48,520 murid sekolah rendah, menengah bermasalah dalam pembelajaran – Bernama


48,520 murid sekolah rendah, menengah bermasalah dalam pembelajaran

6 Disember 2012

KUALA LUMPUR – Seramai 48,520 orang murid di negara ini mempunyai masalah pembelajaran termasuk penghidap Sindrom Down, Autism dan ‘Attention Deficit-Hyperactivity Disorder’ (ADHD), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata daripada jumlah itu, seramai 29,169 orang adalah murid sekolah rendah dan selebihnya murid sekolah menengah.

“Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membuka sebanyak 2,050 Program Pendidikan Khas Integrasi bagi murid bermasalah pembelajaran di seluruh negara,” katanya menjawab soalan Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata sehingga Oktober lepas, seramai 3,657 banduan dan tahanan didaftarkan sebagai perantis dalam program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu.

Sebanyak 48 bidang latihan boleh diikuti seperti pembuat pakaian, jurukimpal dan pramusaji selama tempoh enam bulan iaitu dua bulan untuk latihan teori dan selebihnya latihan praktikal, katanya.

“Setakat ini, seramai 94 banduan telah menamatkan latihan dan berjaya ditempatkan dalam alam pekerjaan. Selain itu, ia turut dapat meningkat kemahiran diri dan taraf hidup mereka,” katanya menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin. – Bernama

Kanak-kanak OKU tidak terpinggir daripada ilmu pendidikan berkualiti – Bernama


Kanak-kanak OKU tidak terpinggir daripada ilmu pendidikan berkualiti

17 Oktober 2012

JEMPOL – Seiring dengan perubahan dan kemajuan yang dikecapi negara, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terus mendapat perhatian khususnya daripada kerajaan bagi membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

Memastikan golongan ini tidak dipinggirkan, Belanjawan 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Sep lepas membawa sinar baru kepada golongan kanak-kanak OKU bagi mendapat pendidikan sewajarnya tanpa dinafikan hak mereka.

Melalui belanjawan mesra rakyat yang memenuhi kehendak semua golongan, kerajaan antara lain mencadangkan projek perintis untuk melaksanakan Taska OKU bagi membela nasib golongan itu di peringkat lebih awal.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (Felda) Bandar Baru Serting (SKFBBS), Jempol, Mohmad Sabere Zakaria berkata projek Taska OKU bagi enam kategori iaitu sindrom down, autisme, masalah penglihatan, pekak dan bisu, masalah fizikal serta masalah pembelajaran adalah langkah positif kerajaan membantu golongan itu.

Belanjawan yang disifatkannya kasih sayang kerajaan kepada rakyat itu, kata beliau bakal memberi pendedahan pendidikan awal kepada kanak-kanak OKU sekaligus menjadikan mereka lebih bersedia apabila memasuki alam persekolahan.

“Sudah tentu saya melihat ini (projek Taska OKU) sebagai suatu perkara positif dan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kanak-kanak OKU di negara ini.

“Ini membuktikan kerajaan bertanggungjawab dalam menyediakan pendidikan untuk semua tanpa mengira bangsa, keturunan atau siapa individu itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penubuhan taska ini dapat mendidik kanak-kanak OKU agar lebih berdikari dan mendedahkan mereka kepada persekitaran yang boleh membantu mereka bergaul dan bersosial apabila memasuki alam persekolahan.

Mohmad Sabere turut memuji usaha kerajaan menyediakan geran pelancaran kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak swasta berjumlah RM10,000 selain peruntukan RM1.2 bilion untuk pendidikan prasekolah kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Pelajaran dan Permata Negara.

Beliau berkata SKFBBS akan memulakan sesi pendidikan prasekolah kanak-kanak OKU pada awal tahun depan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat yang mahukan anak-anak mereka mendapat pendidikan seawal mungkin.

“Sebelum ini orang pandang rendah dengan kebolehan golongan OKU, tapi dengan wujudnya sekolah dan kelas pendidikan khas, masyarakat mula buka mata. Melalui saringan di peringkat awal, kanak-kanak yang berhadapan masalah pembelajaran dapat dikesan dan ditempatkan di kelas pendidikan khas.

“Tujuan kita bukanlah untuk merendah-rendahkan dan menidakkan mereka daripada terus menerima pendidikan cuma kita menempatkan mereka dalam kelompok sesuai dengan tahap pemikiran serta penerimaan mereka terhadap sesuatu pembelajaran seiring dengan kebolehupayaan mereka,” katanya.

Mengenai pendidikan khas di sekolah itu, Mohmad Sabere berkata terdapat 60 kanak-kanak OKU terdiri daripada mereka yang menghadapi masalah pembelajaran, autisme, sindrom down, masalah pembelajaran lembap dan hyperaktif mengikutinya.

Terdapat lapan kelas pendidikan khas diwujudkan di sekolah itu, yang masing-masing menempatkan hanya lima atau enam kanak-kanak OKU.

“Mereka ini tidak boleh diletakkan beramai-ramai dalam satu kelas kerana guru perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap orang murid semasa mengajar bagi memastikan mereka memahami apa yang diajarkan,” katanya.

Beliau berkata kelas pendidikan khas SKFBBS mempunyai 14 guru berijazah dan terlatih, terdiri daripada guru akademik, guru agama termasuk guru Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF).

Melalui pendidikan berkualiti yang diberikan tenaga pengajar pendidikan khas di sekolah itu, kata beliau beberapa kanak-kanak berjaya dipindahkan untuk mengikuti kelas aliran perdana (kelas murid normal).

Katanya pemindahan kelas dibuat apabila guru dapat mengesan kebolehan dan perkembangan positif murid-murid OKU dan ini sekaligus memberi khabar gembira kepada ibu bapa yang teruja dengan kemajuan anak mereka.

Secara peribadi, Mohmad Sabere berpendapat peluang yang diberi kepada murid pendidikan khas adalah lebih banyak berbanding pelajar di aliran perdana kerana banyak program disediakan seperti lawatan sambil belajar ke sesebuah tempat yang turut mendapat peruntukan Kementerian Pelajaran.

Peruntukan yang disediakan kerajaan untuk SKFBBS menjalankan aktiviti dan program tertentu bagi murid-murid OKU turut meliputi pemberian elaun RM150 sebulan bagi setiap murid OKU, banyak membantu.

Mohmad Sabere berkata SKFBBS juga sudah memohon peruntukan untuk membina bangunan baru bagi menjalankan kelas pendidikan khas, sekaligus memberikan keselesaan murid selain menampung jumlah pelajar OKU yang meningkat di sekolah ini.

Seorang guru pendidikan khas di sekolah itu, Faiza Abdu Rahman berkata pendekatan yang digunakan bagi mendidik murid-murid OKU jauh berbeza daripada aktiviti pembelajaran dan pengajaran murid-murid di aliran perdana.

Faiza, yang sudah berkhidmat selama lima tahun sebagai guru pendidikan khas, mengakui bahawa kesabaran dan kecekalan dalam mendidik kanak-kanak istimewa merupakan kunci utama yang perlu ada bagi seorang guru pendidikan khas.

“Dalam mendidik murid-murid pendidikan khas, kita terlebih dahulu perlu menarik minat mereka dan ada masanya kita perlu ikut apa yang mereka buat supaya mereka menganggap kita seperti kawan.

“Apabila sudah sampai satu tahap (secara perlahan dan berperingkat), kita akan cuba mengawal perbuatan mereka dengan mengajar dan memberitahu mereka apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka buat,” katanya.

Merujuk kepada kemudahan yang disediakan untuk murid OKU di SKFBBS, beliau berkata kemudahan yang disediakan mencukupi namun dalam masa sama masih mengalu-alukan lebih banyak alat bantuan mengajar dan terapi bagi merangsang perkembangan minda dan fizikal murid OKU di sekolah itu.

Ibu kepada seorang murid OKU, Normah Osman, 47, berkata anaknya yang mesra disapa Amira menghadapi masalah pembelajaran telah mula menunjukkan perubahan positif sejak dimasukkan ke SKFBBS awal tahun ini.

“Sejak anak saya bersekolah dia dah berubah… dah pandai bergaul dengan orang, percakapan dia pun kita dah faham dan dah mampu menulis abjad ABC…

“Saya bersyukur dan gembira dengan perubahan yang anak saya tunjukkan dan dalam masa sama berterima kasih pada kerajaan, pihak sekolah dan guru-guru yang banyak membantu memberi peluang kepada kanak-kanak OKU seperti Amira untuk belajar di sekolah,” katanya.

Ismail Daud, 46, bapa kepada Aiman Hafiz yang menghidap masalah autisme  berkata meskipun jadual hariannya lebih sibuk berbanding menguruskan anak normal yang lain, dia bersyukur dengan segala kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan bagi menguruskan anaknya.

“Dengan adanya pendidikan khas, guru-guru terlatih sentiasa memberi tumpuan kepada murid-murid dan elaun yang diberikan kerajaan setiap bulan…, saya  berterima kasih kerana ia banyak membantu saya menguruskan Aiman,” katanya.- Bernama

Cabaran mengurus emosi anak OKU – Kosmo


Cabaran mengurus emosi anak OKU
TIGA belas tahun lalu, saat diberitahu bayi yang bakal dilahirkan isterinya menghidap penyakit jantung berlubang, Rasli Mohamad, 57, tidak menyangka bahawa ia adalah permulaan kepada cabaran emosi yang lebih berat.

Selain tertekan mengenangkan nasib bayi itu yang perlu dibedah, dia dan isteri, Nor Azleen Abdullah, 54, dikejutkan pula dengan berita bahawa bayi yang dilahirkan turut mengalami penyakit sindrom Down.

Biarpun reda dengan ketentuan Tuhan, perasaan bimbang wujud apabila mengenangkan masa depan anak bongsu daripada empat adik-beradik itu yang diberi nama Nur Izzaty Rasli.

“Semasa diberitahu anak saya menghidap jantung berlubang, saya tidak sangka bayi saya turut menghidap sindrom Down kerana saya tidak dapat lihat petanda pada wajahnya saat baru dilahirkan.

“Saya dan isteri akhirnya mengambil keputusan untuk menghantar Nur Izzaty menjalani rawatan di Yayasan Sindrom Down KIWANIS selepas dua bulan dilahirkan kerana di sana terdapat program khas untuk pemulihan bayi sindrom Down,” ujarnya ketika ditemui pada perjumpaan kumpulan sokongan para bapa di Pusat Perubatan dan Rehabilitasi WQ Park, Kelana Jaya baru-baru ini.
KAMAL OSMAN

Rasli memberitahu, dia tidak terlalu terkejut dengan berita tersebut berbanding isterinya. Begitupun, sebagai suami dan bapa, dia memainkan peranan paling penting dalam menentukan masa depan anaknya itu.

“Semasa mengambil pengajian peringkat sarjana di United Kingdom dahulu, isteri rakan baik saya di sana turut melahirkan anak sindrom Down selepas kembali ke Malaysia.

“Kami banyak bertukar-tukar pendapat dan cerita, selain masing-masing kini terbabit dengan Persatuan Sindrom Down Malaysia,” katanya sambil memberitahu, isterinya turut berhenti kerja dan menyertai persatuan berkenaan sebagai setiausaha kerja.

Menceritakan cabaran membesarkan anak sindrom Down, Rasli memberitahu dia pada awalnya cukup tertekan apabila Nur Izzaty mengamuk terutamanya di khalayak ramai apabila kehendaknya tidak dipenuhi.

Lebih sensitif
RASLI dan isteri, Nor Azleen berharap Nur Izzaty dapat berdikari apabila dewasa melalui pendidikan khas yang diterapkan sejak dia masih bayi.

“Berbanding kanak-kanak normal, anak sindrom Down lebih sensitif, emosi mudah terganggu dan mereka cepat marah kerana lebih manja berbanding adik-beradik lain.

“Paling tidak tahan apabila dia mengamuk di depan orang ramai. Saya bimbang orang yang memandang berfikir bahawa anak dia mengamuk kerana saya memukulnya,” jelas pensyarah universiti swasta itu.

Disebabkan itu katanya, dia sekeluarga memberi perhatian lebih kepada Nur Izzaty dan banyak bermuhasabah diri supaya sentiasa bersabar menghadapi kerenahnya.

“Kalau dahulu, apabila tidak dapat pujuk, saya akan dukung dia tetapi kini dia sudah besar dan tidak mampu untuk didukung lagi.

“Jadi, kalau ke mana-mana saya akan pastikan tidak melalui kedai-kedai permainan kerana bimbang dia akan meminta yang bukan-bukan,” katanya.

Rasli memberitahu, Nur Izzaty yang mula berjalan pada usia tiga tahun kini mampu menguruskan dirinya termasuk menggunakan komputer, tetapi kadangkala akan merosakkan barang-barang di rumah apabila dia ‘meragam’.

“Nur Izzati suka membuli ibunya kerana ibunya lembut hati, malah kadangkala dia sengaja merosakkan barang yang diberikan termasuk komputer sebagai tanda protes.

“Tetapi semasa moodnya baik, dia amat mudah bergaul, malah dia amat sayangkan dua orang anak buahnya serta bersikap baik di sekolah,” katanya.

Perlu kebebasan
MELALUI kumpulan sokongan yang disertai pakar pemulihan, ibu bapa dapat berkongsi masalah dan mencari penyelesaiannya bersama-sama.

Sementara itu, seorang pesara, Kamal Osman, 64, turut tidak terlepas menghadapi cabaran menangani sikap baran anaknya, Anis Atiqah Kamal yang kini berusia 16 tahun.

“Kita tidak boleh bersikap kasar dengan Anis kerana dia akan menjadi agresif dan naik angin sekiranya dikasari.

“Mujurlah, saya dan isteri serta anak-anak yang lain berbincang supaya kami sama-sama dapat menjaga Anis. Kami juga tidak pernah malu untuk membawanya ke mana sahaja,” katanya.

Walau apapun yang dipelajari kata Kamal, Anis akan naik angin dan mengamuk sekiranya dia dimarahi atau apabila orang bercakap secara kasar terhadapnya.

“Memiliki anak sindrom Down memerlukan kesabaran yang tinggi. Kita perlu banyak bertolak ansur dalam mendidiknya agar dia cepat pandai berdikari,” katanya.
ANIS kini dapat berdikari dan menguruskan dirinya sendiri berkat didikan berterusan daripada kedua-dua ibu bapanya.

Menceritakan kisah 16 tahun lalu, Kamal memberitahu, dia dan isterinya menyangka bayi yang baru dilahirkan mengalami sakit mata kerana wajahnya agak berlainan, tetapi mendapat berita menyedihkan kerana bayi itu disahkan sindrom Down.

“Isteri saya menangis apabila mendapat tahu anak kami mengalami sindrom Down, tetapi saya lebih tenang dan menerima hakikat yang telah ditentukan Tuhan kepada kami sekeluarga.

“Semakin Anis membesar, adik-beradinya yang lain ada yang mesra dengannya dan ada yang bersikap kasar, tetapi kini hubungan sekeluarga semakin baik apabila kami sering berbincang,” ceritanya.

Kamal yang turut menghantar Anis mendapatkan rawatan di KIWANIS semasa bayi, memberitahu, dia juga pernah mencuba rawatan tradisional untuk mengurangkan penyakit anaknya itu.

“Semasa bayi, kami pernah mandikan dia dengan sebaldi air embun yang tak ditapis kerana mengikut petua orang lama.

“Walaupun tidak pasti dengan keberkesanannya, kini saya bersyukur kepada Allah kerana Anis dapat berdikari dan menguruskan dirinya sendiri, malah dapat menyediakan minumannya sendiri,” katanya.

Menceritakan pengalaman itu, Kamal memberitahu, sewaktu kecil Anis pernah mencurah air ke dalam tin milo untuk membuat minumannya sendiri, tetapi kini sudah pandai selepas diajar termasuk dapat membasuh pinggan mangkuk.

“Saya ketawa sendirian apabila mengenangkan ragamnya, lebih-lebih lagi kini dia sudah pandai menyebut ’shut up!’ apabila rimas dibebel atau diarahkan.

“Dia juga amat menyukai muzik dan akan menyanyi mengikut caranya sendiri ketika mendengar lagu-lagu kegemarannya,” ujar Kamal.