SJKT terima cek tendang daripada kerajaan negeri Kedah – Kosmo


SJKT terima cek tendang daripada kerajaan negeri Kedah

ALOR SETAR – Usaha kerajaan Kedah yang mahu menambat hati pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) dengan memberi sumbangan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini memakan diri apabila cek yang diberi adalah cek tidak sah.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Seri Mentalon di sini Selasa lalu.

Apa yang mengejutkan ialah penerima sumbangan yang diwakili Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah berkenaan menerima cek bertarikh 30 Disember 2012.

Pengerusi PIBG SJKT Ladang Somme, Serdang dekat sini memberitahu, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh seorang rakan dari sekolah lain bahawa cek yang diterima adalah cek tendang.

Katanya, biarpun cek itu belum dimasukkan ke dalam akaun bank, dia percaya cek tersebut tiada wang.

“Saya yang mewakili sekolah menerima cek RM3,000 dan ia akan digunakan untuk kebajikan murid,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, cek itu seolah-olah dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sehingga berlaku kesilapan.

“Berlaku kecuaian dan kerja pengeluaran cek dibuat secara tidak teliti. Ini menunjukkan kelemahan yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Menurut laporan blog kedahan69ers.com, pada 2 April lepas satu majlis penyerahan sumbangan berupa cek kepada PIBG 58 buah sekolah Tamil diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar.

Salah satu cek bernilai RM2,000 yang disampaikan oleh Azizan kepada PIBG SJKT Ladang Harvard didapati telah tamat tempoh.

Perkara itu terbongkar apabila Pengerusi PIBG sekolah berkenaan pergi ke bank untuk menunaikan cek tersebut dan mendapati cek bertarikh 12 Disember 2012 itu hanya sah untuk tempoh tiga bulan.

Dalam pada itu, Pengerusi MIC Kedah, S. Ananthan berkata, kejadian itu menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pas.

Katanya, ia juga mencerminkan kerajaan negeri tidak menepati janji dan tidak bersungguh-sungguh membantu kaum India di negeri ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm#ixzz2Pr4zwzKc
Hakcipta terpelihara