PEKAN: “Jika benar mayat terdampar di Pantai Pasir Burung Mukut, Pulau Tioman, pagi kelmarin, anak tiri saya, saya reda dan menerima hakikat pemergiannya.
“Bagaimanapun, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan dijalankan di Petaling Jaya bakal menentukan segala-galanya,” kata Abdul Ghani Mat Isa, 39, bapa tiri kepada Mazura Ali, 14, yang dikhuatiri lemas ketika mencari siput bersama sepupunya di Sungai Badong, Nenasi, Merchong, dekat sini, pada 15 November lalu.
Abdul Ghani berkata, jika hasil ujian DNA membuktikan bukan mayat anak tirinya, dia amat berharap mangsa dapat ditemui secepat mungkin berikutan kejadian itu sudah dua minggu berlalu.
Menurutnya, susulan kejadian itu, dia bersama isteri dan keluarganya sudah mengadakan solat hajat termasuk solat sunat ghaib serta membaca Yasin supaya mendapat petunjuk daripada Allah.
Katanya, dia tidak berputus asa dan sering ke sungai berkenaan bersama keluarga dengan harapan dapat menemui mangsa.
“Lebih mengejutkan, ketika membaca surah Yasin di sungai berkenaan, tiga kali saya tertidur sebelum bermimpi arwah menunjukkan kakinya sedang tersepit di celah kayu menyebabkan saya terjaga serta-merta.
“Ketika kejadian, beberapa ahli keluarga cuba membantu selepas mendengar jeritannya namun gagal sebelum dia hilang daripada pandangan kami,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, di Rompin, Ketua Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata polis mengesahkan mayat yang ditemui terdampar pagi kelmarin seorang wanita selepas bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.