Pesakit Celebral Palsy antara calon cemerlang UPSR di Melaka – Bernama


Pesakit Celebral Palsy antara calon cemerlang UPSR di Melaka

19 November 2012

MELAKA – Siti Amirah Yazid, 12, yang juga merupakan pesakit celebral palsy iaitu penyakit gangguan saraf berkata kejayaan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) membuktikan golongan sepertinya mampu berjaya dalam akademik.

Anak sulung pasangan Yazid Yacob, 33, dan Siti Aisyah Dolah, 33, yang pernah ditempatkan dalam Program Pendidikan Khas Integriti di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu di sini berkata impian bergelar doktor membakar semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Walaupun menghadapai masalah pembelajaran, namun saya kerap mengulang kaji pelajaran pada waktu malam supaya dapat bersaing dengan rakan-rakan lain dan membuktikan saya juga mampu berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Yayasan Melaka di sini hari ini.

Siti Amirah juga sering mengamalkan ayat Kursi sebelum menduduki peperiksaan.

Seramai 1,466 calon UPSR memperoleh gred cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun ini, menurun 0.3 peratus berbanding 1,478 calon tahun lepas.

Sementara itu, dua pasangan kembar di Melaka juga merupakan antara calon yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu Nurul Shafiqah Md Shah dan adiknya Nurul Shahirah, 12, murid tahun enam SK Bukit Beringin, Masjid Tanah dan Nur Fatin Shahirah Abdullah dan Nur Fatin Syazwani, 12, dari SK Kem Terendak 1.

Bagi pasangan kembar Nurul Shafiqah dan Nurul Shahirah berkata kesusahan ibu mereka, Rohani Abdullah, 52, yang merupakan ibu tunggal mendorong mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Walaupun ibu tiada di sini berkongsi kegembiraan kerana menjaga anak jiran untuk mencari rezeki, namun ia sebagai tanda penghargaan kepada jasa ibu yang bersusah payah membesarkan kami dan empat lagi adik-beradik yang lain setelah ibu berpisah dengan ayah lima tahun lepas.

“Kami juga berharap keputusan cemerlang ini merupakan permulaan untuk berjaya dalam hidup pada masa hadapan,” kata Nurul Shafiqah yang juga kakak pasangan kembar itu.

Pasangan itu yang bercita-cita menjadi pendakwah berkata mereka menghabiskan masa tiga jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran, membuat latihan dan berbincang berkaitan subjek yang kurang difahami.

Bagi pasangan kembar Nur Fatin Shahirah Abdullah dan Nur Fatin Syazwani pula, impian bergelar saintis menjadi pendorong kepada pasangan itu untuk mencapai keputusan 5A.

Anak kedua dan ketiga anggota tentera, Abdullah Mahadi, 42, dan suri rumah Yusniza Khamis, 37, itu berkata kekerapan membuat ulang kaji secara berkumpulan serta menghabiskan masa selama hampir dua jam setiap malam untuk membuat latih tubi dan latihan ternyata tidak mengecewakan. – Bernama

Jari dimamah mercun – Metro


Jari dimamah mercun
Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Tindakan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun membeli mercun selepas meminta wang RM2 daripada bapanya konon untuk membeli gula-gula, berakhir dengan tragedi apabila hujung jari manis tangan kanannya terpaksa dipotong akibat terkena mercun bola di Kampung Kemasin, Bachok, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Mohd Iskandar Izaki Mohd Rudin hancur hujung jari manisnya ketika bermain mercun itu seorang diri di dalam biliknya.
Mercun itu dikatakan meletup di tangannya sebelum sempat Mohd Iskandar Izaki melemparnya ke luar rumah.

Murid darjah tiga Sekolah Kebangsaan Kubang Golok, Bachok itu kemudian dibawa ke Klinik Balai, Bachok sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.
Ibu Mohd Iskandar, Siti Aisyah Mat, 31, berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu menonton televisyen sebelum terdengar bunyi letupan kuat dari dalam bilik anaknya.
Katanya, anak sulungnya, Nurul Atirah Izati, 12, kemudian masuk ke dalam bilik dan menjerit memanggilnya.

“Saya terkejut apabila melihat jari tangan Mohd Iskandar dan katilnya penuh dengan darah, namun dia tidak menangis,” katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini, semalam.
Siti Aisyah berkata, dia memanggil suaminya untuk melihat keadaan anaknya sebelum membawanya ke klinik berhampiran dan dirujuk di HRPZ II untuk rawatan lanjut.

“Mohd Iskandar enggan memberitahu jenis mercun yang digunakan, tetapi kami mengetahuinya selepas suami memeriksa poket seluarnya dan menemui beberapa biji mercun bola,” katanya.
Siti Aisyah turut melahirkan kekesalannya mercun dan bunga api dijual secara berleluasa di sekitar kawasannya.
“Kanak-kanak mudah mendapatkan mercun di sini. Saya harap sesuatu dapat dilakukan supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.
Difahamkan, berdasarkan maklumat daripada pengurusan HRPZ II, Mohd Iskandar adalah mangsa mercun ke-16 yang dirawat di hospital berkenaan musim perayaan ini.

Artikel ini disiarkan pada : 16/08/2012

Murid tahun satu terbunuh – Utusan


Murid tahun satu terbunuh

 

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusankota@utusan.com.my

 

ALOR GAJAH 15 Feb. – Seorang murid tahun satu maut manakala abangnya berusia 12 tahun parah setelah kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 213.2 arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan, di sini awal pagi ini.

Siti Nurnajwa Nordin, 7, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka manakala abangnya, Amir Haziq, 12 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setelah tercampak dari kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu bapanya.

Bapa dua beradik itu, Nordin Mohamad Shukor, 36, dan isterinya, Siti Aisyah Othman, 36, hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, kereta dinaiki empat sekeluarga itu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terbabas dan terhumban ke dalam longkang.

“Dua beradik itu yang berada di tempat duduk belakang dipercayai tercampak keluar melalui tingkap menyebabkan mereka cedera parah di kepala.

“Siti Nurnajwa meninggal dunia sejam kemudian semasa dirawat di Hospital Melaka, manakala abangnya, Amir Haziq masih lagi dirawat di ICU,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, kedua ibu bapa mangsa bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jenazah dikebumikan di Parit Sulong,Johor, petang ini.