JPA kaji selaras gaji graduan – Berita Harian


JPA kaji selaras gaji graduan

2012/10/05 – 06:13:07 AM Oleh Nurhayati AbllahCetakEmel Kawan
Kerajaan cadang mekanisme baru gred penjawat awam

Ipoh: Kerajaan sedang mengkaji untuk menyelaras tangga gaji penjawat awam berkelulusan ijazah yang kini memulakan kerjaya dengan Gred 41.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, pelarasan itu perlu bagi mencapai sasaran masyarakat berpendapatan tinggi dan negara maju menjelang 2020.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan gred yang dicadangkan. Penggredan perjawatan awam berkelulusan ijazah kini bermula daripada gred 41, diikuti Gred 44, Gred 48, Gred 52, Gred 54, Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C, JUSA B, JUSA A, Turus 3, Turus 2, Turus 1 dan Ketua Setiausaha Negara.

Penyelarasan gaji

“Ia di peringkat awal perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melihat segala aspek mengenai pelarasan gaji bagi penjawat awam berkelulusan graduan.

“Sebagai graduan, mereka memasuki kerja bermula dengan Gred 41 dan boleh mencapai jawatan setinggi Ketua Setiausaha Negara, tetapi tidak semua boleh mencapai tahap sedemikian.
“Jadi, kita mencadangkan satu mekanisme baru untuk memastikan pelarasan mengenai penggredan serta had gaji berasaskan kemampuan sedia ada,” katanya selepas merasmikan penutup Persidangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia, di sini semalam.

Mengenai cadangan CUEPACS memohon bonus satu setengah bulan dikecualikan daripada cukai, Ali berkata, ia membabitkan perbincangan di peringkat Kementerian Kewangan.

“Kita perlu melihat cadangan itu dalam pelbagai aspek serta apa juga implikasi kewangan sebelum membuat keputusan,” katanya.

Berhubung dakwaan pembangkang bilangan 1.4 juta penjawat awam terlalu ramai sehingga meningkatkan kos kerajaan, Ali berkata, bilangan itu seimbang bagi membantu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Apa yang penting, matlamat penjawat awam ialah meningkatkan produktiviti dengan kreatif dan berinovasi,” katanya.

INFO: Tangga Gaji Permulaan
– Gred 41 RM1,690
– Gred 44 RM2,976
– Gred 48 RM4,349
– Gred 52 RM4,894
– Gred 54 RM5,160.