Tidak terlalu terdesak naikkan tambang bas sekolah – Sinar Harian


Tidak terlalu terdesak naikkan tambang bas sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2013

KUANTAN – Kenaikan harga Petrol dan Diesel sebanyak RM 0.20 sudah tentunya mendatangkan kesan kepada rakyat tidak terkecuali pengusaha bas sekolah.

Walaupun sudah diberikan subsidi khas, Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Pahang Barat tetap terkesan dengan kenaikan itu dan bercadang untuk menaikkan harga tambang bas bagi sesi persekolahan tahun hadapan.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian mendapati pemandu bas dan van sekolah di sekitar Kuantan tidak terlalu terdesak untuk menyokong cadangan itu kerana menganggap subsidi khas yang diberikan masih mampu menampung kos diperlukan.

Seorang pemandu bas sekolah, Baharuddin Zahari, 52 berkata, kenaikan kos bahan api tidak terlalu menjejaskan pengusaha bas atau van sekolah kerana ia masih mampu ditampung melalui subsidi yang diterima.

Menurutnya, dia tidak kisah sama ada harga tambang bas atau van sekolah akan dinaikkan atau dikekalkan.

“Saya sudah menjadi pemandu bas sekolah sejak 8 tahun lalu dan sekarang seramai kira-kira 50 pelajar menggunakan khidmat saya.

“Kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak RM 0.20 memang tetap dirasai tetapi tidak terlalu teruk kerana masih ada subsidi khas.

“Kalau dikekalkan tambang saya terima sahaja tetapi jika dinaikkan lagilah baik kerana ia boleh menampung kos kenaikan harga minyak,”katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, pemandu van sekolah, Mohammad Daud, 61 berkata, dia bersetuju sekiranya tambang bas atau van sekolah dinaikkan kerana ia dapat mengurangkan beban pengusaha untuk menampung kos bahan api.

“Sebelum ini saya membelanjakan RM 25 sehari untuk mengambil dan menghantar kira-kira 12 orang tetapi sekarang kos telah meningkat.

“Kesannya tidak terlalu teruk tetapi jika tambang dinaikkan itu adalah lebih baik untuk kami,”katanya.

UPSR: Ibu bapa terlebih ‘demam’ – Sinar Harian


UPSR: Ibu bapa terlebih ‘demam’
NORHAFIZA MUSA
11 September 2013
  • UPSR: Ibu bapa terlebih 'demam'Karuna (kanan) menemani anaknya, Yoshita mengulang kaji subjek seterusnya selepas selesai menduduki kertas peperiksaan pertama UPSR, Kertas Bahasa Malaysia 1.
< 1 / 1 >

KUALA TERENGGANU – Seramai 22, 359  murid tahun enam menduduki UPSR semalam di seluruh negeri ini menyaksikan pelbagai ragam ibu bapa dilihat lebih merasai debaran ketika menghantar anak menuju ke dewan peperiksaan.

Daripada tinjauan Sinar Harian ada ibu bapa yang sanggup mengambil cuti bagi memberi sokongan dan menemani anak masing-masing.

Seorang bapa, Karuna Karan, 52, berkata, dia yang bekerja di sebuah syarikat swasta telah memohon cuti sejak awal lagi bagi menemani anaknya menduduki UPSR.

Katanya, sejak dua minggu yang lalu dia mula menemani anak kedua daripada empat beradik, Yoshitaa, 12, mengulang kaji pelajaran pada waktu malam untuk memberi semangat.

“Sebagai tanda sokongan saya menemani dia belajar sehingga lewat malam.  Saya bantu dia belajar subjek Bahasa Malaysia,” katanya semasa ditemui di SK Sultan Sulaiman 1, di sini.

Kata Karuna, anak keduanya itu mendapat keputusan 3A 2B dalam peperiksaan percubaan yang lalu dan dia berharap Yoshitaa mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sebenar.

Seorang pensyarah di sebuah kolej, Rohana Mat Husin, turut melakukan hal yang sama apabila sanggup mengambil cuti untuk menemani anaknya, Nor Adlina Mohd Aluwi yang menduduki peperiksaan UPSR.

“Saya yakin dia (anaknya) telah membuat persediaan dan belajar bersungguh-sungguh sebelum peperiksaan lagi, cuma harapannya apabila kita ada bersama menemani akan beri lebih semangat kepadanya,” katanya,

Nor Adlina mendapat 4A1B pada peperiksaan percubaan yang lalu.

Seorang lagi ibu, Linda Hassan, 35,  berharap anaknya dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang apabila dia menemaninya biarpun terpaksa menghabiskan masa seharian di sekolah.

Menteri: Kita bukan nak hapus bahasa Cina – Sinar Harian


Menteri: Kita bukan nak hapus bahasa Cina
RAZIATUL HANUM A.RAJAK
10 September 2013
  • BICARA MINDA: IDRIS JUSOH
< 1 / 1 >

 

SHAH ALAM – Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan bahawa bahasa ibunda tidak akan diketepikan meskipun kementerian mahu memperkasakan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM) 2013-2015.

Menurutnya, setiap rakyat perlu menerima bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

“Kita tak ketepikan bahasa ibunda mereka tetapi mereka kena faham bahawa bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan yang harus semua tahu.

“Dalam satu negara, kena ada satu bahasa berdaulat yang diterima pakai oleh semua rakyat. Bahasa Melayu sudah diterima sebagai bahasa kebangsaan kita. Jadi, semua rakyat perlu memahami bahasa kebangsaan. Jelas,” katanya ketika sesi dialog ‘Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, Satu Perspektif’, anjuran Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membantah pelaksanaan PPPM kerana mendakwa pelan ini mahu menghapus bahasa Cina.

Moderator Bicara Minda, Profesor Dr Saharuddin Badaruddin juga menyentuh soal usaha kementerian untuk memperkasakan Bahasa Melayu yang turut ditentang oleh beberapa ahli politik dan badan bukan kerajaan.

“Jangankan bahasa Tamil atau Mandarin, nak belajar bahasa Perancis pun kita benarkan. Sepanyol pun boleh,” jawab Idris.

Melalui PPPM, masa pembelajaran Bahasa Malaysia di SJKC bagi Tahap 1 ditambah daripada 270 minit kepada 300 minit manakala bagi Tahap 2 pula ialah daripada 180 minit kepada 270 minit.

Kerajaan akui kelemahan, bukan niat bebankan guru – Sinar Harian


Kerajaan akui kelemahan, bukan niat bebankan guru
NIZAM ZAIN
10 September 2013
  • Idris JusohIdris Jusoh bercakap ketika sesi dialog bertajuk “Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Satu Perspektif” bagi mengupas isu pendidikan nasional anjuran Sinar Harian di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. – Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO
< 1 / 1 >
SHAH ALAM – Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengakui wujudnya kelemahan dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan di sekolah-sekolah pada 2011 telah membebankan golongan pendidik selain daripada tugas mengajar di bilih darjah.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pelaksanaan PBS itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa supaya guru tidak tertekan dengan tambahan tugas terbabit menyebabkan mereka hilang minat untuk meneruskan kerjaya terbabit.
“Pelaksanaannya ada sedikit masalah, lebih beri arahan terperinci dan ia menyusahkan guru.
“Sistem baru itu baik, cuma pelaksanaan perlu diperbaiki, saya akui kelemahannya,” katanya pada program Bicara Minda yang bertajuk ‘Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Satu Perspektif’, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pengenalan PBS itu bagi memastikan sekolah tempatan tidak lagi berorientasikan kepada peperiksaan dan mata pelajaran, sebaliknya ia berasaskan kepada penilaian pelajar itu sendiri.
Katanya, ia bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada yang juga sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan negara.
“Guru akan menilai cara pelajar belajar, berinteraksi dan sebagainya, kemudian direkod penilaian itu secara menyeluruh, bukan peperiksanan semata-mata sahaja.
“Keadaan bertambah baik, kita akan pastikan guru tidak terbeban dengan PBS supaya kita boleh mencapai matlamat ke arah sekolah satu pertiga terbaik di dunia,” katanya sambil menyifatkan kerjaya sebagai guru itu merupakan profesional mulia dan murni kerana berupaya mendidik masyarakat ke arah lebih baik.

Wajibkan subjek bahasa Inggeris menjelang 2020 – Sinar Harian


Wajibkan subjek bahasa Inggeris menjelang 2020
NIZAM ZAIN
8 September 2013
  • Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP)
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – [Dikemaskini]Pelaksanaan mewajibkan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sewajarnya dilakukan dalam tempoh enam tahun akan datang menjelang 2020.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata pelaksanaannya menjelang 2016 tidak wajar diteruskan memandangkan guru belum bersedia ke arah itu.

“NUTP merasakan 2016 itu terlalu hampir, kita hanya ada dua tahun lebih saja untuk memenuhi syarat mesti wajib lulus itu dan ia bukan masanya.

“Kerajaan mesti pastikan segala keperluan dan prasarana ke arah itu dilengkapkan sepenuhnya, kemudian baru boleh wajib lulus subjek itu seawal-awalnya pada 2020,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mempersoalkan pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus SPM menjelang 2016.

Tambah Hashim, pada masa ini kerajaan masih menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti kursus intensif sebagai persediaan awal namun ia tidak membantu dalam tempoh yang singkat.

Katanya, walaupun kerajaan menyediakan insentif menarik kepada guru yang mengajar subjek terbabit, namun jumlahnya masih tidak mencukupi.

“Jumlah guru bahasa Inggeris yang akan dihantar mengikuti kursus intensif pada Oktober depan itu pun masih tidak mencukupi, menunjukkan guru masih tidak bersedia lagi.

“Kita lihat persiapan ke arah itu belum lengkap 100 peratus, bahan bacaan pun tidak mencukupi, kalau hendak wajibkan subjek itu, kita kena pastikan bahan bacaan itu dibekalkan kepada pelajar seawal tingkatan 3 lagi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kerajaan tidak wajar melaksanakannya secara terburu-buru memandangkan ia akan membebankan bukan sahaja guru bahkan pelajar dan ibu bapa juga akan dibebani dengan kos tambahan seperti tuisyen dan bahan bacaan tambahan dalam bahasa Inggeris.

“Kemudahan tuisyen hanya terdapat di bandar besar, tidak di luar bandar.

“Tidak semua ibu bapa mampu menanggung kos tuisyen, lebih-lebih lagi selepas harga petrol dinaikkan,” katanya lagi.

Pelajar asrama dijangkiti penyakit kulit – Sinar Harian


Pelajar asrama dijangkiti penyakit kulit
ZAIRUL AFIZA HAMZAH
2 September 2013
  • Pelajar asrama dijangkiti penyakit kulitAini menunjukkan tangannya yang dipenuhi dengan ruam merah dan gatal kerana dijangkiti penyakit kulit daripada anaknya yang tinggal di sekolah berkenaan.
< 1 / 1 >

JERANTUT – Tak tahu apa punca apabila pelajar asrama sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini dijangkiti penyakit kulit sehingga menyebabkan ada di kalangan mereka terpaksa di bawa pulang keluarga masing-masing.

Lebih malang lagi, ahli keluarga yang lain turut dijangkiti selepas pelajar tersebut dibawa pulang dan ada yang dinasihatkan doktor supaya berjumpa dengan pakar kulit.

Suri rumah yang mahu dikenali sebagai Siti, 36, berkata, dia terpaksa membawa pulang anak lelakinya yang tinggal di asrama tersebut selepas mengadu menghidapi penyakit kulit dan gatal-gatal seluruh badan.

“Penyakit kulit itu boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja. Selepas anak saya pulang, kami sekeluarga di rumah turut dijangkiti penyakit yang sama.

“Bukan kami sahaja, malah kebanyakan keluarga yang mana anak mereka tinggal di asrama dan dibawa pulang turut menghidapi penyakit kulit yang sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti berkata, penyakit kulit itu menyebabkan badan menjadi gatal di seluruh badan dan tidak tangan tidak akan berhenti menggaru di seluruh badan.

Menurutnya, kerana tidak tahan dia bersama keluarganya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

“Walaupun sudah pergi ke klinik dan mendapatkan ubat gatal, disuntik dan diberikan antibiotik namun penyakit kulit itu tidak hilang. Kini badan kami bukan sahaja dipenuhi dengan kudis malah berparut kerana kesan digaru.

“Anak saya itu tidak dapat ke sekolah selama sebulan kerana tidak tahan gatal di seluruh badan. Kami juga membuat rawatan tradisional namun ia juga tidak berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, dia menggesa menggesa Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta Jabatan Kesihatan Daerah membuat tinjauan dan mencari punca jangkitan kulit yang dihadapi pelajar asrama berkenaan.

” Mereka perlu siasat sama ada penyakit kulit yang dihadapi pelajar asrama itu berpunca daripada tilam di asrama ataupun air.

Seorang lagi suri rumah, Aini, 38, berkata, mereka sekeluarga turut dijangkiti penyakit kulit yang sama kerana salah seorang anaknya juga tinggal di asrama sekolah itu.

Menurutnya, selepas dijangkiti penyakit kulit itu dia pergi ke Pasir Gudang, Johor kerana ada hal yang perlu diselesaikan.

“Kami naik malu kerana tangan tidak henti-henti menggaru dan pergerakan kami di luar rumah terbatas. Oleh kerana tidak tahan menggaru saya pergi ke salah sebuah klinik kesihatan di Pasir Gudang.

“Pihak klinik kesihatan di Pasir Gudang itu mengatakan kami dijangkiti penyakit kudis buta dan pihak tersebut mengeluarkan surat supaya kami mendapatkan rawatan pakar di Kuantan.

“Dalam hal ini, kami minta pihak PPD dan Jabatan Kesihatan Daerah membuat penyiasatan terperinci mengenai perkara ini kerana kebanyakan pelajar asrama tidak dapat belajar dengan baik kerana gatal di seluruh badan,” katanya.

Kanak-kanak berpeluang pegang anak penyu – Sinar Harian


Kanak-kanak berpeluang pegang anak penyu
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Ogos 2013

PORT DICKSON – Kanak-kanak Pra Sekolah dan pelajar pendidikan khas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Port Dickson teruja apabila masing-masing berpeluang melihat dan memegang anak penyu ketika berkunjung di Pusat Penetasan Penyu Glory Beach Resort (GBR), baru-baru ini.

Guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Mubarak Mustafa berkata, 25 orang murid daripada pra-sekolah dan PPKI dibawa ke Pusat Penetasan Penyu GBR sebagai salah satu aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah.

“Haiwan berkenaan hampir pupus dan pendekatan membawa murid melihat penyu diharap sekurang-kurangnya dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan mereka mengenai perkara itu.

“Walaupun usia mereka masih kecil, tetapi pendedahan awal seperti ini sangat baik malah ia akan diperluas kepada spesies lain,” katanya.

Sementara itu, Pengurus GBR, Issac berkata, selain menjadi tempat penyelidikan, Pusat Penetasan Penyu GBR juga sering dijadikan salah satu modul lawatan pembelajaran daripada institusi pendidikan sekitar Port Dickson dan Negeri Sembilan.

“Sejak pusat ini ditubuhkan, pengunjung di hotel ini juga diberikan kesempatan untuk melepaskan anak-anak penyu ke pantai setiap hujung minggu,” katanya.

Menurutnya, untuk tujuan lawatan, pusat ini juga turut membela beberapa ekor penyu hingga ke usia dua hingga tiga tahun bagi tujuan kajian dan pembelajaran.

“Mereka yang datang ke pusat ini akan diberikan penerangan dan seterusnya berpeluang memegang serta mengambil gambar dengan haiwan itu,” katanya.

Guru nyaris kena cekup khalwat – Sinar Harian


Guru nyaris kena cekup khalwat

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Julai 2013

GONG PASIR – Tindakan seorang guru wanita yang sering membawa pulang teman lelaki ke rumah pada waktu tengah malam sehingga menimbul syak wasangka jiran tetangga nyaris membawa padah apabila rumahnya diserbu pihak penguat kuasa syariah, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketika serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pasangan lelaki kepada guru sekolah rendah itu yang berada di ruang tamu difahamkan sempat melarikan diri sebaik melihat kenderaan pejabat agama tiba.

Guru wanita berstatus ibu tunggal berusia 30an yang mempunyai anak berusia 9 dan 11 tahun itu bagaimanapun mengakui perbuatan sumbang dilakukannya dan dinasihatkan agar tidak mengulangi perbuatan terbabit.

Kegembiraan bertukar cemas – Sinar Harian


Kegembiraan bertukar cemas

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2013
Kegembiraan bertukar cemas
Orang ramai melihat pokok tua yang tumbang dan melintang jalan berhampiran SMK Orang Kaya Haji, Kuala Lipis, pagi semalam.

KUALA LIPIS – Kegembiraan pengunjung yang memeriahkan Majlis Perasmian Sekolah Angkat Pintar Telekom Malaysia di SMK Orang Kaya Haji, di sini bertukar cemas apabila sebatang pokok tua tumbang dan melintang jalan kira-kira jam 11 pagi semalam.

Pengunjung, Azam Othman, 28, berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga sedang melawat ruang pameran pada majlis itu sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dari arah jalan raya.

“Apabila terdengar bunyi bising, saya bersama pengunjung lain bergegas ke tempat kejadian dan lihat sebatang pokok tua tumbang dan hampir menghempap beberapa kenderaan lain yang diletakkan di bahu jalan.

“Mujur tiada kenderaan yang diletakkan di bawah pokok itu,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Norhayati Mahmud, 35, berkata, pihak berkaitan digesa tebang pokok tua yang ada di sekitar bandar Lipis bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kita bernasib baik kerana tiada pengunjung yang cedera dan pokok tumbang itu tidak menimpa kenderaan yang diletakkan di kawasan berhampiran. Kalau tidak, sudah tentu pemilik kenderaan berkenaan terpaksa tanggung rugi.

“Kita harap pihak berkaitan dapat tebang pokok tua terutama di laluan utama yang kerap dilalui pengguna jalan raya. Kita tak nak nanti ada yang maut atau cedera kerana dihempap pokok,” katanya.

Kanak-kanak 12 tahun mampu jinakkan ular – Sinar Harian


Kanak-kanak 12 tahun mampu jinakkan ular

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Jun 2013
Kanak-kanak 12 tahun mampu jinakkan ular
Mohd Hamdan tersenyum melihat gelagat Muhammad Aidil Fazli dibelit ular sawa yang baru ditangkap mereka.

KUALA KRAI – Biarpun baru berusia 12 tahun, Muhammad Aidil Fazli Mahadi ada keistimewaan tersendiri apabila mampu menjinakkan beberapa spesis ular berbisa sejak dua tahun lalu.

Murid Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil, dekat sini, itu malah dianggap beruntung kerana mendapat didikan abang sendiri, juga seorang penjinak ular tersohor, Mohd Hamdan Mahadi.

Muhammad Aidil Fazli berkata, dia mula tertarik dengan reptilia itu kira-kira dua tahun lalu selepas sering bermain ular yang dibawa pulang abangnya ke rumah mereka di Guchil 1.

“Bila abang nampak saya minat bermain dengan ular, dia suka bawa saya bersama bila dipanggil untuk menangkap ular dan masa buat persembahan,” katanya semalam.

Muhammad Aidil Fazli berkata, semenjak mula berjinak dengan ular, dia pernah dua kali dipatuk tedung senduk dan sekali digigit ular sawa namun bersyukur kerana tidak cedera serius.

“Setakat ini, abang hanya beri saya tangkap ular sawa dan kadang-kadang tedung senduk tetapi tedung selar memang dia tak benarkan saya tangkap lagi,” katanya.

Mohd Hamdan pula berkata, dia tidak membenarkan Muhammad Aidil Fazli menangkap tedung selar kerana adiknya belum cukup mahir untuk menjinakkan reptilia berbisa itu.

“Kalau ular sawa dan senduk, adik saya sudah boleh jinakkan sendiri tanpa bantuan saya tetapi kalau tedung selar, saya akan tangkap sendiri.

“Masa saya buat persembahan ular, dia boleh bermain dengan tedung selar tetapi kalau nak tangkap, memang dia tak boleh lagi buat masa sekarang,” katanya.