Datuk mahu guru pukul cucu diambil tindakan – Utusan


Datuk mahu guru pukul cucu diambil tindakan

ZULKEFLI Lop dan isterinya, Rokiah Arshad menunjukkan halaman akhbar Kosmo! yang turut memaparkan berita mengenai cucu mereka, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol di rumahnya di Kampung Baru Changkat Jong, Teluk Intan, semalam.

 

TELUK INTAN 18 Jan. – Jabatan Pelajaran negeri diminta mengambil tindakan terhadap seorang guru yang memukul seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Jalan Changkat Jong, di sini sehingga pengsan semalam.

Penjaga yang juga datuk kepada pelajar tersebut, Zulkefli Lop, 61, berkata, guru tersebut tidak sepatutnya menggunakan kekerasan dengan memukul cucunya sehingga pengsan dan dimasukkan ke hospital.

“Saya akui cucu saya nakal dan saya tiada masalah jika guru menggunakan rotan untuk mendidik, tetapi jangan pukul sampai dia masuk hospital.

“Pukul pula di tempat bahaya iaitu di tengkuk. Macam mana kalau terputus urat atau berlaku kematian, siapa yang hendak bertanggungjawab kerana bapanya tiada di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Changkat Jong di sini hari ini.

Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini, pelajar berkenaan mendakwa dipukul sehingga pengsan oleh seorang guru sekolah tersebut semalam.

Pelajar tersebut, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol, 14, mendakwa kejadian itu berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang bergaduh dengan seorang pelajar lain di tingkat atas sekolah berkenaan.

Menurut Zulkefli lagi, dia kesal kerana tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai kejadian yang menimpa Muhamad Ziqril dan hanya mengetahuinya melalui seorang rakan kepada cucunya petang semalam.

“Sampai pukul 6 petang saya tunggu cucu saya tidak pulang ke rumah. Selepas itu, seorang kawan dia beritahu Muhamad Ziqril ada di perhentian bas depan sekolah kerana baru keluar hospital akibat dipukul guru.

“Saya pun terus pergi ke sana untuk membawa cucu saya pulang ke rumah,” katanya sambil menyatakan turut kesal kerana pihak sekolah tidak membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Susulan kejadian itu, Zulkefli memberitahu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini tengah hari ini.

Dalam pada itu, seorang Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Changkat Jong, Ayub Harun, 58, yang melawat pelajar itu berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana seorang guru sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada murid dan masyarakat.

“Memang ada sesetengah murid sangat nakal di sekolah, tetapi kita ada undang-undang. Kalau hendak pukul untuk mengajar, guna rotan supaya tidak mendatangkan kecederaan kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa ketika dihubungi berjanji akan menyiasat perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika guru tersebut didapati bersalah.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut.

Rotan jika salah, bukan belasah – Kosmo


Rotan jika salah, bukan belasah

 

Oleh AINSAFRE BIDIN
berita@kosmo.com.my

 

ZULKEFLImenunjukkan laporan akhbar Kosmo! mengenai kejadian cucunya dibelasah sambil diperhatikan oleh isterinya, Rokiah Arshad di Teluk Intan semalam.

 

TELUK INTAN – Datuk kepada seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini kecewa apabila cucunya yang mendakwa dipukul seorang guru sekolah kelmarin telah menjadi mangsa perbuatan pihak yang sepatutnya mendidik dan bukan bertindak di luar batas undang-undang.

Zulkefli Lope, 61, berkata, tindakan keterlaluan guru terbabit menyebabkan cucunya, Muhammad Ziqril Hakin Mohd. Farol pengsan dan terpaksa dirawat di Hospital Teluk Intan di sini.

Tambah mengecewakan Zulkefli ialah dia selaku penjaga pelajar itu hanya mengetahui kejadian tersebut daripada rakan sekelas Muhammad Ziqril Hakin selepas waktu sekolah.

“Sudahlah saya tidak dimaklumkan langsung, cucu saya itu pula ditinggalkan bersendirian di perhentian bas untuk pulang ke rumah selepas mendapat rawatan di hospital.

“Saya akui dia nakal sebab berkelahi di sekolah dan saya tak kisah dia dirotan tapi janganlah dibelasah sampai begitu sekali,” kata Zulkefli ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Batu 8, Jalan Changkat Jong di sini semalam.

Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Ziqril Hakin mendakwa dipukul tiga kali di muka dan leher oleh seorang guru sehingga pengsan.

Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu berlaku selepas pelajar berkenaan berkelahi dengan seorang pelajar lain hingga menyebabkan guru terbabit masuk campur.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa memandang serius kejadian tersebut dan telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak membuka kertas siasatan.

Pelajar dakwa dipukul guru hingga pengsan – Kosmo


Pelajar dakwa dipukul guru hingga pengsan

MUHAMAD ZIQRIL HAKIN telantar di atas pengusung di Hospital Teluk Intan semalam.

 

TELUK INTAN – “Kami berkelahi tetapi mengapa cikgu masuk campur dan pukul kami berdua sehingga saya cedera teruk.”

Demikian luah seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Jalan Changkat Jong di sini yang mendakwa dia dipukul sehingga pengsan oleh seorang guru sekolah tersebut semalam.

Pelajar berkenaan, Muhamad Ziqril Hakin Mohd. Farol, 14, mendakwa, kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang bergaduh dengan seorang pelajar di sekolah tersebut.

“Saya terkejut kerana guru itu menerpa datang dan memukul kami berdua dengan tangannya. Saya dipukul sebanyak tiga kali di muka dan sekali di leher sehingga menyebabkan saya terjatuh.

“Saya tidak ingat apa-apa lagi selepas itu dan sedar-sedar saya sudah terbaring di atas katil di hospital. Saya cuma rasa sakit di tengkuk dan kepala saya,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan di sini semalam.