Linangan air mata anak 5A – Metro


Linangan air mata anak 5A

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAMPAR: “Ayah orang paling gembira selepas mengetahui saya mendapat 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Isnin lalu,” kata Siti Aishah Mohd Hafez, 12, anak sulung Mohd Hafez Yunos, 39, seorang daripada empat yang terbunuh.

Dia yang berlinangan air mata sambil ditenangkan gurunya, Che Rozila Ahmad Rapidi memberitahu turut dinobatkan sebagai pelajar cemerlang Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al Marbawi, Kuala Kangsar, Perak sejurus keputusan UPSR diumumkan.
“Ayah terlalu gembira dan hilang kata-kata. Dia begitu bangga dengan kejayaan yang saya terima,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kampar, di sini.

 

Menurutnya, dia dan adiknya, Siti Hadibah, 10, dijaga bapanya yang menetap di Taman Impiana, Kuala Kangsar, Perak, manakala ibunya, Norazian Mohamed Abd Rashid, 30-an, tinggal di Kuala Lumpur kerana bekerja di syarikat Kumpulan UEM.
“Sebaik mendapat keputusan UPSR, saya dan adik pergi ke Kuala Lumpur untuk menemani ibu yang bekerja di sana.
“Ayah seorang yang warak dan kerap menghadiri majlis ilmu dan agama di taman perumahan yang kami duduki. Walaupun sibuk, ayah tetap menghantar saya dan adik ke sekolah setiap hari,” katanya.

 

 

Menurutnya, arwah kerap menghubunginya melalui telefon bimbit untuk bertanya khabar selain melepaskan rasa rindu.
Sementara itu Norazian berkata, arwah ada menghubungi telefon bimbitnya semalam dan memesan supaya dia menjaga anak mereka dengan baik selain tidak lupa menyuruh mereka menunaikan solat lima waktu.

 

“Saya sedih dan terkejut. Semua ini berlaku secara mengejut,” katanya yang tidak dapat menahan air mata sambil membaca Yasin di luar bilik mayat Hospital Kampar, tengah hari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22

Takut buta terus – Metro


Takut buta terus

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI BULOH: “ Saya sangat takut menjadi buta selama-lamanya. Kejadian itu membuatkan saya risau dan sentiasa trauma,” kata mangsa mercun dibaling rakan sendiri Mohd Firdaus Mohd Azlee, 10 menceritakan detik cemas menimpanya 1 September lalu.

Menurutnya, kedua matanya cedera teruk setelah terbakar apabila terkena serpihan mercun dipercayai buatan sendiri yang dilempar rakannya dari tingkat atas di Pangsapuri Teratai di Taman Bunga Raya dekat Bukit Beruntung.
Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya 2 ini , berkata, kejadian berlaku jam 5 petang ketika dia bersama adiknya Mohd Fariz Aiman, 8; sedang bermain di perkarangan rumahnya itu.

 

“Ketika terkena serpihan mercun itu, saya rebah di situ. Ada jiran membantu membawa saya pulang ke rumah sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HS) sejam kemudian.
“Saya tidak sangka malang menimpa diri ini walaupun tidak bermain mercun sepanjang Aidilfitri tahun ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro di HS di sini semalam.
Hadir sama melawat mangsa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno cawangan Apartmen Teratai, Ahmad Nordin. Mohd Isa turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa bagi meringankan beban.

 

 

Ayah mangsa, Mohd Azlee Ibrahim, 36 berkata, dia membuat laporan polis mengenai kejadian malang menimpa anaknya itu pada jam 9 pagi Ahad lalu.
Katanya, walaupun masih terkejut dengan kejadian itu namun mereka pasrah dengan dugaan Allah menimpa anak sulungnya yang pintar dalam pelajaran.

 

“Setiap hari saya dan isteri, Siti Aishah Omar menemani anak di dalam wad ini. Doktor memaklumkan pembedahan mata kirinya akan dilakukan pada 13 September ini di Hospital Selayang (HS).
“Kami tidak mampu menanggung kos rawatan yang tinggi kerana mempunyai pendapatan amat terhad setiap bulan,” katanya yang bekerja sebagai chef hotel di ibu negara.
Menurutnya, beliau perlu menyara empat anak termasuklah Nurul Aqilah, 3 dan Nor Aifa Qalisha, 7 bulan yang masih kecil.
Katanya, anaknya sering menangis dan berada dalam ketakutan apabila sentiasa bimbang menjadi buta setelah kejadian malang menimpa dirinya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08

Didik anak-anak tidak berkemampuan – Kosmo


Didik anak-anak tidak berkemampuan

RUMAH Amal Bistari di Rawang dikendali dengan sumber kewangan Lauzaei dan Siti Aishah sendiri selain sumbangan beberapa individu.

 

ATAS dorongan kuat mahu membantu anak-anak kecil yang memerlukan perlindungan, Lauzaei Md. Akhir, 42, dan isterinya Siti Aishah Ghazali, 42, tekad menubuhkan sebuah rumah amal bagi memberi sinar harapan kepada penghuninya.

Rumah amal itu mula beroperasi sejak Januari 2010 bertempat di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor.

Lauzaei yang juga seorang ustaz menyewa sebuah rumah berkembar bagi dijadikan tempat berlindung untuk anak-anak tersebut di atas nama Rumah Amal Budi Bistari.

Objektif utama penubuhan rumah amal itu bertujuan membantu golongan yang memerlukan bantuan. Ia juga dijadikan sebuah pusat pengajian fardu ain bagi anak-anak sekolah rendah, remaja dan masyarakat setempat.

Ia juga merupakan sebuah platform untuk menjalinkan hubungan antara golongan berkemampuan dan mereka yang kurang bernasib baik.

Rumah Amal Budi Bistari menempatkan seramai 40 orang anak-anak kecil yang berumur lingkungan lima hingga enam belas tahun. Selain menyediakan asrama, rumah amal itu juga bertanggungjawab memberi segala kelengkapan daripada keperluan asas sehinggalah ke aspek pembelajaran anak-anak tersebut.

Dengan adanya sistem pembelajaran yang teratur, ia dapat membantu anak-anak tersebut mempersiapkan diri bagi menghadapi kehidupan yang penuh mencabar.

Menerapkan nilai-nilai Islam, Rumah Amal Budi Bistari mengasuh dan mendidik anak-anak tersebut agar mereka kenal, yakin dan menerima ketentuan Allah mengikut kehendak-Nya.

“Kami di Rumah Amal Budi Bistari menekankan asas-asas fardu ain sebagai pedoman hidup. Pendidikan insan dan rohaniah dijadikan sebagai pendidikan utama yang sangat ditekankan kepada anak-anak yang menghuni di sini,” kata Lauzaei yang juga Pengerusi Rumah Amal Budi Bistari.

PENGHUNI Rumah Amal Budi Bistari dididik dengan ilmu duniawi dan agama sebagai bekalan pada masa depan.

 

Anak-anak rumah itu didisiplinkan dengan sembahyang berjemaah setiap waktu, mengaji al-Quran, bertahlil dan qiyamullail supaya timbul rasa cinta, sayang dan takut kepada Yang Maha Esa agar mereka memiliki jiwa besar untuk mengharungi masa depan.

“Mereka sentiasa mendapat bimbingan untuk memahami pelajaran yang dipelajari di sekolah. Mereka dibantu dalam menyelesaikan kerja-kerja sekolah oleh guru-guru sukarela yang berpengalaman terutama pada hujung minggu dan waktu cuti persekolahan,” katanya.

Perlukan pengangkutan

Selain aktiviti pengajian dan pembelajaran, anak-anak di rumah amal itu juga didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan kemahiran yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka. Ia memboleh mereka tahu hidup berdikari setelah mereka keluar dari rumah amal tersebut kelak. Aktiviti-aktiviti dan pendedahan sebegini dapat menyuburkan minda dan fizikal anak-anak, ia sangat membantu dalam pembinaan jiwa dan sahsiah anak-anak.

Buat masa sekarang, Rumah Amal Budi Bistari hanya mengharapkan sumbangan individu dan usaha pengasasnya sendiri untuk pelbagai kerja menampung kos daripada keperluan asas makanan, bayaran sewa rumah dan kemudahan-kemudahan lain.

Setiap hari, anak-anak di rumah amal itu berjalan kaki ke sekolah. Daripada 40 orang, hanya sebahagian sahaja dapat mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sekolah atas sebab masalah pengangkutan.

Bagi anak-anak yang tidak dapat menghadiri kelas KAFA di sekolah, mereka akan diajar tentang asas fardu ain di rumah amal.

“Saya berharap, dapatlah kiranya pihak individu dan syarikat korporat sama-sama menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada anak-anak kecil ini di rumah amal ini terutama barang-barang keperluan asas seperti makanan dan pakaian.

“Bagi syarikat-syarikat korporat yang bermurah hati kami amat berharap dapat memberi sumbangan berupa pengangkutan untuk kemudahan anak-anak ke sekolah dan melakukan aktiviti-aktiviti luar,” ujarnya.