Derita kanser prostat – Sinar Harian


Derita kanser prostat

RAZIF ROSLI
3 Februari 2013
Derita kanser prostat
Abang Mohd Shahidan, Norazahairil, 15, (kiri) yang memangku Muhammad Rayyan Kazim, 10 bulan, sayu melihat adiknya yang terlantar di katil bersama dua lagi adiknya.

BATU GAJAH – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dapat digambarkan penderitaan seorang remaja, Mohd Shahidan Norazlin, 14, yang kini disahkan menghidap kanser prostat selepas sebelum ini menderita melawan kanser testis pada April 2012 lalu.

Mohd Shahidan yang juga murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf Batu Gajah (Pendidikan Khas) sedang menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak disahkan menghidap sakit berkenaan sehingga Mac ini.

Mohd Shahidan yang mengalami kecacatan perkembangan tegal melibatkan fungsi otak (autisme) sejak dilahirkan sudah menjalani beberapa siri pembedahan demi yang melibatkan perut dan testis beliau.

Lebih meruntun hati keluarganya, remaja itu kini dinasihatkan doktor untuk menjalani pula rawatan radioterapi sebagai langkah terakhir memandangkan kanser yang berada di perut beliau cepat merebak dan kimoterapi tidak memberikan apa-apa kesan.

Ibu beliau, Siti Azar Che Noor, 31, berkata, pihaknya merayu sumbangan orang ramai bagi membolehkan beliau membawa anaknya menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi tujuan radioterapi selepas sesi rawatan kimoterapi selesai Mac ini.

“Kami akan ke Kuala Lumpur 13 Februari ini untuk pengesahan rawatan radioterapi dan apabila beliau mendapatkan rawatan ke sana, kami perlu berulang alik ke Kuala Lumpur malah ini akan melibatkan belanja yang besar.

“Dahulu saya berniaga goreng pisang dan selepas suami dibuang kerja daripada menjadi pemandu lori sejak anak sakit, suamilah yang berniaga dan saya duduk di rumah menjaga Mohd Shahidan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di No 14, Persiaran 5, Taman Seri Cahaya di sini, semalam.

Siti Azar menambah, pendapatan keluarganya kini hanya bergantung pada berniaga dan ia tidak mencukupi untuk menampung kos untuk membawa anaknya ke Kuala Lumpur nanti.

“Setakat ini pendapatan kami hanya sekitar RM600 sebulan, bantuan daripada Baitulmal RM200 termasuk bantuan yang disalurkan melalui sekolah. Kami ada mohon bantuan daripada Majlis Kanser Nasional (Makna) cuma belum ada keputusan lagi.

“Bantuan daripada adik-beradik, sanak saudara, kawan serta jiran ada juga yang menghulurkan bantuan termasuk Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang turut prihatin,” katanya.

Bagi bapa Mohd Shahidan, Norazlin Dahari, 42, melahirkan rasa sedih apabila mendakwa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) tidak mengendahkan permohonannya mendapatkan bantuan selaku bekas anggota tentera.

“Saya dan isteri sebelum itu panjat pejabat Jabatan Hal Ehwal Vateran (JHEV) dan mereka menyatakan hanya boleh membantu dari segi barangan keperluan seperti lampin, kerusi roda dan lain-lain barangan.

“Jadi bila kami ke PBTM di Silibin, kami diminta membuat surat dan kami telah serahkan semua dokumen yang diperlukan termasuk surat doktor seperti yang diminta Mei lalu.

“Apa yang menyedihkan awal Januari lalu kami telefon lepas kami tanyakan status permohonan, mereka terus meletakkan telefon dan tidak mahu bercakap malah boleh pula mencabar kami membawa perkara ini kepada media jika tidak berpuas hati,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka akaun bank Bank Simpanan Nasional (BSN) Siti Azar: 03203-29-81268387-1 atau menghubungi beliau di talian 017-4688377.

Pendidikan medium terbaik pencegahan – Sinar Harian


Pendidikan medium terbaik pencegahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Februari 2012
Pendidikan medium terbaik pencegahan

BATU GAJAH – Sudah tiba masa warga sukan di semua peringkat di negeri ini didedahkan dengan lebih banyak pengetahuan mengenai akta dan penggunaan dadah terlarang.

Exco kerajaan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, walaupun mendidik atlet negara mengenai dadah boleh dianggap sudah agak terlewat tetapi ia lebih baik daripada tidak mengambil apa-apa tindakan langsung.

“Bagi saya program kesedaran boleh diselaraskan di semua peringkat bermula di sekolah kerana dari sekolahlah kita perlu dedahkan tentang pendidikan agar mencegah atlet muda kita dari mengambil bahan terlarang.

“Ini boleh dilakukan dengan kerjasama daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan ia memberi ruang untuk nasihat dan kesedaran berterusan kepada pegawai, jurulatih dan atlet tentang pelbagai maklumat mengenai dadah terlarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Sukan Sekolah Perak 2011 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak dalam menangani isu kegagalan atlet 4X400m, Mohd Yunus Lasaleh dalam ujian doping ketika Sukan SEA Indonesia tahun lalu apabila ujian sampel B telah disahkan positif oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc).

Zainol Fadzi berkata, peranan jurulatih amat penting dalam memberi penekanan dan nasihat kepada atlet berhubung isu penyalahgunaan bahan antidoping.

“Berdasarkan kes sebelum ini, terdapat atlet yang tidak menyedari kewujudan bahan terlarang di dalam makanan atau ubatan yang diambil. Jurulatih yang memberikan makanan tambahan tertentu juga seharusnya mempunyai pengetahuan yang luas dan jelas khususnya melibatkan pengambilan ubat kerana kita khuatir bahan tersebut sebenarnya mengandungi dadah terlarang,” katanya.