BERITA HARIAN BERTARIKH 21 DISEMBER 2012 – ANAK DINAFI HAK BELAJAR SEKOLAH BARU DI RAWANG


BERITA HARIAN BERTARIKH 21 DISEMBER 2012 – ANAK DINAFI HAK BELAJAR SEKOLAH BARU DI RAWANG

21 January 2013

 

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Insan Teraniaya, Rawang” dalam ruangan Forum akhbar Berita Harian bertarikh 21 Disember 2012 – Anak dinafi hak belajar sekolah baru di Rawang.

 

Merujuk kepada aduan dan penjelasan pengadu, terdapat salah faham pengadu terhadap proses pertukaran Sekolah anak beliau. Dimaklumkan, pertukaran sekolah bagi sesi persekolahan 2013 dibuka pada 15 Disember 2012 bagi menyelaraskan enrolmen murid semasa di sekolah-sekolah Daerah Gombak.

Bagi penempatan Tingkatan 4 ke SMK Tun Perak, mesyuarat akan diadakan pada 26 Disember 2012 untuk menempatkan murid daripada SEMEKAR ke SMK Tun Perak. Penempatan ini merupakan perpindahan secara berkelompok mengikut kriteria perpindahan yang akan diputuskan oleh panel mesyuarat terdiri daripada wakil SEMEKAR dan SMK Tun Perak bersama dengan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak.

 

Pertukaran anak pengadu dari SEMEKAR ke SMK Tun Perak tidak diluluskan pada masa pengadu membuat permohonan kerana anak pengadu masih di aliran sains pertanian manakala SMK Tun Perak hanya mempunyai dua aliran iaitu aliran Kemahiran Teknikal dan aliran Perdagangan. Pertukaran aliran akan memberi impak yang besar dalam penilaian PBS. Walau bagaimanapun, murid masih boleh menukar aliran. Pihak PPD menasihati pengadu untuk membuat permohonan pertukaran aliran di sekolah yang asal. Setelah selesai pertukaran aliran, barulah pengadu boleh menukar sekolah tanpa sebarang masalah.

 

Pihak PPD tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa sekolah akan kosong disebabkan murid berpindah ke SMK Tun Perak dan tidak timbul isu perlu belajar sekurang-kurangnya enam bulan sebelum boleh memohon pertukaran.

 

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA