Mekanisme nilai pelajar – Metro


Mekanisme nilai pelajar

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mempunyai mekanisme untuk menilai pelajar bagi kemasukan ke sekolah berasrama penuh walaupun peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan mulai 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain daripada pencapaian pelajar itu menerusi penilaian sekolah, latar belakang mereka juga diambil kira dalam pemilihan kemasukan ke sekolah berasrama penuh. “Kita akan memberi keutamaan jika latar belakang pelajar itu dari keluarga miskin, tetapi dia cemerlang dan langkah ini kita sudah mulakan tahun lalu,” katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan perjalanan peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan PMR mulai 2014 dan peperiksaan utama selepas ini hanya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada peringkat rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat menengah. “Walaupun begitu, kita putuskan untuk meneruskan penilaian menerusi sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) di mana pelajar masih boleh diukur tahap pencapaian pelajaran menerusi peperiksaan dibuat oleh sekolah dengan dipantau Lembaga Peperiksaan supaya soalan disediakan setara dan berkualiti bagi mengukur sejauh mana kejayaan pelajar.
“Ia juga penting supaya ibu bapa dapat mengetahui prestasi anak mereka dan membantu kita mengenalpasti kekurangan dan mengambil langkah memperbaikinya,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai usaha kerajaan menjadikan sekolah satu sesi saja, beliau berkata, tinggal kira-kira 20 peratus saja lagi sekolah yang mempunyai dua sesi.

 

 

“Kalau boleh semua sekolah kita jadikan satu sesi dan caranya ialah menambah bilangan bilik darjah kerana bilangan guru bukan satu masalah disebabkan kita mempunyai tenaga pengajar yang mencukupi.
“Masalah bilik darjah timbul kerana di sesetengah sekolah, kita tidak dapat meramalkan kemasukan pelajar sehingga jumlahnya meningkat dengan besar sekali menyebabkan dua sesi terpaksa dilakukan,” katanya.

 

Menurutnya, sekolah satu sesi penting kerana tempoh pembelajaran boleh dilanjutkan satu hingga dua jam untuk mata pelajaran kritikal seperti bahasa Inggeris, matematik dan sains.
“Langkah itu yang dilaksanakan di sekolah swasta dan kebaikan lain sekolah satu sesi membabitkan aktiviti kokurikulum untuk pelajar,” katanya.
Beliau berkata, jika mendapat peruntukan mencukupi untuk menambahbaik kemudahan di sekolah, mungkin tempoh sekolah satu sesi mengambil masa antara lima hingga 10 tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11

SBA ganti PMR ukur prestasi – Utusan


SBA ganti PMR ukur prestasi

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
pengarang@utusan.com.my

MUHYIDDIN Yassin meninjau para pelajar mengambil peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia dekat Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Pengetua SMK Gombak Setia, Maimon Ahmad. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Tahap pencapaian para pelajar tingkatan tiga akan diukur melalui penilaian Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) apabila Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan pada 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, SBA itu akan dikendalikan oleh sekolah tetapi masih di bawah pengawasan dan pemantauan Lembaga Peperiksaan untuk memastikan soalan yang disediakan berkualiti, setara dan mampu mengukur prestasi para pelajar.

“Langkah dan pendekatan ini membolehkan ibu bapa mendapat maklumat terkini mengenai prestasi penguasaan pelajaran anak-anak mereka,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan perjalanan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk melihat seramai 599 pelajar sekolah itu menduduki peperiksaan tersebut yang bermula semalam.

Pada tahun ini, seramai 480,306 pelajar menduduki peperiksaan itu di 3,720 buah sekolah di seluruh negara,.

Muhyiddin berkata, selepas tahun 2014, hanya ada dua peperiksaan utama yang dijalankan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Murid-murid dari Tahap Satu hingga Tahap 5, prestasinya diukur melalui SBA. Begitu juga di peringkat menengah sepanjang tahun pembelajaran yang tidak ada peperiksaan utama, prestasi pelajar diukur berasaskan kepada sistem tersebut,” tambah beliau.

Mengulas mengenai pengambilan pelajar asrama di tingkatan empat selepas pemansuhan PMR, Muhyiddin berkata, proses kemasukan itu tetap diteruskan seperti biasa.

Katanya, proses pengambilan kemasukan pelajar di sekolah-sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara akan dibuat berdasarkan kecemerlangan dan latar belakang pelajar.

“Pelajar yang cemerlang dan latar belakang ibu bapa yang miskin akan diberi keutamaan untuk mendapat tempat di sekolah berasrama penuh dan amalan ini telah dimulakan sejak tahun lepas,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121011/dn_05/SBA-ganti-PMR-ukur-prestasi#ixzz28xvkiMgt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Muhyiddin: Semua Sekolah Satu Sesi Dalam 5 Hingga 10 Tahun Lagi – mStar


Muhyiddin: Semua Sekolah Satu Sesi Dalam 5 Hingga 10 Tahun Lagi

PRIYA KULASAGARAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan berharap untuk mempunyai sistem satu sesi di semua sekolah di seluruh negara dalam masa lima hingga 10 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami mempunyai guru yang cukup (untuk membuat semua sekolah satu sesi) tetapi kita perlu lebih banyak sekolah.

“Ini juga boleh membawa kepada waktu persekolahan dilanjutkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat SMK Gombak Setia di sini pada hari kedua PMR pada Selasa.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata membina lebih banyak sekolah bergantung kepada peruntukan bajet, sambil menambah bahawa 20 peratus sekolah 10,000 negara kini satu sesi.