Ujian diteruskan – Metro


Ujian diteruskan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: Sesi peperiksaan pertengahan tahun untuk bakal calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pendaftaran pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah di sini, tetap diteruskan biarpun kejadian banjir kilat awal pagi semalam separas lutut berlaku sekali lagi.

Bagaimanapun, segelintir calon SPM itu terpaksa dihubungi bagi meminta mereka hadir untuk menghadapi peperiksaan bermula semalam.
Jurucakap sekolah berkata, hujan lebat selama dua jam bermula 2 pagi itu diikuti hujan renyai sehingga jam 8 pagi menyebabkan banjir kilat hingga sesetengah pelajar menyangka sesi persekolahan dibatalkan.

 

Katanya, biarpun paras air pada kali ini tidak seteruk kejadian pada April lalu, namun air tetap juga memasuki ruang kelas di tingkat bawah.
“Air naik pada awal pagi itu disedari warden asrama dan juga pengawal keselamatan sekolah. Bagaimanapun pihak sekolah sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan untuk menghadapi situasi ini termasuk penempatan bagi memastikan pelajar tetap dapat mengambil peperiksaan.
“Mungkin ada segelintir pelajar ingat peperiksaan ditangguhkan kerana banjir, sebaliknya ia tetap diteruskan kerana kami sudah membuat persediaan awal dengan menyediakan ruang peperiksaan di tingkat atas. Pelajar hadir selepas dihubungi pihak sekolah,” katanya.

 

 

Beliau berkata, pendaftaran pelajar tingkatan enam juga berjalan lancar berikutan air mulai surut bermula jam 8.30 pagi.
Mengulas mengenai masalah banjir itu, beliau berkata, Majlis Perbandaran Klang (MPK) masih tidak melakukan tindakan yang lebih baik bagi mengatasi masalah berkenaan.

Jabatan Pelajaran Selangor pohon RM500,000 tampung kerugian banjir – Bernama


Jabatan Pelajaran Selangor pohon RM500,000 tampung kerugian banjir

31 Mac 2012

SHAH ALAM – Jabatan Pelajaran Selangor memohon peruntukan kira-kira RM500,000 daripada Kementerian Pelajaran bagi menampung ganti rugi kerosakan fizikal yang dialami 15 sekolah di Klang akibat banjir semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor Abdullah Mad Yunus berkata peruntukan itu adalah anggaran kasar setakat ini dan jumlah kerosakan terperinci di setiap
sekolah terlibat masih dalam siasatan.

“Kementerian, Jabatan Pelajaran Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah Klang juga sedang memantau dengan teliti perkembangan terbaru di semua sekolah
berkenaan berikutan hujan yang masih berterusan.

“Kami akan ambil tindakan yang perlu untuk pastikan keselamatan murid-murid dan kami tidak mahu kejadian seperti banjir ini menganggu pengajaran dan pembelajaran murid-murid,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdullah berkata daripada 15 sekolah itu, lapan sekolah terlibat dengan penutupan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah (STAR), SMK La Salle, SK (SK) La Salle, SK Simpang Lima 1, SK Simpang Lima 2, SK Sungai Udang, SK Teluk Gadong dan Sekolah Menengah (SM) Vokasional.

Sementara tujuh sekolah lagi yang terlibat dengan banjir beroperasi seperti biasa, katanya.

Abdullah berkata tinjauan sehingga tengah hari ini mendapati kesemua 15 sekolah terbabit masih menjalankan kerja-kerja pembersihan. Beliau berkata daripada lapan sekolah yang terlibat dengan penutupan, STAR paling teruk dilanda bencana alam itu.

Abdullah berkata dalam minggu ini sahaja, STAR dinaiki air sebanyak tiga kali. Masalah banjir di sekolah itu dialami sejak tahun 80-an dan dalam setahun kira-kira tujuh kali ia dinaiki air.

Ditanya kemungkinan memindahkan sekolah berkenaan ke tempat lain untuk mengelak kejadian itu berulang, Abdullah berkata cadangan itu boleh dipertimbang namun beberapa perkara perlu diambil kira.

“Cadangan itu boleh tetapi sekolah bersejarah (Ethos) seperti ini selalunya ingin kekal berada di tempat asal,” katanya. – Bernama

Makmal sekolah dinaiki air, terpaksa belajar dalam banjir – Bernama


Makmal sekolah dinaiki air, terpaksa belajar dalam banjir

27 Mac 2012
Beberapa orang pelajar menggunakan bangku untuk masuk ke kelas ketika banjir

PELABUHAN KLANG — Beberapa pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah di sini terpaksa belajar dalam banjir apabila makmal sekolah itu dinaiki air akibat banjir kilat kira-kira pukul 9.00 pagi tadi.

Pengetua sekolah berkenaan Rahmah Arsad berkata banjir kilat itu berpunca dari hujan lebat yang turun tanpa henti kira-kira sejam serta dipercayai akibat masalah longkang tersumbat ekoran dipenuhi sampah sarap.

Beliau berkata kejadian banjir itu bukan yang pertama dan sering berlaku setiap kali hujan turun dengan lebat dan berpanjangan.

“Saya masih ingat ketika memulakan tugas pada November lepas, saya juga ‘disambut’ dengan kejadian banjir kilat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rahmah berkata perbincangan juga sering diadakan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari semasa ke semasa namun masalah sama tetap berulang.

Beliau berkata setiap kali banjir, sekolah terpaksa menanggung kerugian beribu ringgit bagi menggantikan peralatan kelas seperti kerusi dan meja yang rosak kerana ditenggelami air.  — Bernama