Kerajaan tidak diskriminasi sekolah vernakular – Utusan


Kerajaan tidak diskriminasi sekolah vernakular
Muhyiddin Yassin melihat gelagat sebahagian murid SJKT Vivekananda yang ceria dengan perasmian bangunan baru sekolah berkenaan yang disempurnakan oleh beliau di Petaling Jaya semalam.
PETALING JAYA 28 Jun – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak pernah mendiskriminasi sekolah vernakular di negara ini termasuk dalam pemberian peruntukan kewangan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan kelangsungan hayat sekolah yang dianggap sebagai legasi itu dan kewujudannya perlu diterima oleh semua pihak.

“Ada pihak kata kita tak beri sokongan dan bantuan yang cukup. Ini kenyataan tidak benar.

“Dari 2010 hingga tahun lalu, Kementerian Pelajaran belanja lebih RM1.04 bilion untuk bayaran kos operasi sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan jika ditambah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), kita belanja RM2.4 bilion,” katanya berucap pada majlis perasmian bangunan baru SJKT Vivekananda di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay dan Pengerusi Vivekananda Ashrama serta SJKT Vivekananda, Tan Sri Dr. K. Ampikaipakan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain peruntukan kewangan, kerajaan juga akan memastikan kualiti pembelajaran sekolah vernakular ditingkatkan menerusi Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan yang sedang dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menggesa pemimpin-pemimpin masyarakat India untuk ‘duduk semeja’ dengan beliau bagi membincangkan kaedah terbaik dalam menyelesaikan masalah kekurangan murid di beberapa SJKT.

“Saya dimaklumkan banyak sekolah seperti ini (SJKT) sekarang jadi sekolah kurang murid. Ada sekolah yang boleh memuatkan 100 murid tetapi cuma ada 10 orang sahaja.

“Jadi saya nak ajak pemimpin masyarakat India untuk duduk dengan saya tentang apa yang boleh kita lakukan. Sama ada kita jadikan sekolah integrasi atau ditempatkan di sekolah yang muridnya ramai,” katanya.

Beliau kemudiannya mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM6 juta kepada SJKT Vivekananda dan SJKT Vivekananda serta SMK Vivekananda di Brickfields.

Kerajaan juga jelasnya, bersetuju meluluskan permohonan mewujudkan tingkatan enam di SMK Vivekananda dengan tiga syarat utama selain mengkaji keperluan membina asrama.

Terdahulu, pada majlis sama, beliau menyaksikan penyerahan tajaan sebanyak RM50,000 oleh Takaful Malaysia Bhd. untuk menaik taraf makmal teknologi maklumat sekolah itu.

Rakyat Perlu Pertahan Status BM – Muhyiddin – mStar


Rakyat Perlu Pertahan Status BM – Muhyiddin
Oleh AMIRUDDIN MOHSIN

KUALA LUMPUR: Rakyat di negara ini bertanggungjawab untuk mempertahankan status Bahasa Malaysia , kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan akan diteruskan di bawah dasar Martabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI),” katanya.

Beliau berkata, dasar tersebut akan meningkatkan penguasaan dalam kedua-dua bahasa.

“Budaya Malaysia yang moden mesti berdasarkan pendidikan dan pembangunan kesusasteraan kebangsaan dan bahasa,” katanya selepas merasmikan Seminar Bahasa, Kususasteraan dan Kebudayaan Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan di Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Khamis.

Menurut beliau, peradaban bangsa tidak diukur dengan kejayaan material semata-matatetapi karakter budi bahasa turut diambil kira.

“Penggunaan BM dalam sistem pendidikan akan membantu mengukuh perpaduan, identiti kebangsaan dan karakter. Kita mahu melihat sebuah negara maju yang menghargai BM sebagai jiwa bangsa,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Kajian pelajar tak minat sains – Berita Harian


Kajian pelajar tak minat sains
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shamsul Kamal Amaruddin

2012/02/12

IPOH: Masalah kemerosotan ketara minat pelajar dalam jurusan sains di sekolah akan ditangani melalui kajian menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan yang sedang dilakukan dan dijangka siap seawal-awalnya akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pasukan yang diberi tanggungjawab mengkaji bagi menambah baik sistem pendidikan itu akan mengemukakan pelbagai cadangan untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Malah, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kajian itu tidak terhad kepada isu bidang sains malah mata pelajaran lain, termasuk Matematik dan bahasa Inggeris.

“Kajian ini dibuat oleh pakar yang akan buat perakuan dan cadangan dan kita (kerajaan) akan mengambil (menerima) cadangan itu. Mungkin kajian ini boleh siap sebelum akhir tahun ini atau awal tahun depan,” katanya selepas menghadiri Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam dan Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak, sempena lawatan seharinya ke Perak, semalam.

Pada majlis berkenaan beliau turut menyerahkan mok cek bernilai RM12 juta kepada Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin Perak dan RM14.5 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA Perak.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meluahkan kebimbangannya kerana walaupun kerajaan sudah memperkenalkan banyak inisiatif memajukan bidang sains, minat pelajar untuk mengambil mata pelajaran berkenaan di sekolah semakin merosot ke tahap yang kritikal.

Bilangan pelajar yang mengikuti bidang sains secara keseluruhan adalah kira-kira 37 peratus dengan 29 peratus yang dilaporkan sebelum ini hanya membabitkan sains tulen.
Muhyiddin berkata, walaupun pada beberapa peringkat negara mencatat kejayaan agak membanggakan dalam bidang pendidikan, tetapi ada beberapa pihak melihat Malaysia agak terkebelakang dibandingkan beberapa negara lain, oleh itu, kajian dibuat meletakkan mengukur sistem dan kejayaan sedia ada dengan penanda aras antarabangsa bagi mengetahui kelemahan yang ada dalam sistem pendidikan negara.

Sementara itu, ketika menjawab soalan pada sesi dialog, Muhyiddin berkata, beliau secara prinsip bersetuju menyemak semula elaun guru besar yang didakwa terlalu rendah, iaitu RM100 sebulan.