Belajar Melalu internet bantu kejayaan pelajar cemerlang UPSR – Bernama


Belajar Melalu internet bantu kejayaan pelajar cemerlang UPSR

19 November 2012

SHAH ALAM – Belajar melalui Internet termasuk menerusi media sosial seperti Facebook turut membantu kejayaan Nur Afiqah Syahirah Mohd Adnan yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumum hari ini.

Anak bongsu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah itu berkata melalui media sosial tersebut dia mendapat kawan dan bertukar kertas soalan peperiksaan sekolah masing-masing.

“Saya juga melayari laman web seperti e-book untuk mendapatkan tips dan meningkatkan pengetahuan dalam mata pelajaran yang diambil selain berbincang dengan rakan-rakan di alam maya,” kata murid Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 itu di sini hari ini.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata tiada rahsia khusus untuk mencapai kejayaan selain daripada berusaha tanpa jemu dan mendapat restu serta doa daripada kedua ibu bapa dan guru.

Yang paling utama ialah sering mengadakan ulang kaji dan rajin membuat latihan serta berjumpa dengan guru-guru sekiranya tidak faham dengan mata pelajaran yang diambil, katanya.

“Saya gunakan masa yang ada sebaiknya untuk belajar dan syukur doa saya dimakbulkan dengan kejayaan hari ini,” katanya yang gembira kerana berjaya meneruskan tradisi adik beradiknya mendapat keputusan semua A dalam UPSR.

Turut berkongsi kejayaan ialah anak bekas penjaga gol kebangsaan Azlisham Ibrahim, Adam Muqrish.

Kedua-dua mereka merupakan antara 84 calon dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim berkata 8,581 daripda 90,494 calon UPSR negeri itu berjaya memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Beliau berkata seramai 54,092 calon pula lulus dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan gred minimum C.

Katanya Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 pula muncul sekolah yang mendapat peratusan tertinggi bagi calon yang mendapat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil. – Bernama

Calon rabun guna kertas soalan besar – Metro


Calon rabun guna kertas soalan besar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

RANTAU PANJANG: “Saya tidak pernah menganggap diri saya berbeza dengan orang lain dan tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Mohd Affandi Arifin, 17, yang mengalami masalah rabun teruk sehingga terpaksa menjawab soalan peperiksaan SPM semalam dengan kertas lebih besar.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang (SMKRP) itu berkata, ini bukanlah kali pertama dia menduduki peperiksaan sebagai calon rabun kerana pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dua tahun lalu dia turut mendaftar sebagai calon rabun.
“Penyakit rabun yang saya alami sejak lahir ini menyebabkan saya diberi kertas soalan peperiksaan bersaiz lebih besar daripada calon lain, sekali gus memudahkan saya membaca soalan. “Saya mendaftar 10 subjek bagi peperiksaan SPM dan berazam memperoleh keputusan terbaik biarpun walaupun rabun teruk,” katanya.

 

Menurutnya, biarpun rabun, dia tidak boleh memakai cermin mata kerana dikhuatiri masalah sukar melihat dialaminya bertambah teruk.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06

Kementerian Siasat Soalan Bersih 3.0 Dalam Percubaan SPM – mStar


Khamis September 27, 2012
Kementerian Siasat Soalan Bersih 3.0 Dalam Percubaan SPM

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memandang serius berhubung dakwaan soalan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikatakan mengandungi soalan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan namun mengesahkan masih belum menerima sebarang laporan atau bukti dikemukakan berhubung perkara itu.

“Soalan percubaan SPM tidak dibuat oleh kementerian, sebaliknya oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau pihak sekolah sendiri. Hanya soalan SPM sebenar saja yang pihak kementerian buat.

“Semua pihak boleh membuat dakwaan dan menyebarkannya di internet tetapi kesahihannya masih belum diketahui,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, di sini, Khamis.

Baru-baru ini tersebar di internet termasuk laman Facebook mengenai soalan percubaan SPM yang mempunyai soalan berhubung perhimpunan Bersih 3.0.

Soalan yang dipercayai subjek pendidikan moral itu juga mengandungi dua gambar ketika berlakunya perhimpunan berkenaan pada 28 April lalu.

Dengan merujuk kepada gambar yang diberi, soalan itu bertulis ”Adakah wajar atau tidak bagi seseorang warganegara itu untuk menyertai perhimpunan haram?”.

Mengulas lanjut Wee berkata mulai tahun depan, semua soalan peperiksaan percubaan akan dibuat pihak sekolah sendiri bagi mengurangkan bebanan JPN.

“Kita akan seragamkan perkara itu di seluruh negara. Jadi, pihak sekolah akan bertanggungjawab terhadap soalan yang dirangka mereka, ” katanya.