SK Bawang guna kabin sebagai kelas sementara – Bernama


SK Bawang guna kabin sebagai kelas sementara

 

16/01/2014 1:55pm

 

KOTA KINABALU – Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip memberitahu sebuah kabin akan dijadikan kelas sementara bagi menggantikan sebuah blok Sekolah Kebangsaan Bawang, Tamparuli yang runtuh dilanda banjir lumpur semalam.

Beliau berkata, pihaknya telah memohon peruntukan dengan Kementerian Pendidikan untuk membina kabin itu.

Sebuah lagi blok sekolah itu yang turut dilanda banjir lumpur masih boleh digunakan, katanya kepada pemberita semasa meninjau sekolah itu hari ini.

Murid tahun satu, lima dan enam yang sedang belajar di blok itu sempat meninggalkan kelas semasa kejadian kira-kira 10 pagi itu.

Jame berkata, bagaimanapun sekolah yang mempunyai 124 pelajar dan 19 guru itu terpaksa ditutup buat sementara waktu sehingga keadaan benar-benar stabil.

“Untuk jangka masa panjang, sekolah ini perlu dipindahkan ke kawasan yang sesuai memandangkan keadaan tanah yang mendap dan tidak sesuai dari segi faktor keselamatan kepada para pelajar,” katanya. – Bernama