Cuepacs cadang Sistem Saraan Transformatif menyeluruh – Bernama


Cuepacs cadang Sistem Saraan Transformatif menyeluruh

7 April 2013
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan Sistem Saraan Transformatif (SST) yang lebih menyeluruh dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi penjawat awam.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs berharap proses penyediaan SST yang meliputi 81 skim perkhidmatan sahaja setakat ini, akan turut meliputi kesemua 289 skim perkhidmatan apabila siap kelak.

“Sebelum ini kita ada cadangan untuk meningkatkan sistem saraan melalui SSBP (Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam), namun tak jadi kita balik kepada SSM (Sistem Saraan Malaysia) yang ditambah baik. Apa yang diperlukan sekarang adalah
sistem pengganti SSM bagi membolehkan penjawat awam berkhidmat dengan baik.

“SST (Sistem Saraan Transformatif) yang baru diumumkan merupakan langkah pertama yang baik ke arah ini, namun ia belum merangkumi semua skim perkhidmatan awam. Kita harap pelaksanaan sebuah skim menyeluruh dapat dimuktamadkan dalam tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas manifesto BN, antara lain, menyentuh rancangan kerajaan hendak memperkenalkan Skim Gaji Transformatif (SGT) di bawah SST.

Di bawah SGT, ia termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu itu tiada semakan gaji dilakukan.

Ketika ini, kerajaan BN telah memperkenalkan dan memperkemaskan gred skim penggajian untuk penjawat awam termasuk kenaikan gaji secara keseluruhan dan beberapa inisiatif baharu yang berjumlah RM2 bilion.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan tambahan tiga kali kenaikan gaji tahunan selepas mata gaji mencecah paras maksimum dalam jadual gaji berkuat kuasa 1 Jan 2013.

Omar berkata semakan terhadap setiap gred, nama jawatan dan tangga gaji dalam perhidmatan awam merupakan perkara penting yang memerlukan kajian mendalam bagi membentuk sebuah sistem saraan mampan yang mampu memastikan perkhidmatan awam berada pada tahap tertinggi selain menjaga kebajikan penjawat awam.

Mengulas mengenai prospek lebih cerah untuk kenaikan pangkat dan pembangunan bakat penjawat awam dalam manifesto itu, Omar berkata perkara ini bakal memberi peluang yang lebih luas kepada penjawat awam yang berbakat untuk naik pangkat.

“Ini kita nampak lonjakan daripada sistem terdahulu kerana peluang lebih cerah penjawat awam dapat kenaikan ‘fast track’ (laluan pantas) yang dinilai berdasarkan bakat, kepakaran dan kreativiti mereka.

“Kita juga harap adanya mekanisme yang dapat menggalakkan lebih ramai penjawat awam meningkatkan tahap akademik mereka bagi mencerahkan peluang mereka naik pangkat. Kita harap ini dapat memberi transformasi besar dalam menjaga kebajikan penjawat awam,” katanya. – Bernama

CUEPACS minta senarai anggota suruhanjaya diumum bulan ini – Bernama


CUEPACS minta senarai anggota suruhanjaya diumum bulan ini

2012/05/08

PUTRAJAYA: CUEPACS berharap supaya Suruhanjaya Khas bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara, dapat ditubuhkan dalam bulan ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata sehingga kini kerajaan masih belum mengumumkan senarai anggota suruhanjaya itu, ketika pihaknya menerima pelbagai pertanyaan daripada anggota gabungan mengenainya.

“Harapnya dalam tempoh terdekat ini, sebelum bulan sambutan Hari Pekerja ini berlalu, mohon jasa baik kerajaan supaya dapat umumkan senarai nama anggota suruhanjaya itu,” katanya dalam sidang media di pejabat Kepertama, Universiti Putra Malaysia di sini.

Beliau berkata, kebanyakan anggota gabungan yang membuat pertanyaan adalah dari kalangan 23 kesatuan sekerja.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lalu dan semasa acara itu Najib turut mengumumkan pembatalan Sistem Saraan Baru perkhidmatan Awam (SBPA) dan pelaksanaan semula Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

Omar berkata, beliau difahamkan suruhanjaya itu nanti akan mencadangkan penampilan sistem gaji bagi menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan seperti gaji maksimum, kekananan pegawai, kenaikan pangkat, dan sebagainya.
– BERNAMA

Gerakan sokong SBPA dikaji – Sinar Harian


Gerakan sokong SBPA dikaji

NORJIMI AZMI LATIF
January 17, 2012
Tan Sri Koh Tsu Koon

KUALA LUMPUR – Gerakan mengesyorkan kepada kerajaan mengkaji semula, sistem kerja dan pelaksanaan gaji di bawah Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bukan sahaja meme­natkan penjawat awam, terutamanya guru, malah menerima aduan mengenai kenaikan gaji yang tidak adil.

Presidennya, Tan Sri Koh Tsu Koon berkata, guru turut mengeluh kerana dibebani dengan tugas tambahan.

“Sebenarnya, kita menyokong dasar kerajaan ini bagi memantapkan sektor awam, namun pada masa sama, ia juga perlu memastikan kakitangan mendapat manfaat, terutama guru-guru yang mengeluh kerana mereka bukan sahaja perlu mengajar murid-murid setiap tahun yang semakin bertambah, malah menghabiskan masa untuk menyediakan rekod tugasan harian.

“Untuk mengatasi masalah ini, Gerakan mencadangkan, kerajaan mengambil beberapa orang kerani dan pembantu tambahan,” katanya.

Menurutnya, Gerakan turut mem beri perhatian mengenai aduan mengenai beban guru-guru dalam melaksanakan pelbagai tugas yang diberikan sebagai mana dasar kerajaan seperti satu pelajar, satu sukan.

Tsu Koon berkata, Gerakan telah menyatakan pendapatnya supaya SBPA dikaji semula, bagi menjaga kepentingan seluruh penjawat awam.

Menurutnya, kakitangan kerajaan telah menyuarakan rasa tidak puas hati kerana berlaku ketidakadilan dari segi jurang pendapatan antara peringkat atasan dan bawahan.

“Kita tidak mahu pendapatan diperoleh pihak atasan terlalu tinggi berbanding bawahan. Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana membawa perkara ini ke Kabinet dan mengkaji masalah yang timbul daripada sistem yang baru dicadangkan serta mengambil langkah-langkah tertentu.

“Semua kakitangan awam perlu mendapat manfaat dan bukan lapisan atasan sahaja. Ini selaras dasar transformasi kerajaan yang memberi kebaikan kepada seluruh rakyat dalam pelbagai bidang,” katanya.

Cuepacs, KSN bincang isu SBPA ditangguh – Sinar Harian


Cuepacs, KSN bincang isu SBPA ditangguh

NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
January 12, 2012

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sedang mengadakan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkaitan isu keputusan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, pihaknya akan membincang isu ini dan akan memberi penjelasan petang nanti.
“Sekarang tengah mesyuarat dengan KSN, pasal isu ini (SBPA). Telefon balik petang nanti untuk mendapatkan penjelasan,” kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

“Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi,” kata sumber.