2 pelajar mangsa pertama mercun buatan sendiri – Bernama


2 pelajar mangsa pertama mercun buatan sendiri

10 Julai 2013
2 pelajar mangsa pertama mercun buatan sendiri
Mangsa mercun pertama Mohd Aiman Amzar Jamsari, 13, melecur pada bahagian muka akibat terkena mercun buatan sendiri mendapat rawatan di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar hari ini.- Foto Bernama

ALOR SETAR – Dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Baling menjadi mangsa pertama mercun buatan sendiri di Kedah dalam satu kejadian kira-kira pukul 10.30 malam semalam.

Mohd Aiman Amzar Jamsari, 13, cedera di muka dan tiga jari tangan kanan manakala rakannya Mohd Hanif Mohd Nawi, 14, pula cedera di muka.

Kedua-dua pelajar itu dipercayai membuat mercun dengan memasukkan belerang ke dalam botol yang tiba-tiba meletup semasa mereka bermain bersama beberapa rakan lagi di Taman Bersatu, Baling.

Kira-kira 80 peratus muka serta tangan Mohd Aiman Amzar melecur dan keadaannya stabil setelah dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar manakala Mohd Hanif dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Menurut bapa Mohd Aiman Amzar, Jamsari Ismail, 37, ketika kejadian dia sedang menunaikan solat Tarawih di surau Taman Bersatu, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

“Kami semua pergi ke surau. Mungkin pada masa itu anak saya dan beberapa rakannya main mercun yang dibuat sendiri,” kata Jamsari kepada pemberita semasa ditemui di HSB hari ini.

Menurutnya dia mendapat tahu mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.40 malam setelah dimaklumkan oleh anak perempuannya yang berusia lapan tahun.

“Saya terus balik ke rumah dan melihat muka dan tangan Mohd Aiman Amzar melecur tetapi tidak berdarah lalu bawa dia ke Hospital Baling kira-kira pukul 11 malam dan kemudiannya hantar ke HSB untuk dirawat di Unit Rawatan Kebakaran,” kata Jamsari. – Bernama

Bagai ‘orang api’ – Metro


Bagai ‘orang api’
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

IPOH: “Api marak begitu cepat hingga menyebabkan kulit kaki saya terasa seperti mencair. Saya bertukar menjadi ‘orang api’ sejurus seluar dan baju terbakar. Mujur ada yang membantu memadamkan kebakaran itu,” kata mangsa, Mohd Hishamudin Ali, 13, yang terbakar separuh tubuhnya akibat disimbah petrol oleh sekumpulan remaja.

Mangsa yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Megah, Shah Alam, mendakwa dibaling bungkusan berisi petrol oleh sekumpulan remaja nakal ketika pulang dari menunaikan solat Tarawih di kampungnya di Lumut, kira-kira jam 9 malam, Ahad lalu.
Dia yang ditemui di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam, berkata, kebakaran itu menyebabkan bahagian bawah tubuhnya dari kaki hingga perutnya terbakar hingga melepuh teruk.

“Ketika kejadian, saya pulang dengan berjalan kaki dari masjid selepas selesai melakukan solat Tarawih. Saya melihat beberapa remaja sedang bermain api tanpa mengesyaki ia adalah minyak yang mudah terbakar. “Bagaimanapun, saya terkejut apabila salah seorang remaja itu melemparkan bungkusan petrol itu ke arah saya sebelum api tiba-tiba menyambar seluar dan baju,” katanya.
Menurutnya, dia yang panik cuba memadamkan kebakaran itu sambil dibantu beberapa individu yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Nasib baik api itu dapat dipadamkan segera, namun bahagian kaki kiri saya melecur teruk dan saya hanya mampu merintih sakit. Rasa pedih dan panas akibat kebakaran itu menyebabkan saya terpaksa dikejarkan ke HRPB untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa menjalani pembedahan bagi mengambil daging pahanya untuk ditampal pada bahagian betis kaki kiri yang rosak teruk.
“Sebelum ini, saya dapat tahu mereka (remaja) sering bermain petrol secara suka-suka mungkin untuk meraikan bulan Syawal,” katanya.

Dia berkata, layanan baik pihak hospital menyebabkan dia lega dan yakin akan sembuh serta dibenarkan pulang ke rumah dalam tempoh beberapa hari lagi.
Sementara itu, datuk mangsa, Azmi Din, 60-an berkata, dia menganggap tragedi itu berlaku tanpa disengajakan, malah remaja yang melakukan perkara itu sudah memohon maaf.
“Perkara sudah berlaku. Kalau boleh kami tidak mahu memperbesarkan isu ini.
“Remaja yang melakukan perkara itu juga sudah memohon maaf dan mengaku bertanggungjawab. Malah, kami menganggap ia sebagai takdir.
“Bagaimanapun, kami mahu remaja yang melakukan musibah ini memandang serius kes ini supaya tidak berulang pada masa akan datang,” katanya yang turut membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, sejurus kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan meminta semua pihak memandang serius kemalangan yang berlaku.
“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak bermain dengan bahan api kerana ia boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan sentiasa memantau anak-anak mereka khususnya menjelang Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 15/08/2012

Remaja Cedera Tangan Kiri Terkena Letupan Mercun – Bernama


Remaja Cedera Tangan Kiri Terkena Letupan Mercun
KOTA BAHARU: Gara-gara membantu seorang kanak-kanak menyalakan sebatang mercun jenis botol, seorang remaja hampir kehilangan jarinya apabila bahan letupan itu meletup di tangannya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam semalam, mangsa, Mohamad Firdaus Ismail, 15, yang berasal dari Kampung Pelanduk, Rantau Panjang, bagaimanapun bernasib baik apabila hanya patah empat jari tangan kirinya.

Mohamad Firdaus, yang tidak bersekolah berkata dalam kejadian itu, dia baru pulang selepas menunaikan solat Tarawih di Kampung Batu Karang, kira-kira 500 meter dari rumahnya sebelum seorang kanak-kanak meminta bantuannya untuk menyalakan sebatang mercun jenis botol.

“Ketika saya memegang mercun botol tersebut, terasa seperti ada belerang yang keluar daripada pembalut mercun itu.

“Saya sedar bahaya yang mungkin berlaku, namun tetap menyalakan bahan letupan itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini Selasa.

Katanya mercun itu meletup di tangannya sebaik dinyalakan dan dia menyedari jarinya cedera.

“Masa mercun itu meletup, saya tak rasa apa-apa. Namun selepas menyedari tangan saya terkena mercun, baru terasa sakit dan terus memecut motosikal untuk pulang ke rumah,” katanya.

Firdaus berkata setibanya di rumah, dia terus pengsan dan abangnya, Afendi, 25, membawa mangsa ke Hospital Lati, Pasir Mas, sebelum dirujuk ke HUSM Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Firdaus berkata dia serik untuk bermain mercun lagi selepas kejadian yang hampir mencacatkan tangannya. – BERNAMA