SKM galak sekolah sertai aktiviti komersial – Bernama


SKM galak sekolah sertai aktiviti komersial
1 Ogos 2013

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggalakkan lebih banyak koperasi sekolah mempelbagaikan aktiviti komersial khususnya penghasilan produk baru yang dapat meningkatkan pendapatan koperasi tersebut.

Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata koperasi sekolah seharusnya sentiasa mengamalkan sifat berdaya saing dan daya tahan dalam menghasilkan pelbagai produk termasuk produk teknologi maklumat.

“Sekolah adalah tempat terbaik untuk pelajar menceburi dan mempelajari bidang perniagaan dan keusahawanan. Jadi anggota koperasi diharapkan dapat memulakan budaya keusahawanan ini dengan membuka kedai-kedai runcit bagi memupuk minat para pelajar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu melancarkan Projek Perisian Animasi Eksplorasi Cabaran Sejarah (ECS) Kolej Vokasional, Gombak yang merupakan projek pertama seumpamanya dihasilkan dan dipasarkan menerusi koperasi sekolah itu.

ECS adalah sebuah perisian pendidikan bercorak permainan animasi 3D bagi mata pelajaran Sejarah mencakupi sukatan tingkatan empat dan tingkatan lima untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang dicipta sepasukan guru dan pelajar sekolah itu.

Perisian itu juga mendapat pengiktirafan luar negara apabila dianugerahi pingat emas dalam Program Penyelidikan Antarabangsa di Amerika Syarikat pada tahun lepas dan ia dipatenkan untuk dipasarkan ke sekolah lain sebagai bahan tambahan pembelajaran mulai hari ini.

Nik Ali berkata penciptaan perisian ECS itu merupakan ciptaan paling cemerlang pernah dihasil dan dipasarkan menerusi koperasi sekolah dan ia harus dicontohi koperasi sekolah lain.

“SKM bersedia menawarkan pelbagai pinjaman kewangan kepada mana-mana koperasi sekolah yang ingin melebarkan perniagaan mereka. Contohnya untuk ECS, kita telah beri pinjaman mudah di bawah Tabung Modal Pusingan sebanyak RM50,000 tanpa cagaran di samping memberi geran pengukuhan sebanyak RM20,000.

“Malah jika pasaran produk ini menampakkan peningkatan, kita akan tawarkan pinjaman yang lebih kompetitif untuk mengembangkan lagi produk tersebut,” katanya.

Tambah Nik Ali, perubahan era pembelajaran kini yang banyak menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)     dilihat peluang terbaik untuk koperasi sekolah menerokai dan mencari ruang menambah pendapatan.

Pada majlis sama, Kolej Vokasional Gombak menandatangani perjanjian persefahaman di antara Asdion Hospitality Solution Sdn Bhd dan Smart Ebook Technology Sdn Bhd sebagai jalinan kerjasama untuk memasarkan produk tersebut. – Bernama