Tambah Baik Sekolah Berisiko Banjir – Ka Siong – Bernama


Tambah Baik Sekolah Berisiko Banjir – Ka Siong

KANGAR: Kementerian Pelajaran akan memastikan projek pembangunan sekolah di kawasan berisiko banjir turut mengambil kira aspek tambahan termasuk meningkatkan ketinggian lantai bangunan sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Selain itu, pihaknya juga mengkaji kemungkinan membina bangunan sekolah yang lebih tinggi di kawasan berisiko seperti membina blok setinggi tiga tingkat, katanya pada Jumaat.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat projek pembangunan sekolah di negeri ini, beliau berkata kerajaan tidak akan meminggirkan pembangunan sekolah di kawasan berisiko banjir kerana ia merupakan satu keperluan.

“Kita mungkin bina tapak bangunan yang lebih tinggi walaupun ia tidak memberi jaminan bebas daripada ancaman banjir,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang meneliti sekolah yang memerlukan sistem pendawaian dikemas kini demi keselamatan sekolah dan pelajar.

Mengenai lawatannya, Wee berkata ia bertujuan meninjau pelaksanaan projek tambahan dan pembaikan enam buah sekolah bantuan kerajaan yang membabitkan peruntukan RM1 juta.

“Setakat ini saya amat berpuas hati dengan pelaksanaan pembangunan enam sekolah berkenaan termasuk dua projek yang hampir siap,” katanya.

Mengenai perhimpunan pembangkang di ibu negara esok, beliau yang juga Ketua Pemuda MCA berharap para pelajar tidak dieksploitasi untuk tujuan politik pembangkang.

Katanya ibu bapa perlu memastikan anak mereka memberi tumpuan kepada pelajaran dan tidak menyertai sebarang kegiatan yang merugikan mereka. –BERNAMA

Ganti peralatan rosak – Metro


Ganti peralatan rosak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: Peralatan persekolahan dan buku teks di semua sekolah kebangsaan dan menengah yang rosak akibat banjir baru-baru ini diganti secepat mungkin.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed berkata, pihaknya membuat penilaian kerosakan peralatan dan buku yang dialami sekolah terbabit.
Menurutnya, penilaian kerosakan itu bukan saja membabitkan sekolah yang terbabit banjir malah ada sekolah yang terjejas akibat tanah runtuh seperti yang berlaku di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Kuantan.

 

“Setakat ini, kami memaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya membuat penilaian mengenai tanah runtuh sama ada ia mengancam keselamatan guru dan pelajar atau tidak.
“Difahamkan, tiga blok terjejas dalam kejadian itu termasuk dewan makan dan asrama puteri, tetapi siasatan masih dilakukan,” katanya pada sidang media selepas meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) St Thomas di sini, semalam.
Selain SK St Thomas, Dr Rosli turut meninjau beberapa sekolah di Kuantan termasuklah SK Galing, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Galing dan SMK St Thomas.

 

 

Hadir sama, Guru Besar SK St Thomas, Mohd Sabri Mohamed Arshad dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St Thomas, Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad.
Dr Rosli berkata, kerosakan kritikal seperti sistem pendawaian dan peralatan penting turut diberi perhatian manakala kerosakan lain dibaiki berperingkat.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31