga mengecam hingga sanggup membuat tuduhan liar mengatakan kementerian mengisytiharkan LGBT ini merupakan musuh nombor satu. Ini tidak betul dan kita sendiri tidak pernah mengatakan perkara sebegitu.

Cuma pada saya, tujuan mereka ini hanyalah untuk memburuk-burukkan seminar ini semata-mata dan memberi persepsi negatif dan satu lagi mereka katakan kita memberikan mesej yang amat berbahaya antaranya menimbulkan kebencian, yang kedua ‘intolerance’, yang ketiga ialah ‘homophobia’, yang keempat ialah ‘violence’.

Ini antara mesej yang mereka katakan apabila kita adakan seminar tetapi semua ini tidak betul. Kita mengadakan seminar ini bukanlah bertujuan apabila kita tahu ciri-ciri golongan LGBT, maka kita pergi ke jalan raya, nampak saja ciri-ciri LGBT, kita tangkap atau pukul, kita tidak akan buat begini.
‘Intolerance’, maksudnya jika kita tahu mereka yang bersifat ‘lembut’. Kita tidak terima mereka untuk menjadi seorang guru, tapi stigma ini tidak betul. Kita tidak pernah ‘discriminate’ seseorang walaupun mereka lembut.

Hakikatnya, kementerian sendiri memang ada guru yang ‘lembut’ tapi kita tak pernah pun buang mereka kerana mereka ‘lembut’. Cuma, kita hanya akan ambil tindakan jika ada seorang guru yang terlibat dalam pertandingan seperti ‘Ratu Pondan’.

Jika melibatkan kes sebegini, memang kita akan ambil tindakan kerana menyertai pertandingan ‘Ratu Pondan’. Maksudnya, mereka telah melanggar etika seorang guru tetapi jika mereka  berpewatakan lembut, itu bukan soal kementerian untuk ‘discriminate’ mereka sebagai seorang guru. Jadi, tidak timbul soal ‘intolerence’, ‘violence’ atau homophobia.

Sebab tu kita buat seminar, supaya sesiapa yang terlibat dengan LGBT ini, mereka boleh diberi kaunseling. Orang yang membuli pun kita boleh beri kaunseling supaya mereka tidak membuli lagi golongan LGBT ini. Ini sebenarnya tujuan kita jadi, tidak timbul soal mesej bahaya yang mereka tuduh hingga mereka gelarkan saya seorang Timbalan Menteri Pelajaran yang tidak bertamadun.

SINAR HARIAN ONLINE: Jika seminar ini dimulakan oleh usaha NGO, ada atau tidak usaha kementerian dalam menangani fenomena LGBT ini?

DR PUAD ZARKASHI: Setakat ini memang tiada lagi. Sebab itu kita mengalu-alukan seminar ini kerana mereka menjemput VIP dari PIBG kerana jawatankuasa ini bercampur dengan guru-guru. Jadi kita perlulah memberi sokongan atas usaha-usaha murni seperti ini.

LGBT ini berlawan dengan etika manusia yang dianugerahkan oleh Tuhan iaitu hidup berpasangan lelaki dan perempuan. Kenapa pulak lelaki kena kahwin dengan lelaki? Perkara ini yang kita nak tangani kerana jelas ia memang salah.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah YB akan panjangkan atau usulkan perkara ini ke pihak kementerian atau terus bergerak secara sendiri?

DR PUAD ZARKASHI: Sebab itu saya cakap tadi, isu ini harus ditangani bersama. Sebab itu, pada saya apabila ada pihak lain terutama sekali orang politik (pembangkang) yang cuba mempolitikkan isu ini, dalam perkataan lain, ada pemimpin yang menyokong Seksualiti Merdeka.

Apabila mereka menyokong Seksualiti Merdeka, atas isu ‘human right’, pada saya ini adalah satu tindakan yang melampaui batasan nilai masyarakat Malaysia.

Mereka seolah-olah melihat kita mesti memberi kebebasan kepada golongan ini secara terbuka, sedangkan hakikatnya kita lebih suka menggunakan pendekatan untuk melakukan sesi kaunseling, bukannya kita mahu buat kekacauan atau sebagainya. Jadi apabila ada pemimpin yang mempertahankan isu seksualiti merdeka ini, saya melihat tujuan mereka lebih kepada politik. Mereka mempolitikkan isu ini, seolah-olah kita ini mendiskriminasi sedangkan ia tidak timbul sama sekali.

Jadi maksudnya, bukan saja kita harus menolak pemimpin yang terlibat dengan gejala ini, tetapi yang menyokong pun, pada saya amat keterlaluan. Kita di Malaysia cukup jelas yang kita tidak akan lakukan sebarang diskriminasi, apa yang kita mahu lakukan hanyalah pembetulan.

Iaitu jika ada golongan seperti transgender terlibat dengan pelacuran dan benda seperti ini bukan menjadi satu rahsia lagi. Kita sendiri boleh lihat di iklan-iklan yang menawarkan perkhidmatan seperti ini, maka kita sendiri perlu betulkan.

Sebab itu, kita sendiri tak pernah lihat mana-mana pegawai agama atau penguatkuasa yang pergi ke tepi-tepi jalan tangkap orang jika mereka lesbian atau gay, tidak pernah sama sekali.

Seksualiti Merdeka ini tidak seharusnya timbul kerana jika ada pun sesuatu kes, jika ada penguatkuasa tempatan majlis perbandaran melakukan tangkapan jika golongan ini terlibat dalam aktiviti pelacuran. Golongan bukan LGBT juga ditangkap jika terlibat dengan pelacuran sebab melacur tanpa lesen. Bukan mereka ditangkap kerana mereka ini golongan LGBT.

SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh mana keberkesanan usaha bendung LGBT melalui seminar-seminar di sekolah atau siri jelajah ini?

DR PUAD ZARKASHI: Saya cukup yakin usaha ini berkesan terutama kerana ini merupakan pendedahan yang murid-murid sekolah tidak pernah dapat. Mereka juga berpeluang untuk bersoal jawab dengan golongan yang pernah terlibat dengan LGBT ini dan mereka juga boleh faham sepenuhnya yang gejala yang tidak pernah didedahkan. Sebelum ini orang akan beranggapan yang gay ini merupakan lelaki lembut sedangkan gay ini juga kadang-kala akan berperwatakan seperti lelaki normal yang lain.

Seperti golongan yang pernah terlibat dalam fenomena LGBT, untuk melindungi dirinya supaya tidak dikenali sebagai gay, jadi dia pun berkahwin. Jadi orang luar tidak akan tahu yang dia ini gay.

Tetapi pada waktu malam, dia akan keluar dan cari lelaki. Saya sendiri pernah berhadapan dengan kes, seorang guru lelaki berjumpa dengan saya, minta tolong kerana digantung tugas sebagai seorang guru. Lalu saya bertanya mengapa sampai digantung tugas? Dia berkata yang dia didakwa di mahkamah majistret dan dia tunjukkan surat bukti dia didakwa di mahkamah.

Jadi saya pun bertanya, mengapa sampai didakwa? Maka, dia kata yang dia didakwa atas kesalahan merangsang seks. Kemudian saya bertanya, adakah sudah berkahwin dan dia menjawab sudah tetapi bercerai dengan isterinya.

Jadi kita dapat lihat, gejala ini juga boleh menyebabkan keruntuhan rumah tangga. Kemudian saya tanya dia ada anak atau tidak? Kemudian dia kata, tiada anak. Lalu saya pun bertanya, merangsang seks kepada pelajar lelaki atau perempuan dan dia mengaku merangsang seks pada pelajar lelaki. Maksudnya mungkin cikgu ini gay.

Maksudnya di sini ialah kita tidak boleh melihat secara luaran saja dan jangan pandang ringan masalah ini. Ini bukan nilai kemanusiaan. Sebab itu, saya berani membantah jika mereka mengatakan gejala ini melibatkan keturunan atau biologi.

Ada juga pihak yang bertanya saya, adakah perkara ini begitu serius terjadi di sekolah? Masalahnya sekarang ini, bukan soal serius atau tidak perkara ini hingga terpaksa adakan seminar ke sekolah, tetapi soalnya ialah perkara ini semakin serius di kalangan masyarakat kita.

Maka atas sebab itu, kita mesti lakukan pencegahan awal kerana segalanya akan bermula di sekolah. Sama juga jika kita mahu mencegah orang ramai terlibat dengan gejala dadah, kita mesti mulakan langkah pencegahan dari sekolah supaya mereka sedar.


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula sambutan yang diterima di kalangan murid-murid sekolah?

DR PUAD ZARKASHI: Alhamdulillah, mereka tidak berganjak dan tidak sedetik pun mereka bising apabila mendengar pendedahan sebegini. Guru-guru juga menunjukkan minat untuk bertanyakan soalan dan apabila mereka tidak berganjak untuk mendengar seminar, saya menganggap yang mereka juga merasakan perkara (LGBT) ini merupakan perkara yang serius.

Seperti juga diri saya, saya sanggup pergi menjelajah ke semua tempat untuk menyampaikan mesej ini sebab kalau saya baca dalam blog, menurut blog LGBT Malaysia, menyebut bahawa dianggarkan negara kita ini menjelang tahun 2015, terdapat lebih kurang 300,000 pengidap HIV. Saya kurang pasti dari mana data itu diperoleh. Jadi maksudnya, pengidap HIV di negara kita ini meningkat. Ini kerana bukan soal dadah semata-mata tetapi juga melibatkan gejala LGBT.

SINAR HARIAN ONLINE: Setakat ini adakah kementerian mempunyai statistik sendiri berhubung fenomena ini?

DR PUAD ZARKASHI: Setakat ini tidak ada lagi. Saya juga tidak ada lagi statistik.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah kekangan yang terpaksa dihadapi dalam menjayakan misi ini?

DR PUAD ZARKASHI: Tidak ada halangan. Halangan yang kita terpaksa hadapi cuma ada pihak lain terutama golongan LGBT ini yang memberi gambaran yang salah, mereka mengadakan perhimpunan V-neck, ada juga sebuah restoran beriani yang beri makanan percuma kepada sesiapa yang memakai baju V-neck. Mereka memperolok-olokkan seminar ini. Isu ini juga mendapat perhatian antarabangsa.

Sebab itu, saya melihat ada pemimpin yang membuat kenyataan mengatakan akta sodomi ini perlu dipinda, sudah ketinggalan zaman. Pada saya, kenyataan ini seperti fahaman liberal.

SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh mana tahap serius fenomena LGBT di negara ini?

DR PUAD ZARKASHI: Memang serius. Cuba buka blog LGBT, baru kita akan tahu sejauh mana seriusnya fenomena LGBT ini di negara kita. Apabila mereka mengecam saya dengan mengadakan perhimpunan V-neck, maksudnya mereka memperlekehkan seminar ini, mereka juga timbulkan persepsi yang salah. Ini yang kita anggap perkara ini serius.

Mereka ada blog sendiri, ada perhimpunan mereka sendiri, buat perjumpaan jadi dari sini kita tahu perkara ini memang serius.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah langkah seterusnya selain road tour di sekolah-sekolah? Ada misi atau jalan lain untuk perangi LGBT?

DR PUAD ZARKASHI: Saya harap, lebih ramai pihak yang tampil ke depan bagi sama-sama menangani masalah ini. Saya harap lebih ramai kaunselor-kaunselor bertauliah yang mahir dengan isu ini, membuka klinik-klinik mereka, supaya bila ada saja kes, mereka yang terlibat mudah untuk dapatkan khidmat kaunseling, saya harap lebih ramai klinik-klinik kaunseling ini diwujudkan.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana penerimaan yang diterima oleh pihak sekolah dan ibu bapa?

DR PUAD ZARKASHI: Berdasarkan seminar itu, nampaknya mereka lebih terbuka menerima seminar yang dijalankan ini. Jadi dari situ, peserta seminar ini akan timbul keinsafan, apabila banyak perkara dalam seminar ini dapat mengingatkan ibu bapa mengenai langkah pencegahan.

Ibu bapa sekarang pun sudah semain terbuka untuk menerima, kita tidak boleh menyerahkan isu pendidikan ini kepada sekolah semata-mata, ibu bapa sendiri kena lihat dan pantau anak-anak mereka. Sebab itu kita panggil seminar ini sebagai seminar keibubapaan, sebab seminar yang dijalankan ini khusus untuk ibu bapa. Walaupun sudah lama bergelar ibu bapa, tidak semestinya mereka mahir mengenai isu LGBT dan tidak semestinya mereka mahir mengenai internet. Sebab itu saya katakan yang seminar ini penting, dan ibu bapa juga bersikap terbuka untuk menerima.

Setakat ini, seminar yang dijalankan memang mendapat sambutan. Ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menghadiri seminar yang dijalankan.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah YB akan meneruskan usaha ini turun ke padang bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa di luar sana?

DR PUAD ZARKASHI: Ya, memang saya akan teruskan misi jelajah ini. Walaupun saya sibuk, terpaksa berkejar ke sana ke mari, saya akan tetap laksanakan tanggungjawab saya dan mencuri sedikit masa bagi mengikuti siri jelajah atau seminar keibubapaan ini ke setiap negeri.

Cuepacs SSM ‘ganti’ SBPA hanya interim – Sinar Harian


Cuepacs SSM ‘ganti’ SBPA hanya interim

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mac 2012
logo cuepacs

SHAH ALAM – Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja sektor awam, berkata Sistem Saraan Malaysia (SSM), yang hendak digunakan semula sebagai pengganti kepada Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dimansuhkan hari ini, hanya bersifat sementara hingga skim baru yang menyeluruh dirangka kelak.

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, pihaknya percaya kerajaan akan memperkenalkan satu sistem saraan yang baru memandangkan SSM digunakan semula dengan SBPA yang pembatalannya diumumkan hari ini.

SSM, yang digunakan hampir satu dekad, diperkenalkan bagi menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB). SSB dikuatkuasakan pada Januari 1992.

Kedua-dua SSB dan SSM menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan kerajaan.

“Saya yakin kerajaan akan datang dengan satu sistem yang baru sama sekali, sebab itu kerajaan bentuk satu suruhanjaya bagi menjalankan kajian,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Sehubungan itu kata beliau, Cuepacs akan mengemukakan cadangan tambahan selain berharap suruhanjaya yang dibentuk akan mengkaji segala pandangan yang telah diberikan sebelum ini kepada pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyemak SBPA.

Azih juga berkata, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk mengumumkan secara rasmi pendirian berkenaan dengan keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan pagi tadi mengumumkan pembatalan skim SBPA dan mengembalikan SSM yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.
Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut
kemampuan kerajaan.

Kata Najib, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Ibu: Fifi Ramadhani masih trauma – Sinar Harian


Ibu: Fifi Ramadhani masih trauma

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 24, 2012
Fifi Ramadhani

KUALA LUMPUR- Kanak-kanak berusia 10 tahun, Fifi Ramadhani Safruddin, yang dijadikan tebusan selama enam jam oleh seorang lelaki di rumahnya semalam, masih trauma dengan tragedi yang menimpanya.

Ibu mangsa, Santi Sugiono, 29, berkata, anaknya juga tidak dapat tidur lena apabila seringkali terjaga malam tadi.

“Fifi juga sekarang kurang bercakap. Tetapi saya bersyukur sangat kerana dia masih selamat.

“Esok dia akan bertemu doktor pakar. Cuma sekarang ini, doktor beritahu jangan bercakap mengenai kejadian semalam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian semalam, Fifi berjaya diselamatkan kira-kira jam 4.09 petang semalam.

Mangsa dapat diselamatkan setelah polis melepaskan empat das tembakan mengenai lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai rusuk kiri lelaki berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

Fifi ketika ditemui hanya mendiamkan diri sambil membaca majalah yang dibawa oleh ahli keluarganya.

Dia hanya menganggukkan kepala dan hanya tersenyum apabila ditanya mengenai keadaan dirinya.

Dalam pada itu, menurut Santi, doktor turut menasihatkan agar dia sekeluarga tidak tinggal di rumah itu lagi.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mempunyai saudara-mara lain dan mungkin akan mengecat semula rumahnya.

“Saya di sini sehelai sepinggang. Saya nak pindah ke mana. Mungkin kami akan cat rumah itu dan berharap Fifi akan lupakan kejadian ini walaupun saya tahu ia mengambil masa lama,” katanya sambil sesekali mengesat air mata.

Cuepacs sahkan kerajaan tangguh SBPA – Sinar Harian


Cuepacs sahkan kerajaan tangguh SBPA

G MANIMARAN
January 12, 2012

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengesahkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan bagi membolehkan kajian mendalam dijalankan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda sebentar tadi.

“Ya betul, SBPA ditangguhkan. Tetapi setakat ini belum ada pemakluman secara hitam putih (daripada kerajaan). Cuma Presiden (Cuepacs) Datuk Omar (Osman) mengadakan pertemuan dengan KSN pagi tadi membincangkan perkara ini,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Cuepacs, KSN bincang isu SBPA ditangguh – Sinar Harian


Cuepacs, KSN bincang isu SBPA ditangguh

NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
January 12, 2012

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sedang mengadakan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkaitan isu keputusan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, pihaknya akan membincang isu ini dan akan memberi penjelasan petang nanti.
“Sekarang tengah mesyuarat dengan KSN, pasal isu ini (SBPA). Telefon balik petang nanti untuk mendapatkan penjelasan,” kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

“Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi,” kata sumber.