Awasi anak guna peranti elektronik – Metro


Awasi anak guna peranti elektronik

 4  0 Google +1  0  1

Oleh Suzana Azmi

Media elektronik secara umumnya memberikan banyak kebaikan, malah memudahkan urusan kehidupan kita. Namun, dari satu aspek ia turut mendatangkan impak negatif, sekiranya kita menggunakannya secara keterlaluan dan dengan cara tidak sepatutnya.

Kita ambil contoh televisyen, ia satu media yang bukan saja menyampaikan maklumat dan berita, bahkan menjadi medium untuk kita berkongsi nasihat dan mengambil teladan melalui slot tertentu. Bagaimanapun, ada antara kita khususnya remaja dan kanak-kanak menghadap televisyen berjam-jam lamanya sampai boleh dikatakan di tahap keterlaluan, seolah-olah ia menjadi aktiviti utama.
Tabiat itu sudah tentu mendedahkan mereka dengan gaya, perwatakan dan budaya liar yang tidak berpaksi kepada asas agama dan moral terpuji disanjungi masyarakat bertamadun.

 

Sekali-sekala menonton rancangan berbentuk hiburan misalnya, mungkin mereka akan mengomel tidak wajar apabila melihat sesetengah gaya tidak senonoh, tetapi jika sudah berkali-kali dan terbiasa tentunya lain pula pertimbangannya. Jadi, secara spontan mereka akan memuji idola tertentu khususnya yang dijelmakan melalui program realiti dari Barat yang memang tidak layak untuk dijadikan contoh. Seorang pelajar yang mengikuti siaran lewat malam seperti siaran langsung bola sepak tentu sekali menjejaskan tumpuannya mengulang kaji pelajaran, sukar bangun awal ke sekolah, bahkan liat untuk mengerjakan solat Subuh.
Begitu juga bagi yang menonton rancangan animasi pada waktu Maghrib, sudah pasti akan melengahkan mereka menunaikan solat, bahkan tiada lagi waktu untuk belajar tajwid dan mengaji.
Malah, jika diteliti waktu siaran drama dan telefilem, ada antaranya di celah waktu solat. Hal ini secara tidak langsung boleh mempengaruhi penonton untuk tidak ambil kisah dengan ibadat berkenaan.

 

Seterusnya, kita ambil contoh kanak-kanak dan remaja yang menggunakan peranti elektronik seperti tablet dan telefon bimbit dengan akses Internet, pastinya memudahkan dia mencapai maklumat berkaitan subjek dipelajari.
Malangnya ada di kalangan mereka yang menggunakannya demi memenuhi keseronokan dan nafsu. Kadangkala mereka mengakses laman tidak sepatutnya yang memaparkan keganasan dan kelucahan melampau.

 

Malah, ada antara mereka yang keterlaluan dengan permainan di peranti berkenaan, sekali gus membuatkan mereka mengabaikan tanggungjawab menelaah pelajaran di rumah. Fenomena sebegini tentunya menggambarkan kepada mereka yang hidup ini begitu indah dengan hiburan. Jika dalam sehari tidak berhibur dan menghiburkan diri akan membuatkan mereka rimas dan tidak senang duduk.
Mungkin ada orang mengatakan, apa salahnya berhibur, sedangkan ia boleh menghilangkan tekanan dan menceriakan diri? Memang, berhibur tidak salah, namun ia perlu disandarkan kepada nilai agama dan jangan keterlaluan sehingga memakan diri.
Keterlaluan dengan aktiviti hiburan juga akan menyebabkan seseorang itu kurang tertarik untuk mendekati dan mendalami agama, malah pudar untuk mengamalkan etika terpuji kemanusiaan.
Perkembangan teknologi mutakhir ini sangat pantas. Ciri yang ada pada televisyen dan telefon bimbit pada hari ini begitu mengujakan malah membuatkan sesiapa saja tidak jemu menggunakannya.
Oleh itu, disiplin diri amat penting dan ibu bapa selaku individu paling hampir kepada remaja dan kanak-kanak perlu aktif memainkan peranan untuk memantau gerak-geri dan mendisiplinkan mereka.
Jangan kerana suatu ketika sikap memandang remeh kepada watak ‘bejat’ ditonton di televisyen kita sebagai ibu bapa akhirnya menggigit jari melihat anak remaja meniru gaya seperti selebriti Hollywood, dengan berkuku panjang, bertindik, berambut merah, berbaju tipis dan berseluar londeh.
Begitu juga jangan terperanjat jika dengan tidak semena-mena kita ditendang anak sama ada secara gurauan atau sungguh-sungguh sebab itulah yang mereka pelajari melalui watak jahat permainan di peranti elektronik.
Penulis pelajar Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Surah Yasin permudah ulang kaji – Metro


Surah Yasin permudah ulang kaji

 20  8 Google +0  0  0

Melaka: “Setiap pagi selepas solat Subuh, saya membaca surah Yasin supaya segala ilmu dipelajari akan mudah difahami dan sering mengamalkan solat hajat pada waktu malam,” kata Muhammad Nabil Salim, 18, yang memperoleh keputusan 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam.

Menurut pelajar Sekolah Menengah (SM) Muzaffar Syah itu, usaha dan tawakal perlu seiringan bagi memastikan diri tidak terpesong ke laluan lain.
Muhammad berkata, dia gemar melakukan ulangkaji dan latihan secara berulang kali kerana dianggap lebih mudah untuk difahami.

 

“Apabila membaca, saya akan memastikan diri ini memahami apa yang dibaca itu dan turut cuba membayangkannya supaya tidak mudah lupa.
“Jika ada rakan yang kurang faham sesuatu pelajaran, saya berusaha berkongsi dengan mereka mengenai jalan penyelesaiannya. Pada waktu sama, saya lebih memahaminya,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 Sekolah-Sekolah Negeri Melaka di sini, semalam.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Belia dan Sukan negeri Datuk Gan Tian Loo.

 

Hadir sama, Timbalannya Datuk Ab Rahaman Ab Karim dan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Kasim Mohamad.
Pada majlis itu, 21 pelajar diumumkan mencapai gred cemerlang tertinggi bagi semua mata pelajaran (Semua A+).

 

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia bersyukur kerana segala dilakukannya dipermudahkan Allah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

‘Bendang’ maut – Metro


‘Bendang’ maut

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PENDANG: “Arwah sempat berpesan kepada neneknya supaya menyimpan sebungkus nasi lemak dibeli kerana dia tergesa-gesa mahu ke kelas tuisyen di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong, di sini.

“Namun saya terkilan kerana arwah tidak sempat menjamahnya,” kata Mohamad Shokri Man, 44, bapa kepada Muhammad Syafiq, 13, yang ditemui mati tertiarap dalam sawah berhampiran Sungai Hampar, di Kampung Banggol Pauh, di sini, selepas dilaporkan hilang ketika pulang dari sekolah, Ahad lalu.
Bagaimanapun, mangsa ditemui sendiri bapanya dalam keadaan tertiarap di kawasan tanah sawah dengan keadaan mukanya tersembam ke tanah, iaitu kira-kira 300 meter dari rumah nenek mangsa, Zainab Mihat, 70-an, kira-kira jam 6.30 pagi, semalam.

 

Difahamkan, mangsa yang juga pelajar tingkatan satu dikatakan singgah sebentar di sungai bagi memukat ikan bersama dua lagi rakannya sebaik pulang dari tuisyen. Shokri berkata, arwah tinggal bersama dengan neneknya di Banggol Pauh, di sini, dan keluar rumah kira-kira jam 8 pagi untuk mengikuti kelas tuisyen sebelum anak sulungnya, Muhammad Syahiran, 14, menghubungi pada sebelah petang memberitahu anaknya itu masih belum pulang.
“Saya rasa tak sedap hati lalu meminta bantuan penduduk mencarinya di sekitar pekan Pendang, namun gagal.
“Hati saya kuat mengatakan Syafiq mungkin hilang di sekitar kawasan Sungai Hampar kerana baju, beg dan kasut sekolah masih berada di dalam bakul motosikal miliknya yang ditemui di kawasan itu.

 

 

“Saya tergamam melihat sekujur tubuh manusia tertiarap sebaik keluar mencarinya selepas solat Subuh pagi tadi (semalam) sebelum mendapati ia adalah Syafiq,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, semalam.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/14

Ajal menjemput di riba ibu – Metro


Ajal menjemput di riba ibu

Oleh Anja Asmara
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PONTIAN: “Afiff baring di pangkuan saya dan kira-kira 15 minit kemudian, dia menghembuskan nafas terakhir,” kata ibunya, Russiah Ibrahim, 44, ketika ditemui di kediamannya di Taman Nong Chik, Batu 36, Jalan Johor, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi kelmarin, anaknya, Muhammad Afiff Faris Ahmad Seri, 15, meninggal dunia di pangkuannya ibunya selepas mengadu pening kepala.
Russiah berkata, Afiff sebelum itu baru saja selesai berwuduk dan mahu menunaikan solat Subuh.

 

“Afiff mengadu pening kepala dan saya terus meribanya. Saya kemudiannya mengurut dahi Afiff dengan minyak.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati bibir, kuku tangan dan kakinya bertukar kebiruan. Saya terus mengusap dadanya, manakala Afiff seolah-olah tidur berdengkur sebelum nafasnya terhenti,” katanya.
Menurut Russiah, dia memanggil jiran sebelum menghubungi Hospital Pontian serta suaminya, Ahmad Seri Abu Bakar, 48, yang ketika itu bekerja di Tanjung Bin.

 

 

Katanya, pasukan perubatan yang tiba kemudiannya melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan Afiff sudah meninggal dunia.
Ahmad Seri pula berkata, Afiff yang juga pelajar pintar adalah anak ketiga daripada lima beradik dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat (SMKDPB).

 

Afiff bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu depan.
Menurut Ahmad Seri, dia bergegas pulang ke rumah sejurus menerima panggilan telefon daripada isterinya pada jam 6.15 pagi.
“Tiba di rumah, Afiff sudah meninggal dunia. Saya reda di atas pemergian Afiff kerana Allah lebih menyayanginya.
“Afiff seorang yang rajin dan suka menolong ibunya memasak,” katanya.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03