Masa depan budak digilis traktor suram – Berita Harian


Masa depan budak digilis traktor suram

Bagan Serai: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun berhadapan masa depan yang suram selepas organ dalamannya cedera dan rosak akibat digilis tayar traktor di Changkat Lobak, Alor Pongsu, dekat sini.

Doktor mengesahkan buah pinggang, limpa dan paru-paru Muhd Syafiq Abdul Hamid rosak, manakala tulang bahu kanannya patah akibat kejadian itu jam 2.30 petang, 29 Disember lalu.

Bapanya, Abdul Hamid Dahaman, 48, berkata nahas berlaku selepas Muhd Syafiq yang duduk di bahagian belakang traktor yang dipandunya membawa dua tan sawit, terjatuh kira-kira satu kilometer dari rumahnya dalam perjalanan ke pusat pengumpulan sawit Changkat Lobak.

Abdul Hamid berkata, dia segera memberhentikan jentera selepas menyedari perkara itu dan bergegas mendapatkan anaknya yang masih terbaring.

“Saya terkejut kerana anak saya mampu bangun dan tidak menunjukkan sebarang reaksi sakit tetapi saya tetap membawanya ke Hospital Selama untuk rawatan tetapi doktor yang membuat imbasan sinar-X ketika itu mengesahkan tulang selangka Syafiq renggang sebelum merujuknya ke Hospital Taiping (HT).

Pelajar derita ketumbuhan ovari diarah berhenti sekolah – Metro


Pelajar derita ketumbuhan ovari diarah berhenti sekolah

 5  1 Google +0  1  0

Kuantan: Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan, di sini, yang menderita penyakit ketumbuhan ovari, bukan saja berdepan pandangan serong masyarakat terhadap keadaan perutnya yang membesar, malah berdepan kemungkinan terpaksa berhenti sekolah.

Pelajar terbabit, Widdad Shairi, 17, berkata, selain disangka hamil anak luar nikah berikutan perutnya seperti orang mengandung, dia juga diminta pihak pengurusan sekolah supaya berhenti sekolah kerana gagal hadir sejak sesi persekolahan bermula awal Januari lalu.
“Saya lebih risau mengenai pembelajaran kerana tidak pernah ke sekolah sejak sesi persekolahan bermula, lebih-lebih lagi saya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini.

 

“Disebabkan masalah itu juga, ada guru yang menyuruh saya berhenti sekolah dan menyambung semula pada tahun depan,” kata Widdad ketika ditemui di rumahnya di Balok Pine, di sini, semalam.
Mengenai penyakit dihidapinya, Widdad berkata, dia mula mengesan ketumbuhan itu pada November tahun lalu selepas berasa sakit pada bahagian kiri perut sebelum melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik swasta pada 10 Januari lalu.
“Pada mulanya doktor memberitahu saya mengalami masalah hati dan limpa selain menyarankan saya membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, tetapi terkejut apabila saya disahkan mengalami ketumbuhan ovari.

 

“Saya dijangka akan menjalani pembedahan pada 25 Januari ini dan esok (hari ini), saya sekali lagi akan membuat pemeriksaan doktor di HTAA termasuk melakukan imbasan tomogafi berkomputer (CT Scan) dan Sinar-X,” katanya.
Ibu Widdad, Rohani Osman, 43, berkata, dia terkilan apabila pihak pengurusan sekolah menyuruh anaknya mengisi borang berhenti sekolah dan menyambung semula pembelajaran pada tahun depan.

 

“Saya terkejut dengan saranan guru itu dan menganggap tindakan terbabit tidak patut kerana anak saya boleh kembali ke sekolah selepas dia berjaya menjalani pembedahan dan kesihatannya pulih,” katanya. Terdahulu, Widdad menerima sumbangan wang tunai daripada Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Seluruh Mukim Beserah dan Sungai Karang (Bakkiss) serta Kumpulan Baca Yasin Balok Pine, semalam.
Sumbangan itu disampaikan Yang Dipertua Bakkiss, Wan Azlan Wan Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Gadis ‘istimewa’ sambung persekolahan – Utusan


Gadis ‘istimewa’ sambung persekolahan

Norhazimah Hamzah menerangkan sesuatu kepada Noraini Ismail (kanan) yang menyambung semula persekolahannya di SMK Nasiruddin Shah, Besut, Terengganu, semalam.

 

BESUT 15 Feb. – Noraini Ismail, gadis berusia 17 tahun yang didakwa mampu bertutur dalam bahasa Korea, Mandarin, Hokkien dan beberapa bahasa lain setelah terlibat dalam kemalangan lebih sebulan lalu menyambung semula persekolahannya semalam.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah itu bagaimanapun kelihatan ceria ketika dikelilingi rakan-rakan sekelas dan gurunya meskipun lebih sebulan tidak bersekolah.

Dalam kejadian 10 Januari lalu, Noraini yang terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari sekolah ketika membonceng motosikal abangnya, Jefri Ismail, 18 telah pengsan selama 11 jam walaupun hanya mengalami luka-luka kecil di bahagian kaki.

Selepas menjalani imbasan sinar-X, keluarga Noraini dimaklumkan bahawa terdapat segumpal darah beku di kepala gadis itu dan selang tiga hari selepas itu, doktor pula mengesahkan darah beku itu sudah hilang dan dia dibenarkan pulang.

Setelah menerima rawatan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan berlaku keganjilan apabila dia tiba-tiba tidak boleh bercakap.

Setelah dirujuk semula dan menjalani terapi, Noraini akhirnya dapat bercakap semula tetapi apa yang memeranjatkan keluarganya ialah apabila gadis itu tiba-tiba mampu bertutur dalam bahasa Korea, Mandarin dan beberapa bahasa lain.

Ketika sekumpulan media hadir bersama pemangku Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Besut, Ab. Halim Hasan ke sekolah itu hari ini, Noraini bersama 20 rakannya sedang mengikuti mata pelajaran Sejarah yang diajar oleh Norhazimah Hamzah.

Ab. Halim ketika ditemui berkata, pihaknya berharap pelajar itu dapat meneruskan pelajaran sehingga selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, pihak sekolah juga diharap dapat mengawasi perkembangan pelajar itu menerusi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).

“Di pihak PPD, kita juga telah menyediakan seorang pegawai bagi memantau perkembangan Noraini ini yang dianggap istimewa,” jelasnya.

Sementara itu, Noraini ketika ditemui berkata, dia gembira dapat belajar semula dan bertemu rakan-rakan dan guru yang banyak membantunya untuk menghadapi keadaan itu.