Samseng sekolah gagal rekrut ahli – Metro


Samseng sekolah gagal rekrut ahli

 4  2 Google +0  0  0

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bukan saja ditoreh dengan pisau di leher dan tangannya, malah seluarnya turut dilondehkan dua rakan sekolahnya angkara enggan menjadi ahli ‘geng’ kongsi gelap.

Difahamkan, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Damansara, di sini, diugut akan dicederakan selepas tindakannya melaporkan perkara itu kepada guru disiplin sekolah berkenaan.
Berikutan itu mangsa menceritakan kejadian itu kepada keluarganya.

 

Bapa mangsa berusia 40-an yang bimbang keselamatan anaknya itu tampil membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara, di sini, kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, sumber berkata, ketika remaja lelaki terbabit berada di sekolahnya kira-kira jam 8 pagi Rabu lalu, mangsa bertembung dengan dua rakan sekolahnya yang secara tiba-tiba menghalangnya.
“Dua remaja terbabit bertindak memaksa mangsa menyertai satu kumpulan dan menjadi ahli geng berkenaan. Mereka turut mendakwa mereka adalah ahli geng sama.

 

“Mangsa bagaimanapun enggan berbuat demikian menyebabkan kedua-dua mereka marah lalu mengeluarkan pisau dan meletakkan di leher mangsa,” katanya.
Sumber berkata, dua pelajar itu bukan saja menakutkan mangsa dengan menoreh leher mangsa, malah turut menoreh tangan kanan mangsa hingga meninggalkan kesan.

 

“Mangsa yang ketakutan melaporkan kejadian berkenaan kepada guru disiplin. Dua remaja itu kemudian dipanggil dan diberi amaran agar tidak berbuat demikian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15

Jurulatih pengakap hadapi 2 lagi tuduhan cabul – Sinar Harian


Jurulatih pengakap hadapi 2 lagi tuduhan cabul

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mac 2012

KUALA LUMPUR – Seorang jurulatih pengakap menghadapi dua lagi tuduhan mencabul pelajar-pelajarnya berusia 13 dan 14 tahun yang diletakkan di bawah penyeliaannya.

Ho Lee Fong, 44, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pagi ini dan meminta agar dia dibicarakan.

Dia dituduh mencabul dua pelajar di sebuah bilik di Sunway SPK Damancara di sini awal Jun lalu.

Pada 1 Mac lalu, Lee Fong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencabul lapan pelajar.

Laporan media bulan lalu menyebut jurulatih itu yang diberi tanggungjawab melatih 300 ahli Pergerakan Pengakap sebuah sekolah menengah, didakwa mencabul lebih 10 pelajar perempuan dengan memegang dada, kemaluan dan punggung mangsa.

Difahamkan, lelaki terbabit dipertanggungjawabkan melatih pelajar berusia antara 13 dan 14 tahun di sekolah berkenaan sejak 2008.

Perbuatan itu terbongkar 8 Februari lalu selepas seorang mangsa dicabul mengadu kepada bapanya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara.

Tiada istilah tidak sengaja – Metro


Tiada istilah tidak sengaja

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Tidak puas hati dan mahu tindakan susulan. Berikutan penafian jurulatih pengakap sebuah sekolah menengah di sini mencabul lebih 10 pelajar perempuan di bawah pengawasannya ketika menjalankan latihan fizikal, tiga pelajar tampil sekali lagi membuat laporan polis, semalam.

Jurulatih dikenali sebagai Hoo, 44, Khamis lalu, mengadakan sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Selangor menafikan dakwaan dia mencabul selepas pelajar terbabit membuat laporan polis dan kes disiarkan akhbar pada hari sama.
Bagaimanapun, seorang bapa dikenali Leong, 40-an, yang tidak puas hati dengan kenyataan jurulatih itu, menemani anak gadisnya berusia 14 tahun membuat laporan sekali lagi di Balai Polis Bandar Sri Damansara, di sini.

 

“Saya mahu polis mengambil tindakan terhadap Hoo dan kes ini disiasat seadil-adilnya. Anak perempuan saya mendakwa pernah dicabul enam bulan lalu ketika mengikuti latihan di sekolahnya.
“Namun, dia tidak menceritakan kejadian itu kerana menyangka jurulatih terbabit tidak sengaja. Namun selepas bercerita dengan beberapa rakan lain dan mereka juga mendakwa diperlakukan sedemikian, baru mereka sedar jurulatih itu sengaja melakukannya,” katanya.
Sebelum itu, Leong dilihat masuk ke balai polis berkenaan bersama isteri dan anak perempuannya pada jam 9.30 pagi sebelum keluar semula sejam kemudian.

 

 

Leong berkata, sebaik anak perempuannya menceritakan kejadian itu kepadanya, dia dan isteri membawanya membuat laporan pada 8 Februari lalu.
“Saya percaya jurulatih itu sengaja mencabul anak perempuan saya dan pelajar lain. Tiada istilah tidak sengaja apabila perbuatan memalukan itu dilakukan kepada ramai pelajar dan berulang kali.

 

“Laporan polis kedua ini dilakukan untuk menuntut keadilan dan mahu siasatan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada tiga pelajar di sekitar daerahnya, semalam.

Cabul 10 pelajar – Metro


Cabul 10 pelajar

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Siti Na’imah Mohamed
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Seorang jurulatih yang diberi tanggungjawab melatih 300 ahli Pergerakan Pengakap sebuah sekolah menengah di sini, didakwa mencabul lebih 10 pelajar perempuan yang berada bawah pengawasannya dengan memegang dada, kemaluan dan punggung mangsa.

Difahamkan, lelaki terbabit berusia 44 tahun dipertanggungjawab melatih pelajar berusia antara 13 dan 14 tahun di sekolah berkenaan sejak 2008 dan mula melakukan perbuatan kejinya penghujung tahun lalu.
Perbuatan itu terbongkar 8 Februari lalu selepas seorang mangsa dicabul mengadu kepada bapanya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara, di sini.

 

Menurut sumber, selepas membuat laporan mengenai kejadian itu, mangsa yang ditemani bapanya mengadu perkara berkenaan kepada pihak pengurusan sekolah.
“Hasil siasatan pengurusan sekolah, lebih 10 pelajar tampil mengaku mereka turut menjadi mangsa gangguan seksual jurulatih terbabit sepanjang dia mengendalikan badan beruniform berkenaan,” katanya.
Sumber itu berkata, suspek dikatakan secara terang-terangan mencabul mereka ketika sesi latihan dengan memegang dada pelajar perempuan dengan alasan kononnya untuk memeriksa barisan ketika berkawad.

 

 

“Malah, ada pelajar diumpan masuk ke bilik persatuan disediakan sekolah dengan alasan mengukur baju sebelum mereka dicabul,” katanya.
Difahamkan, semua pelajar perempuan yang menjadi mangsa turut dipaksa merahsiakan perkara berkenaan dan mangsa akur kerana takut sikap garang suspek.

 

Sejurus pihak berkuasa menerima laporan berkenaan, jurulatih terbabit ditahan polis 9 Februari sebelum dibebaskan selepas percakapannya dirakam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamed ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
“Setakat kini, kami mendapati hanya empat ke lima pelajar sekolah berkenaan yang tampil membuat aduan kepada polis mereka menjadi mangsa gangguan seksual jurulatih terbabit,” katanya.
Menurutnya, suspek yang ditahan sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).