Pelan pendidikan dibentang hujung bulan ini – Utusan


Pelan pendidikan dibentang hujung bulan ini

MELAKA 22 Jan. – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi ke arah memperkasakan sistem pendidikan negara akan dibentang kepada Jemaah Menteri hujung bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau yakin pelan itu dapat disiapkan sepenuhnya pada masa ditetapkan memandangkan pelan tersebut ketika ini sudah mencapai 99.9 peratus.

“Kita akan bentangkan dalam sesi Jemaah Menteri khas pada 30 haribulan ini dan selepas diluluskan, kita akan segera laksanakan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Bersama Pemimpin dan penyampaian Bantuan Awal Persekolahan RM100 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek, Cheng, dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, terdapat perubahan sangat besar dalam PPPM melibatkan semua pihak merangkumi golongan pendidik, pihak sekolah, masyarakat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, perubahan itu bertujuan meningkatkan kedudukan negara dari sudut pendidikan ketika ini kepada antara tahap terbaik di dunia.

“Dalam tempoh masa 13 tahun ini, akan ada anjakan besar melibatkan semua peringkat bukan sahaja warga pendidik tetapi masyarakat, pemimpin, PIBG, serta komuniti dan kita rangkumkan dalam pelan yang saya rasa inklusif ini.

“Tiada yang diasingkan, semua akan terlibat,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130123/dn_10/Pelan-pendidikan-dibentang-hujung-bulan-ini#ixzz2IlqrfNjw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Dipersembah Kepada Majlis Raja-Raja – Bernama


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Dipersembah Kepada Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang lengkap, akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu peringkat tertinggi itu, bagi pelaksanaannya yang berupaya membawa anjakan besar terhadap sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menghargai cadangan dan pandangan yang dikemukakan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah itu kerana semua pihak termasuk peringkat tertinggi yang menanungi rakyat perlu terlibat secara langsung dalam pelan itu.

“Saya hargai cadangan baginda. Harapan kita agar Raja-Raja memberi perkanan kepada pelan ini. Kita akan buat satu persembahan kepada Raja-Raja kalau itu diperkenankan nanti untuk taklimat mengenai apakah yang terkandung dalam PPPM yang disediakan ini,” katanya di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Malaysia 2012 ‘Pendidikan di Malaysia Melangkaui 2020’ dan menyampaikan watikah pelantikan pengetua cemerlang baharu kepada 112 penerima.

Ketika merasmikan konvensyen itu semalam, Raja Dr Nazrin menyarankan supaya kerajaan mengemukakan PPPM pada Persidangan Majlis Raja-Raja agar ia mendapat perkenan sebelum dilaksanakan nanti.

“Bagaimanapun, sama ada ia dijadikan sebahagian manifesto atau tidak, dokumen itu akan tetap menjadi dokumen awam dan kita akan laksanakan untuk kepentingan negara. Ia akan bermula pada 2013 dan kita tidak boleh simpan terlalu lama,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai MCA yang menolak cadangan di dalam PPPM untuk melaksanakan kurikulum Bahasa Melayu yang sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) untuk pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Muhyiddin berkata MCA perlu meneliti cadangan yang terkandung di dalam pelan itu.

Pelaksanaannya bermula dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014. Ia membawa kebaikan kepada pelajar berbangsa Cina dalam meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Melayu, katanya.

“Saya terima laporan daripada MCA, kalau mereka tidak setuju kita akan ikutpandangan mereka, tengok dulu kandungan (cadangan itu), jika susah bagi mereka,maka okay, kita akan teruskan dengan kelas peralihan.

“Jika mereka masih tidak mahu, okay juga, kita tidak paksa jika mereka mahuanak mereka kurang menguasai Bahasa Melayu, bukan ada niat politik tetapi kitamahu anak-anak Cina baik Bahasa Melayu mereka seperti orang Melayu,” katabeliau.

Muhyiddin berkata cadangan itu adalah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu tanpa menjejaskan bahasa ibunda murid-murid di SJKC dan SJK Tamil kerana pencapaian Bahasa Melayu di antara SK dan SJK agak jauh.

Beliau berkata sekiranya ia dapat dicapai, murid itu tidak perlu lagike kelas peralihan selama setahun dan ia dapat menjimatkan masa.

“Cadangan kita ialah masuk ke darjah empat, lima dan enam kita akan tingkatkan standard Bahasa Melayu, berikan latihan yang lebih baik supaya setanding. Ada istilah yang digunakan di SK ada tetapi SJK tak ada. Jadi kita akan tingkatkan dari segi perkataan dan tatabahasa,” katanya.

Mengenai anjakan kelima di dalam PPPM bahawa pengetua dan guru besar cemerlang akan ditempatkan di sekolah-sekolah luar bandar dan kawasan miskin bandar bagi meningkatkan prestasi sekolah, beliau berkata ia bagi menguji kecemerlangan selain memberikan cabaran kepada mereka sama ada mereka mampumelakukannya atau tidak.

“Saya percaya mereka kompeten, ia adil, jangan pengetua terbaik ke sekolahterbaik, kita nak uji kecemerlangan mereka dan hantar mereka ke sekolah yangkurang cemerlang dan lihat sama ada mereka boleh menjadikan sekolah itu lebihbaik atau tidak,” katanya. –BERNAMA

Semua pandangan diambil kira – Kosmo


Semua pandangan diambil kira


MUHYIDDIN (tiga dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian daripada pengetua cemerlang di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang lengkap akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu bagi pelaksanaannya yang berupaya membawa anjakan besar terhadap sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PPPM merupakan dokumen yang memberi sumbangan besar kerana ia dibawa kepada khalayak masyarakat dan memberi peluang kepada sesiapa yang mahu mengetahui kandungan pelan itu.

Katanya, selain itu kementerian tersebut turut mengambil maklum terhadap setiap kritikan dan cadangan yang dikemukakan rakyat untuk penambahbaikan pelan berkenaan.

“Sekarang ini kita sudah lancarkan pelan tindakan dan ia bukan laporan akhir. Laporan akhir akan selesai selepas Kabinet luluskan dan sebab itu kita masih di peringkat proses penglibatan,” katanya selepas menutup Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Malaysia 2012 dan Penyerahan Watikah Pelantikan Pengetua Cemerlang di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

SJK Cina, Tamil tidak dipinggir – TPM – Utusan


SJK Cina, Tamil tidak dipinggir – TPM

SEGAMAT 20 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyelar pemimpin pembangkang yang mendakwa Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 meminggirkan sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil sekali gus mahu menutup sekolah jenis itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan tersebut tidak benar dan tidak berasas sama sekali kerana kerajaan mengiktiraf pendidikan SJK Cina dan Tamil sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

“Pembangkang hanya tahu bercakap kata bila kita lancar PPP, sekolah Cina dan Tamil mahu ditutup, ini tidak betul, mana ada kita tutup, sekolah Tamil yang ada 10 murid dan sekolah Cina tidak ada murid sampai ke hari ini kita tak tutup.

“Pendidikan sekolah Cina dan Tamil sudah menjadi sistem (pendidikan) kita, bila kita lancarkan PPP, ia merangkumi sekolah Cina dan Tamil,” katanya berucap pada majlis perhimpunan rakyat 1Malaysia di SJKC Li Chi, Kampung Abdullah, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat; Ahli Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Othman Jais dan ADUN Pemanis, Lau Chin Hoon.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas dakwaan beberapa pemimpin pembangkang yang menyatakan PPP 2013-2025 menyisihkan kedua-dua sekolah aliran tersebut dan hanya sekolah kebangsaan bakal memperoleh manfaatnya.

Beliau berkata, semua usaha kerajaan dalam membangun dan memajukan pendidikan tidak pernah sekali-kali mengabaikan sekolah jenis tersebut sejak selepas merdeka lagi.

“Kalau ada pihak kata perbuatan nak tutup sekolah, ini satu pembohongan amat besar sekali. Lee Kuan Yew masa jadi Perdana Menteri Singapura, dia tutup semua sekolah Cina, Malaysia tak tutup (SJK Cina) sampai hari ini,” katanya.

Pada majlis tersebut, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk SJKC Li Chi yang sebelum ini sudah mendapat peruntukan RM7 juta untuk membantu sekolah tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121021/dn_02/SJK-Cina-Tamil-tidak-dipinggir—TPM#ixzz29u7b8hdz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Manfaatkan Hari Terbuka Kementerian Pelajaran – Bernama


Manfaatkan Hari Terbuka Kementerian Pelajaran

5 Oktober 2012
Dr Mohd Puad Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi

MARAN – Masyarakat diminta memanfaatkan sepenuhnya Hari Terbuka Kementerian Pelajaran yang akan dianjur mengikut zon bulan ini untuk memberi pandangan berhubung sistem  pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd PuadZarkashi berkata kementerian itu akan menggunakan forum tersebut untuk mengumpul input Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 sebelum dibentang ke Kabinet pada Disember ini.

“Kita memberi ruang kepada rakyat, badan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan lain termasuk parti pembangkang untuk beri pandangan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Anak Yatim Sekolah Menengah dan Rendah Daerah Maran, di sini hari ini.

Katanya dasar pendidikan negara memerlukan transformasi kerana keupayaan dan kebolehan daya berfikir pelajar masih lemah dan jauh ketinggalan berbanding negara lain di rantau Asia.

Berdasarkan keupayaan pelajar negara ini menjawab soalan tidak berkaitan peperiksaan dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa baru-baru ini, Malaysia menduduki tangga ke-55 dari 77 negara yang mengambil bahagian, katanya.

Malah kata Puad, kedudukan negara jauh ketinggalan berbanding pelajar China, Hong Kong dan Singapura.

Beliau berkata keupayaan berfikir pelajar di negara ini dikategori lemah kerana sistem pendidikan lebih ke arah peperiksaan. – Bernama

Najib: Transformasi pendidikan perlu bagi memenuhi aspirasi tinggi negara – Bernama


Najib: Transformasi pendidikan perlu bagi memenuhi aspirasi tinggi negara

12 September 2012
Najib Tun Razak
Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan transformasi dalam keseluruhan sistem pendidikan dengan usaha meningkatkan pencapaian semua pelajar serta memenuhi aspirasi tinggi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata negara tidak boleh hanya berdiam diri dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.

“Perubahan yang dimaksudkan bukanlah hanya sekadar menambah bilangan kakitangan dan kemudahan, tetapi sekarang ini kita perlu juga memahami dan meningkatkan dinamik proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

“Itulah sebab kita telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan,” katanya dalam entri terbarunya dalam laman blog 1Malaysia.

Semalam, Najib melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang bakal menyediakan satu pelan komprehensif bagi satu transformasi yang pesat dan mampan dalam sistem pendidikan negara.

“Dari bagaimana kita mendekati pembelajaran pelajar, cara kita mengambil, melatih dan memberi ganjaran kepada guru-guru dan pengetua kita, sehinggalah kepada bagaimana Kementerian Pendidikan itu sendiri beroperasi – ianya membentangkan satu proses bagi perubahan itu,” katanya.

Najib berkata  sasaran itu adalah tinggi namun ianya boleh dicapai.

Antaranya termasuklah memastikan pendaftaran sejagat dari peringkat pra-sekolah sehinggalah ke peringkat pendidikan menengah atas dalam tempoh 10 tahun; mengurangkan sebanyak separuh jurang pencapaian antara golongan kaya dan miskin, bandar dan luar bandar, dan antara negeri-negeri yang membentuk Malaysia dalam tempoh 8 tahun; meningkat naik daripada negara yang tergolong dalam kumpulan pertiga terbawah ke pertiga teratas bagi penilaian- penilaian antarabangsa seperti PISA dan TIMSS dalam tempoh 15 tahun; dan membina satu sistem pendidikan yang mendidik anak-anak kita untuk menghargai identiti unik kita sebagai rakyat Malaysia.

Setiap usaha, katanya, mestilah tertumpu ke arah meningkatkan pencapaian pelajar.

“Transformasi sistem pendidikan bukannya satu usaha yang mudah dan kemungkinan besar kita akan menghadapi beberapa cabaran. Namun, yakinlah bahawa bukan sahaja Kerajaan dan Kementerian Pendidikan yang komited untuk mencapai matlamat ini, malah saya juga secara peribadi memegang teguh komitmen ini.

“Dari ibu bapa kepada masyarakat tempatan dan sektor swasta, kita semua mempunyai peranan dan kepentingan peribadi dalam memastikan sistem pendidikan kita diperbaiki,” katanya.

“Oleh itu, Insyaallah, marilah kita bersama-sama sebagai satu negara melalui perjalanan yang menarik, mencabar dan yang paling penting, perlu kita lakukan,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada ribuan guru, pengetua, pentadbir serta pegawai dan petugas Kementerian Pendidikan yang berdedikasi kerana sistem pendidikan Malaysia telah menjadi asas pembangunan negara.

“Hakikatnya bahaaw pendidikan adalah sebahagian penting daripada pembangunan diri seseorang dan juga merupakan penyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara.

“Ia memberi inspirasi kreativiti dan memupuk inovasi, menyediakan kemahiran yang dperlukan oleh golongan belia agar mampu bersaing dalam pasaran modal insan moden dan pemacu utama pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.

Najib berkata pemerhatian perlu bagi memastikan sistem pendidikan terus mencapai kemajuan seiring dengan usaha kerajaan memperkenalkan langkah di bawah Model baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan.- Bernama

Muhyiddin jemput rakyat kemuka input pelan pendidikan – Bernama


Muhyiddin jemput rakyat kemuka input pelan pendidikan

12/09/2012 – 11:29:19 AMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mengadakan hari terbuka untuk membolehkan masyarakat meneliti, mendapatkan penjelasan dan memberi maklum balas kandungan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program selama dua hariitu, yang akan diadakan pada Oktober, bertujuan menjemput pihak berkepentingan untuk melontarkan pandangan serta perkongsian idea sebelum pelan itu dibentangkan kepada Kabinet dan dimuktamadkan pada Disember.

“Masih terdapat ruang dan peluang untuk pihak berminat mengemukakan perkara-perkara yang mereka fikir perlu dimasukkan di dalam pelan itu. Perkataan kunci di dalam laporan ini ialah peningkatan kualiti bidang pendidikan.

“Kalau cadangan itu dilihat boleh menambahbaik kualiti pendidikan, kami bersedia menerima dan memasukkan cadangan-cadangan di dalam laporan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan tinjau peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperinci anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif itu.

Muhyiddin berkata, kementerian juga akan mengadakan beberapa sesi penerangan kepada semua peringkat masyarakat agar mereka mengetahui kandungan pelan berkenaan, dan bidang mana pihak kerajaan memberi keutamaan.
“Kami akan cetak bahan penerangan yang mudah, dalam bahasa yang mudah, agar ramai dapat memahami kandungan laporan itu,” katanya.

Muhyiddin berkata kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan untuk memacu isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklum balas secara berterusan.

“Sebagai langkah susulan, kami mungkin akan menubuhkan jawatankuasa pemantau yang terdiri daripada wakil kementerian, ibu bapa, dan ahli akademik untuk memberi input dan pandangan dari semasa ke semasa tentang apakah yang patut dilakukan dan bidang mana perlu diberikan lebih tumpuan,” katanya.

Justeru, Muhyiddin berkata apa yang penting ialah setiap perakuan perlu diambil kira dari falsafah pendidikan dan bahasa pelajaran yang dilaksanakan selama ini, dan apa-apa yang dilaksanakan mestilah sesuatu yang pratikal dan munasabah, serta tidak lari daripada tujuan untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti.

Beliau juga meminta orang ramai untuk membaca laporan awal itu sebelum membuat sebarang kesimpulan atau keputusan.

Terdahulu, Muhyiddin ditemani Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan guru besar sekolah itu Puan Sarimah Ahmad, meninjau seramai 89 pelajar menduduki peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Muhyiddin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon UPSR, dan berharap ibu bapa akan membantu memberi semangat dan dorongan agar anak mereka boleh menumpukan perhatian kepada peperiksaan.

Seramai 517,139 calon yang berdaftar menduduki UPSR di 8,284 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai semalam hingga esok. – BERNAMA

Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 Fokus 11 Anjakan – mStar


Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 Fokus 11 Anjakan

KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang dilancarkan pada Selasa menggariskan 11 anjakan yang diperlukan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara agar setaraf dengan sistem yang dimiliki di kalangan negara membangun bagi tempoh 13 tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program transformasi itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudiannya melancarkan laporan awal pelan tersebut.

Antara perkara yang boleh dijangka daripada pelaksanaannya adalah: Gelombang Pertama mulai 2013 hingga 2015.

* Peningkatan dalam kemahiran guru

* Kualiti pengajaran

* Keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah

* Mutu kepimpinan sekolah

Gelombang Kedua dari 2016 hingga 2020

* Berlaku perubahan struktur sistem pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerja baharu.

* Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025

* Semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.

Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;

2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;

4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;

5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;

6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;

7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;

8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;

10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu tersebut.

Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan.

Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.

‘Depoliticise’ pendidikan untuk masa depan rakyat Malaysia: Najib – Bernama


‘Depoliticise’ pendidikan untuk masa depan rakyat Malaysia: Najib

11/09/2012 – 13:54:00 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata pemimpin semua peringkat perlu berani ‘depoliticise’ (mengetepikan politik dari) bidang pendidikan dan membuat keputusan demi masa depan anak-anak yang lebih baik, bukan untuk tujuan populis.

Perdana Menteri berkata perkiraan pendidikan adalah perkiraan nasional dan bukannya partisan kerana ia bermatlamat memastikan setiap anak Malaysia mampu merealisasikan potensi kurniaan Tuhan yang dimiliki mereka.

Katanya sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, ia sentiasa menangani isu pendidikan sebagai isu langkau politik dengan terus memperuntukkan jumlah yang signifikan untuk sektor itu dalam bajet negara, termasuk pada 2012 yang memperuntukkan RM37 bilion.

“Iltizam kewangan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat komited bagi menjadikan pendidikan sebagai suatu bidang keutamaan negara.

“Kita bukan sahaja melihat dari segi kuantitatif tetapi juga kualitatif, serta pastikan setiap ringgit duit pembayar cukai digunakan sebaik mungkin agar negara dan rakyat mendapat ‘value for money’,” katanya ketika berucap melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Najib berkata, era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah berakhir, dan kini sedar bahawa harapan masyarakat terhadap keberkesanan dasar pendidikan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara bagi menghadapai cabaran abad ke-21 semakin meningkat.

“Masyarakat sekarang lebih peka dengan pembangunan yang melanda sekitar dunia. Jangkaan mereka terhadap pendidikan adalah tinggi, mereka mengharapkan pulangan yang menguntungkan iaitu dengan anak-anak mereka menjadi seorang yang berguna,” katanya.
Najib berkata harapan kerajaan ialah setiap anak-anak di negara ini mempunyai akses yang sama dalam pendidikan yang berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi, etnik, keupayaan fizikal atau latar belakang.

“Kerajaan akan berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik untuk setiap rakyat. Inilah tanggungjawab kita. Setiap dekad kemerdekaan menyaksikan cabaran pendidikan yang bersifat bitara.

“Sebagai sebuah negara, kita telah berjaya menangani cabaran pendidikan yang dihadapi, era awal kemerdekaan telah menyaksikan bagaimana kita menangani masalah buta huruf, diikuti cara kita menangani era ekonomi berasaskan pertanian dan kemudiannya perindustrian,” katanya. – BERNAMA

PM lancar laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 – Berita Harian


PM lancar laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025

11/09/2012 – 11:25:01 AM oleh Zef OthmanCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi melancarkan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

Beliau menyifatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 begitu komprehensif dan menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau berkata, langkah yang dilaksanakan kerajaan itu adalah cerminan kepada generasi masa depan Malaysia yang lebih gemilang berasaskan pendidikan berkualiti.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif berkenaan.

Terdahulu laporan berkenaan dibentang Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha berkenaan akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember ini.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.
Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.

Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;
2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;
3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;
4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;
5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;
6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;
7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;
8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;
10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;
11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baru berkenaan.

Menurut laporan itu, keputusan berkenaan dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan.
Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.