PPPM: Soalan UPSR, SPM berbentuk pemikiran tinggi – Bernama


PPPM: Soalan UPSR, SPM berbentuk pemikiran tinggi

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.

Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran.

“Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza,” demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Pelan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga akan dikaji semula.

Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula 2016.

Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.

Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.

Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.

Dengan itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah menengah.

Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.

“Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi,” menurut pelan itu. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_30/PPPM-Soalan-UPSR-SPM-berbentuk-pemikiran-tinggi#ixzz2e7riv3Q9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Klinik UPSR Tabung Haji dilengkapi elemen motivasi – Berita Harian


Klinik UPSR Tabung Haji dilengkapi elemen motivasi

Oleh Rosdi Ismail
rosdi@bharian.com.my
2012/05/07

PROGRAM bimbingan peperiksaan, Klinik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tajaan Tabung Haji menerusi Kelab TaHa dapat menambah keyakinan murid untuk menduduki UPSR.

Pengarah Tabung Haji Perak, Mohamad Hamdan Omar, berkata klinik itu yang menyelitkan elemen motivasi mengubah sikap murid supaya lebih gigih bagi mencapai kejayaan dalam UPSR.

Menurutnya, berpandukan modul kertas kerja yang menyediakan latihan dan soalan aras UPSR sebenar, calon mendapat gambaran awal mengenai bentuk soalan yang bakal mereka jawab.

Selain itu, beliau berkata, penggunaan kertas kerja sepanjang klinik berlangsung menambah keyakinan murid membuat persediaan menghadapi peperiksaan selain memperbaiki kelemahan diri.

“Program anjuran Unit Pendidikan Berita Harian itu memberi manfaat kepada peserta supaya lebih bersedia menghadapi peperiksaan,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Seminar Bimbingan Peperiksaan Klinik UPSR peringkat Perak di Kolej Matrikulasi, di Gopeng, Perak, baru-baru ini.

Seramai 300 calon UPSR sekitar daerah Kinta menghadiri klinik sehari itu. Turut hadir, Pengurus Pemasaran Tabung Haji Perak, Ahmad Tazli Abdul Aziz dan penolongnya, Zamri Omar.